top of page

Belajar Tanpa Guru

  • Writer: Yukio Haruaki
    Yukio Haruaki
  • May 7, 2017
  • 3 min read

"Jika belajar tanpa berguru, maka gurunya adalah syaitan. adakah belajar dengan berguru, maka gurunya adalah malaikat?" - Mohd Hairi Nonchi (Rujuk : Cukupkah Sekadar Niat, m/s 221, Grup Buku Karangkraf).

Cukuplah persoalan yang dilontar ini untuk kita semua berfikir dan mengerti. Sesiapa sahaja yang cari alasan untuk menyalahi ini, dia pasti termasuk orang yang cacat akalnya. Perkara ini termasuk dalam hal relatif sehingga penghukuman sebenar pada kontekstual. Jika perkara relatif ingin diperdebatkan juga, maka sebenarnya ia mencari sesuatu yang hampa. Jika kontekstual ditikam dengan konteks yang lain yang bukan pada realitinya, ia akan terheret pada perdebatan yang relatif. Oleh itu, pergaduhan ini tidak membawa apa-apa makna.

Ingin aku tambahkan lagi bahawa periwayatan hadis bukan semuanya melalui sima', sebahagiannya juga daripada mushaf. Abu Hatim ar-Razi berkata :

جالس سليمان اليشكري جابرا، فسمع منه وكتب عنه صحيفة، وتوفي وبقيت الصحيفة عند امرأته. وروى أَبُو الزبير، وأَبُو سفيان والشعبي عَنْ جابر، وهم قد سمعوا من جابر، واكثره من الصحيفة. وكذلك قَتَادَة.

"Sulaiman al-Yashkari duduk dengan Jabir, lalu mendengar daripadanya dan menulis sahifah daripadanya. Kemudian, dia wafat dan baki sahifah ada pada isterinya. Abu az-Zubair, Abu Sufyan dan asy-Sya'bi meriwayatkan daripada Jabir. Mereka pernah mendengar daripada Jabir dan kebanyakannya daripada sahifah. Demikian juga Qatadah". (Al-Jarh wa at-Ta'dil, Ibn Abu Hatim ar-Razi, jilid 4, m/s 136).

Jelas sekali bahawa periwayatan secara mushaf tidaklah salah dan mengambil ilmu daripadanya bukanlah sesuatu yang tercela. Asy-Sya'bi, Abu az-Zubair, Abu Sufyan dan Qatadah meriwayatkan daripada Jabir bin 'Abdullah yang kebanyakan ilmu hadisnya adalah daripada mushaf yang ditulis oleh Sulaiman al-Yashkari yang merupakan perawi yang tsiqah, bukan daripada sima' daripada Jabir melainkan sedikit. Begitu juga dengan sikap penerimaan al-Bukhari dalam periwayatan al-Laits bin Sa'd daripada riwayat 'Ubaidullah bin Abu Ja'far :

حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ بُكَيْرٍ ، حَدَّثَنَا اللَّيْثُ ، عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي جَعْفَرٍ ، عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ ، عَنْ عُرْوَةَ ، عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : " مَنْ أَعْمَرَ أَرْضًا لَيْسَتْ لِأَحَدٍ فَهُوَ أَحَقُّ " . قَالَ عُرْوَةُ : قَضَى بِهِ عُمَرُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فِي خِلَافَتِهِ .

Telah menceritakan kepada kami Yahya bin Bukair; Telah menceritakan kepada kami al-Laits, daripada 'Ubaidullah bin Abu Ja'far, daripada Muhammad bin 'Abdul Rahman, daripada' Urwah, daripada 'Aisyah RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda, "Sesiapa yang mengusahakan tanah yang tidak dimiliki seseorang, maka dia memilikinya". Berkata 'Urwah, "'Umar RA menetapkannya pada pemerintahannya". (Sahih al-Bukhari, kitab al-Muzara'ah, no. 2177).

Padahal, al-Laits bukanlah mengambil hadis 'Ubaidullah melalui sima', tetapi daripada kitab yang ditulis untukknya sepertimana pengakuannya sendiri :

حدثنا أبي، حدثنا إبراهيم بن المنذر، حدثنا ابن وهب، قال: قال الليث بن سعيد: لم أسمع من عبيد الله بن أبي جعفر، إنما كان صحيفة كتب إلي ولم أعرضه عليه.

Telah menceritakan kepada kami ayahku; Telah menceritakan kepada kami Ibrahim bin al-Mundzir; Telah menceritakan kepada kami Ibn Wahb, dia berkata; al-Laits bin Sa'id berkata, "Aku tidak pernah mendengar daripada 'Ubaidullah bin Abu Ja'far, tetapi ia daripada sahifah yang ia tuliskan untukku dan aku tidak membaca secara hafalan di hadapannya". (Al-Marasil, Ibn Abu Hatim ar-Razi, m/s 180, Muassasah ar-Risalah, Beirut).

Namun, al-Bukhari tidaklah mencelanya, bahkan dia menilai sahih periwayatan tersebut. Ini menunjukkan bahawa pengambilan ilmu daripada mushaf bukanlah kecelaan, bahkan sesuatu perbuatan yang dianggap pendustaan di dalam agama. Cukuplah ini menyedarkan kepada kita bahawa tuntutan untuk belajar secara berguru bukanlah mutlak.

Sebahagian orang membantah dengan membawa hadis ini :

حَدَّثَنِي يَحْيَى ، عَنْ هِشَامٍ أَمْلَاهُ عَلَيْنَا ، حَدَّثَنِي أَبِي ، سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرٍو ، مِنْ فِيهِ إِلَى فِيَّ ، يَقُولُ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : " إِنَّ اللَّهَ لَا يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنَ النَّاسِ ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ ، حَتَّى إِذَا لَمْ يَتْرُكْ عَالِمًا ، اتَّخَذَ النَّاسُ رُؤَسَاءَ جُهَّالًا ، فَسُئِلُوا ، فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ ، فَضَلُّوا ، وَأَضَلُّوا " .

Telah menceritakan kepada kami Yahya, daripada Hisyam yang dia imlakkannya kepada kami; Telah menceritakan kepadaku ayahku; aku mendengar 'Abdullah bin 'Amru, dia berkata; aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah tidak mencabutkan ilmu secara langsung daripada manusia, tetapi Allah mencabut ilmu dengan mewafatkan para ulama' sehingga tidak tersisa seorang pun orang yang 'alim. Manusia pun mengambil pemimpin yang jahil, kemudian mereka ditanya, lalu memberi fatwa tanpa ilmu, mereka adalah sesat dan menyesatkan". (Musnad Ahmad, no. 6331).

Mereka tidak sedar bahawa ulama' bukanlah dari kalangan yang bertalaqqi sahaja, tetapi dari sesiapa jua pun.


Comments


Info
Laman ini merupakan laman tambahan dalam aktiviti blog bagi mengupas beberapa isu atau perkara menurut perspektif saya secara ikhtisar dan padat.
Laman Lain
  • unnamed
  • Blogger Social Icon
  • android-chrome-192x192
  • Tumblr Social Icon
  • webs.com_
  • Facebook Social Icon
  • Twitter Social Icon
  • Google+ Social Icon
Kategori
Arkib

© 2023 by DO IT YOURSELF. Proudly created with Wix.com

bottom of page