top of page

Biarkan Ia Berlalu

  • Writer: Yukio Haruaki
    Yukio Haruaki
  • May 8, 2017
  • 8 min read

Zaman berlalu sangat pantas tanpa kita sedari. Apabila kita melihat dimensi sekarang, seolah-olah ia seperti sama yang tiada menerima perubahan. Namun, apabila kita membandingkan waktu yang lalu, rupanya telah terlalu banyak perkara yang berubah. Bermacam-macam perubahan yang dilalui sama ada pada diri kita atau dunia eksternal di sekeliling kita. Sama ada ia semakin mundur, mahupun semakin maju, itu adalah adat kitaran perjalanan kehidupan ketika waktu bergerak. Banyaknya sesuatu yang berubah daripada yang lain kepada yang lain menyebabkan sebahagian orang terkesan dengan perubahan tersebut. Tentu sekali banyak reaksi daripada mereka yang menerima situasi ini. Ada yang beradaptasi dengan aliran semasa dan ada juga yang kekal bertahan di tempat yang asal.

Kita ingin fokus kepada mereka yang enggan mengikuti lalu beradaptasi dengan aliran semasa, mempertahankan tradisi atau sesuatu yang telah lama dan menggembleng tenaga untuk menghidupkan semula apa-apa yang dianggap semakin dipinggirkan dan dilupakan. Sememangnya banyak sebab untuk mereka menjustifikasikan dan bersikap sedemikian. Walau apapun jua sebabnya, kita semua, yakni sama ada yang berpihak kepada menerima perubahan atau kekal bertahan akan bertanya suatu soalan yang sangat vital ketika berhadapan dengan pertembungan ini. Iaitu, apakah relevannya untuk mempertahankan, mengekalkan dan menyalakan sesuatu yang dianggap telah mempunyai pengganti baginya? Sesungguhnya ini soalan yang cukup besar sekali. Ketika dua haluan sedang berada dalam pemisahan jurang yang besar, masing-masing mempunyai matlamat dalam jalan yang ia pilih. Tetapi, mereka akan bertemu dengan persoalan ini. Maka, persoalan ini yang akan menentukan hala tuju mereka.

Saya kira ini soalan yang sangat penting untuk dipertanyakan ketika berinteraksi dengan sesuatu yang berubah dan bergantian seiring berlalunya masa. Jika soalan ini dibiarkan sahaja, bermakna kita tidak peduli akan sesuatu itu. Tetapi, kita pasti akan bertembung dengan soalan ini dalam kehidupan seharian kita sama ada mahu ataupun tidak mahu. Ketika kita bergelumang dengan bolak-balik sama ada kita akan menerima perubahan yang mendatang atau kita akan tetap di atas yang kita telah berada, persoalan ini penting untuk dijawab supaya apa yang kita lakukan bukan di atas kesia-siaan dan hanya mendatangkan lelah yang tidak berguna untuk kita.

Kita melihat seseorang atau beberapa individu sanggup melaburkan banyak tenaga, masa dan kewangan untuk mempertahankan sesuatu yang dianggap dipinggirkan dan dilupakan oleh orang. Misalnya, seseorang mempertahankan dan memperjuangkan tradisi dan kebudayan lama yang tidak lagi diamalkan atau diingati oleh orang. Faktor utama mereka cuba menggembleng usaha untuk ini adalah kerana untuk mengenangkan memori-memori dahulu dan mempamerkan identiti bangsa sekali gus untuk menampakkan kemegahan sesuatu bangsa. Kita faham bahawa sememang itulah kebiasaan yang dibuat oleh sesetengah orang untuk mengingati semula masa lepas yang ia lalui ketika waktu itu. Demikian juga ketika kita di atas kebanggaan atas sesuatu identiti kita, pasti kita akan perkenalkan apa-apa yang menjadi lambang yang dapat kita megahkan untuk bangsa yang kita wakili.

Semua ini tidak salah baik dalam syariat ataupun pertimbangan sosial dan saya juga tidak ada masalah akannya dari segi peribadi memandangkan itu adalah hak bagi peribadi atau komuniti. Namun, jika kita tanya tentang relevansinya, ini pasti akan menimbulkan konflik. Kadangkala pengganti yang telah ada lebih menonjol, menyerlah dan lebih baik daripada apa-apa yang digantikan untuknya. Sebahagian mereka yang telah lama sebati dengan apa yang kebiasaan yang telah ia bersama tentu sekali sangat sukar untuk melepaskannya pergi. Tentu ia menyedihkan semua tersebut menjadi kenangan dalam hidup. Jika mereka sanggup, mereka akan adaptasi dengan era semasa sekalipun keberatan. Akan tetapi, ada juga yang bersikap enggan untuk berbuat apa sahaja asalkan kedudukan ia di sana kekal keberadaannya serta diimpikan agar ia sentiasa hidup dan berkembang.

Walaupun ianya tidak terzahir secara terang ataupun wujud dalam rutin harian, ia masih dipersembahkan dan dipertontonkan untuk acara-acara tertentu. Hal ini semata-mata agar manusia tidak luput dalam ingatannya tentang hal-hal yang lama yang tidak lagi menjadi fokus dan kelestarian dalam praktikal. Jika ada yang lebih ekstrim, ia akan mengapi-apikannya. Yang dimaksudkan di sini adalah bukan pada kontrotasi, provokasi atau apa-apa yang membawa kepada violasi. Mereka menggembar-gemburkan bahawa inilah tradisi kemegahan dan inilah yang sepatutnya diwarisi dan dipertahankan untuk seseorang ataupun individu. Saya tidak merasakan mereka bersikap fanatik, tetapi mereka cuma memberikan perhatian dan kecenderungan yang banyak kepada hal itu sehingga ia mempunyai sisa semangat untuk dinyalakan untuk menyebut-nyebut hal-hal yang ia ingin zahirkan.

Saya kira kadangkala kita perlu biarkan ia pergi dan berlalu seiring masa yang merentasi dengan pantas. Tidak ada relevan lagi untuk dipertahankan dan disebarkan lagi. Saya lahir dalam berbangsa Jawa, namun ia tidak ada makna lagi untuk saya pertahankan apa-apa yang menjadi tradisi dan kebudayan Jawa jika tidak ada lagi relevansi untuk dipertahankan. Dengan kata lain, seiring zaman yang berlalu yang mana kebudayan dan tradisi luar semakin mudah diakses dan disebarkan secara pantas, biarkan manusia untuk memilih yang ia mahu. Jikalau hari ini kebudayaan Barat semakin mendapat tempat dan mendapat penerimaan yang meluas dalam kalangan komuniti global, maka saya sanggup untuk tinggalkan apa-apa yang menjadi kebudayaan Jawa jikalau ianya tidak ada relevan untuk tinggal di situ. Walaupun ada keberatan dan sedikit kejanggalan, perubahan yang dialami bukanlah semestinya secara mendadak, tetapi ada juga yang secara berperingkat. Namun, saya tidak ada masalah jikalau ada yang ingin kekal dengannya kerana itu adalah pilihan masing-masing.

Sememangnya bangsa yang kuat akan diikuti oleh bangsa yang lemah. Namun, saya kira ia bukan semestinya begitu. Kadangkala ia kebetulan menjadi perhatian yang ramai daripada orang, maka ia akan tersebar luas dan ia akan hidup walau daripada mana-mana bangsa pun. Mengamalkan kebudayaan dan tradisi daripada yang lain bukan bermakna mengiktiraf kelemahan apa yang diamalkan selama ini. Ianya cuma sebagai tanda kita memberikan respons kepada apa-apa yang menjadi penerimaan orang ramai. Faktor yang utama sekali, adalah supaya kita tidak menjadi sesuatu yang aneh dalam masyarakat ketika dikelilingi oleh lain daripada yang lain. Apapun, selagimana tidak ada kesalahan untuk beradaptasi dengan kemodenan dan pembaharuan ini, maka tidak ada apa-apa masalah untuk melangkah ke arusnya.

Itu jika kita berbicara tentang kebudayaan dan tradisi kepada sesuatu bangsa, mari kita lihat pula teknologi pada waktu ini. Kita terkenang dengan permainan tradisional dahulu yang sangat banyak untuk disenaraikan yang menjadi permainan ketika kita kanak-kanak ataupun yang sesuai untuk orang-orang dewasa. Tentu sekali, ketika itu ia merupakan permainan yang hebat dan menyeronokkan kalau kita berada di zaman itu. Namun, kita harus menerima realiti hari ini walaupun kita cuba bersikap ignoran terhadapnya. Teknologi seperti gajet dan komputer telah mengambil alih permainan-permainan yang kita bermain dahulu, lalu digantikan dengan permainan video. Kita boleh melihat insan-insan yang memandang realiti ini ada yang kecewa kerana generasi kini dianggap melupakan dan meminggirkan permainan yang dahulu kita bermain. Maka dengan itu, ada di antara mereka cuba menghidupkannya semula dalam acara-acara tertentu sempena mengenangkan semula memori yang lepas. Apapun, pendirian saya tetap telah dinyatakan tadi. Walaupun ada pendebatan antara pro dan kontra (jika hal demikian berlaku, maka kita ambil langkah berwaspada padanya) mengenai permainan video yang menjadi sambutan yang meluas, namun mahu atau tidak mahu, kita harus melepaskannya pergi sekalipun keberatan hati. Biarkan ia berlalu dan apa yang menjadi baharu bukan semestinya sesuatu yang memudaratkan.

Dalam kesempatan yang sama, teknologi yang baru juga telah menggantikan teknologi yang lama. Ini terlalu banyak untuk disenaraikan sehinggakan teknologi yang lama kini hanya menjadi catatan sejarah, artifak dan bahan terbuang yang tidak digunakan lagi. Walaubagaimana pun, masih ada lagi yang menggunakannya lagi bukan kerana kosnya mahal atau kesukaran, tetapi kerana ia dianggap sesuatu yang menjadi Misalnya, pasangan suami isteri Abdul Jalil Sudin dan Inson Ismail, 52 tahun masih menggunakan mesin taip lama untuk menulis dokumen perjanjian, surat rayuan, surat iringan dan surat permohonan untuk pelanggan yang berurusan dengan mahkamah dan pejabat-pejabat kerajaan. Saya ingat lagi komentar seseorang dalam akhbar di Malaysia yang menyatakan kekecewaan bagi masyarakat yang melupakan penggunaan mesin ini pada zaman ini yang sarat dengan komputer[1].

Saya fikir perkara ini tidak perlu untuk melahirkan rasa kecewa. Memandangkan komputer memberikan kerja lebih efisyen berbanding mesin taip lama. Jadi, tidak perlu lagi untuk pertahankan apa-apa yang lebih sukar dan lebih payah berbanding pengganti yang telah wujud untuk menyelesaikan masalah ini. Biarkan ia berlalu dan menjadilah ia sebagai artifak sejarah dan bahan kenangan memori lama. Namun, saya tidak menghalang mahupun mempunyai apa-apa masalah jikalau sesiapa yang ingin menggunakan mesin taip yang lama. Saya cumalah mengkritik kenyataan kekecewaan tersebut memandangkan ia sesuatu yang tidak perlu lagi untuk dizahirkan memandangkan apa yang ada sekarang ini lebih bermakna dan lebih baik daripada yang menjadi penggunaan orang-orang dahulu. Sebab itulah wajar kita tanyakan relevansi tersebut kerana ia adalah hala tuju masa hadapan kita sama ada kita ingin kekal, namun ia menghasilkan kesia-siaan ataupun menerima arus perubahan itu dan kita beradaptasi untuk menjadi yang lebih baik.

Kenyataan yang menyatakan rasa kekecewaan terhadap masyarakat meninggalkan dan melupakan sesuatu perkara kadangkala tidak perlu diungkapkan selagimana penerimaan masyarakat itu bukan sesuatu yang memudaratkan. Ia bukan sahaja tidak membawa apa-apa makna kerana masyarakat akhirnya meninggalkan sebegitu sahaja walupun perlahan-lahan dan berperingkat, tetapi ia bermakna sikap kita enggan untuk menerima arus perubahan sama ada daripada realiti zaman atuapun masyarakat. Setakat ini, saya tidak pernah mana-mana orang cuba bersikap sedemkian untuk mempertahankan dan sedaya upaya menjadikan Harlem Shake dan Gwiyomi sebagai budaya yang sebati dalam masyarakat yang ketikamana dahulu menjadi popularsekalipun ia berasal daripada bangsa yang kuat. Bahkan, Myspace dan Friendster yang dipinggirkan oleh orang ramai juga yang mana kedua-dua ini berasal daripada bangsa yang kuat tidak ada lagi yang cuba mempertahankannya. Saya hanya cuma melihat orang mudah kecewa dengan peninggalan orang ramai terhadap tarian zapin, congkak, tarbus dan seumpama dengannya walaupun peninggalan itu bukanlah sesuatu yang memudaratkan.

Sudah sampai masanya kita sentiasa bersikap terbuka untuk menerima arus perubahan yang mendatang dan mulai adaptasi dengan pembaharuan semasa. Jika ada pengganti yang lebih baik, atau sekurang-kurangnya mendapat tempat, tidak ada masalah untuk kita bersama rentak sekali dengannya. Selain untuk mengelakkan daripada pandangan kejanggalan yang berlaku, ia sebenarnya mengelakkan diri kita untuk mempertahankan dan memperjuangkan sesuatu yang sia-sia yang hanya melelahkan diri sahaja. Ini faktor yang penting untuk kita semua supaya kita tidak merugikan diri sendiri. Saya tahu akan ada yang mempersoalkan penggunaan adaptasi yang digunakan dalam kalimah di sini dengan penyamaan penggunaan makna daripada saya untuk maksud paralel dalam satu aliran. Saya juga mengetahui sesuatu yang lama tidak semestinya dilupuskan serta merta atau secara keseluruhannya untuk mengambil ganti yang baru, tetapi asas-asas daripadanya atau cebisan-cebisan yang tersisa boleh disesuaikan dengan konteks yang terkini. Dengan ini, adaptasi boleh sahaja dengan makna yang seimbang sama ada untuk mengambil sebahagian lalu disesuaikan dengan kontemporari atau melenyapkan keseluruhannya lalu diambil pengganti yang baharu.

Dengan itu, kadangkala kita perlu biarkan ia berlalu biarpun keberatan selagimana ia bukan sesuatu kesalahan atau kemudaratan. Ia sememangnya akan tinggal menjadi catatan sejarah, kenangan memori dan atsar yang tidak dimanfaatkan lagi yang diganti dengan sesuatu yang baharu sesuai dengan zaman serta keperluan masa kini. Terpulang pada hak masing-masing dalam memilih untuk kekal, tetapi seharusnya kita menerima realiti yang wujud di sekeliling, sekitar dan semasa kita bahawa ia mungkin tidak lagi relevan lagi sepertimana ia relevan pada masa dahulu. Sejarah sangat manis dikenang dan pahit untuk diabadikan ketika ia telah terkubur. Tatkala, ia ingin berlalu pergi, maka biarkanlah ia pergi, mudah-mudahan kita tidak rugi untuk terus mempertahankan lagi.

Walaubagaimana pun, perlu kita ingat bahawa sesuatu yang dianggap lama dan mempunyai pengganti bukan semestinya perlu dilupakan atau ditinggalkan sebegitu sahaja yang hanya menjadi catatan sejarah, kenangan memori dan artifak yang tidak lagi digunakan. Kadangkala, ia masih vital terutamanya dalam mempelajarinya. Misalnya, sekalipun askar-askar kita dibekalkan dengan teknologi yang super dalam kombat dan peperangan, mereka juga wajar mengetahui kaedah-kaedah klasik, tradisional dan lama untuk beberapa perkara supaya kebergantungan dengan teknologi tidak terlalu kuat sehingga apabila adanya situasi yang menyisihkan diri dengan teknologi berlaku, maka tidak perlu dikhuatirkan lagi untuk survival dalam hal tersebut. Begitu juga dengan yang lain-lain yang mana ia penting untuk dipelajari untuk persediaan, khususnya dalam urusan teknikal.

Sebagai pengakhiran pada penulisan ini, walau apa-apapun isu-isu yang berbangkit mengenai arus perubahan, persoalan yang telah diutarakan tadi sangatlah penting, di samping kita sentiasa terbuka dan menerima realiti yang sedia ada. Memandangkan kita hidup dalam kalangan makhluk yang saling bersosial dan berinteraksi serta di dunia globalisasi yang mempunyai kepantasan dan kepadatan dalam penerimaan informasi, semua ini sangat memerlukan ketabahan kita menghadapi arus yang sangat sibuk ini. Semoga kita semua sentiasa dalam keadaan kebaikan walau apapun realiti yang ke mari menerpa kita.

[1]Pautan asal : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0604&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Saya tidak ingat akhbar yang mana satu menyiarkan kenyataan tersebut. Tetapi, saya yakin ia adalah liputan akhbar Kosmo! tetapi disiarkan pada surat khabar, bukan pada laman web. Saya berharap kita mendapat akses kepadanya untuk merujuk semula.


Comments


Info
Laman ini merupakan laman tambahan dalam aktiviti blog bagi mengupas beberapa isu atau perkara menurut perspektif saya secara ikhtisar dan padat.
Laman Lain
  • unnamed
  • Blogger Social Icon
  • android-chrome-192x192
  • Tumblr Social Icon
  • webs.com_
  • Facebook Social Icon
  • Twitter Social Icon
  • Google+ Social Icon
Kategori
Arkib

© 2023 by DO IT YOURSELF. Proudly created with Wix.com

bottom of page