top of page

Fasik Menurut Kategori Masing-Masing

  • Writer: Yukio Haruaki
    Yukio Haruaki
  • May 8, 2017
  • 5 min read

Firman Allah Ta'ala :

الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ ۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ

"Haji itu ialah beberapa bulan yang telah maklum. Maka sesiapa yang telah difardhukan haji pada dirinya, tidak boleh ia mencampuri (isteri) dan tidak boleh berbuat fasik dan tidak boleh berjidal ketika haji..". (Surah al-Baqarah ayat 194).

Secara umumnya, fasik boleh difahami sebagai perlakuan maksiat yang melibatkan dosa-dosa besar.

وَأَن تَسْتَقْسِمُوا بِالْأَزْلَامِ ۚ ذَٰلِكُمْ فِسْقٌ

".....dan (diharamkan) mengundi nasib dengan anak panah, kerana itu semua adalah kefasikan...". (Surah al-Maidah ayat 3).

وَلَا تَأْكُلُوا مِمَّا لَمْ يُذْكَرِ اسْمُ اللَّـهِ عَلَيْهِ وَإِنَّهُ لَفِسْقٌ

"Dan janganlah kamu memakan (daging haiwan) dari apa-apa (sembelihan) yang tidak disebut nama Allah, kerana ianya adalah suatu kefasikan...". (Surah al-An'am ayat 121).

Namun, beberapa keadaan dan tempat, fasik mempunyai kategori masing-masing untuknya. Terdapat fasik yang membawa maksud kekufuran.

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ هُمُ الْفَاسِقُونَ ﴿٦٧

"....sesungguhnya orang-orang munafik itu adalah orang-orang yang fasik". (Surah at-Taubah ayat 67).

اسْتَغْفِرْ لَهُمْ أَوْ لَا تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ إِن تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ سَبْعِينَ مَرَّةً فَلَن يَغْفِرَ اللَّـهُ لَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَفَرُوا بِاللَّـهِ وَرَسُولِهِ ۗ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ ﴿٨٠

"(Sama sahaja) engkau memohon keampunan untuknya atau engkau tidak memohon keampunan baginya, jika engkau memohon keampunannya sebanyak tujuh puluh kali, tetaplah Allah tidak mengampuni mereka. Demikian itu dengan sebab mereka kufur terhadap Allah dan Rasul-Nya. Dan Allah sesekali tidak memberi petunjuk kepada kaum fasik". (Surah at-Taubah ayat 80)

أَفَمَن كَانَ مُؤْمِنًا كَمَن كَانَ فَاسِقًا ۚ لَّا يَسْتَوُونَ﴿١٨

"Apakah orang yang beriman seperti orang-orang yang fasik? Tidaklah ia sama". (Surah as-Sajadah ayat 18).

وَأَمَّا الَّذِينَ فَسَقُوا فَمَأْوَاهُمُ النَّارُ ۖكُلَّمَا أَرَادُوا أَن يَخْرُجُوا مِنْهَا أُعِيدُوا فِيهَا وَقِيلَ لَهُمْ ذُوقُوا عَذَابَ النَّارِ الَّذِي كُنتُم بِهِ تُكَذِّبُونَ ﴿٢٠

Dan adapun orang-orang yang fasik, maka kediaman mereka adalah neraka. Setiap kali mereka hendak keluar darinya, mereka dikembalikan (lagi) ke dalamnya dan dikatakan kepada mereka, "Rasakanlah azab nereka yang dahulu kamu dustakan". (Surah as-Sajadah ayat 20).

Begitu juga fasik merujuk kepada mereka yang tidak mengutamakan jihad di jalan Allah dan Rasul-Nya dan lebih mengutamakan selain kedua-dua itu.

قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّـهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّـهُ بِأَمْرِهِ ۗ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ ﴿٢٤

Katakanlah, "Jika bapa-bapa kalian, anak-anak kalian, adik beradik kalian, isteri-isteri kalian, keluarga-keluarga kalian, harta kekayaan yang kamu usahakannya, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan tempat tinggal yang kalian redhainya lebih kalian cintai daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad di jalannya, maka tunggulah sehingga datangnya Allah pada urusan-Nya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah pada orang-orang fasik". (Surah at-Taubah ayat 24).

Terdapat juga fasik yang merujuk sebagai pendusta.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ ﴿٦

"Wahai orang-orang yang beriman, apabila datangnya orang yang fasik membawa perkhabaran, maka selidikilah, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan musibah disebabkan kejahilan kamu sehingga kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan". (Surah al-Hujurat ayat 6).

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ ﴿٤

"Dan mereka yang menuduh (zina) kepada perempuan yang memelihara kehormatannya, kemudian tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka sebanyak lapan puluh kali dan janganlah kamu mengambil persaksian mereka selama-lamanya. Mereka itulah orang-orang yang fasik". (Surah an-Nur ayat 4).

Fasik di sini adalah perbuatan pendustaan, bukannya yang lain seperti meminum arak, berjudi dan lain-lain. Oleh itu, dalam perkara persaksian atau pembawa perkhabaran, mereka yang fasik adalah mereka yang memberikan kesaksian yang palsu dan pendustaan, bukanlah mereka yang meminum arak, berjudi, berzina dan lain-lain.

Dengan itu, fasik dalam kategori masing-masing perlu dilhat daripada sudut mana yang merosakkan kelayakan pada kategori tersebut. Misalnya solat berimamkan orang yang fasik. Yang dimaksudkan dengan imam yang fasik adalah imam yang tidak ada kesedaran sama ada kerana mabuk ataupun pitam. Kerana mereka tidak ada kesedaran akal untuk memimpin jemaah dengan baik dan sempurna.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ

"Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mendekati solat ketika kamu dalam keadaan mabuk, sehinggalah kamu sedar apa yang kamu ucapkan...". (Surah an-Nisa' ayat 43).

Begitu juga yang dimaksudkan dengan imam yang fasik adalah mereka yang bukan ahli al-Quran, yakni mereka yang tidak mahir dalam qiraah dan tajwid di dalam pembacaan al-Quran.

وحَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ الْمُثَنَّى ، وَابْنُ بَشَّارٍ ، قَالَ ابْنُ الْمُثَنَّى : حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ ، عَنْ شُعْبَةَ ، عَنْ إِسْمَاعِيل بْنِ رَجَاءٍ ، قَالَ : سَمِعْتُ أَوْسَ بْنَ ضَمْعَجٍ ، يَقُولُ : سَمِعْتُ أَبَا مَسْعُودٍ ، يَقُولُ : قَالَ لَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " يَؤُمُّ الْقَوْمَ ، أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ ، وَأَقْدَمُهُمْ قِرَاءَةً ، فَإِنْ كَانَتْ قِرَاءَتُهُمْ سَوَاءً ، فَلْيَؤُمَّهُمْ أَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً ، فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ سَوَاءً ، فَلْيَؤُمَّهُمْ أَكْبَرُهُمْ سِنًّا ، وَلَا تَؤُمَّنَّ الرَّجُلَ فِي أَهْلِهِ ، وَلَا فِي سُلْطَانِهِ ، وَلَا تَجْلِسْ عَلَى تَكْرِمَتِهِ فِي بَيْتِهِ ، إِلَّا أَنْ يَأْذَنَ لَكَ أَوْ بِإِذْنِهِ " .

Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin al-Mutsanna dan Ibn Basysyar. Ibn al-Mutsanna berkata; Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Ja'far, daripada Syu'bah, daripada Isma'il bin Roja', dia berkata; aku mendengar Aus bin Dhom'aj berkata; aku mendengar Abu Mas'ud berkata; Rasulullah SAW bersabda kepada kami, "Lantiklah imam sesuatu kaum yang paling mengerti pembacaan kitab Allah dan dahulukan pembacaan mereka. Jika pembacaan mereka sama, dahulukan pada waktu hijrah mereka. Jika waktu hijrah mereka sama, maka lantiklah yang lebih tua pada usia mereka. Janganlah seseorang melantik imam pada ahli keluarganya mahupun orang di wilayahnya serta jangan kamu duduk di atas tempat duduknya di rumahnya kecuali jika diizinkan untuk kamu atau dengan izinnya". (Sahih Muslim, kitab al-Masajid wa Mawadhi'i as-Solah, no. 10855).

Demikian juga yang dimaksudkan dengan imam yang fasik adalah mereka yang tidak mengerti, tidak 'alim dan tidak faqih dalam fiqh solat. Dan imam yang fasik juga adalah mereka yang tidak memenuhi syarat mereka yang diwajibkan solat seperti kafir, belum baligh dan lain-lain. Oleh itu, tidaklah sah berimamkan orang yang sedemikian. Dengan ini imam yang fasik bukanlah imam yang berzina, bermain judi dan lain-lain semata-mata, akan tetapi mereka adalah orang-orang yang gugur kelayakannya untuk mengimami solat berjemaah.

Begitu juga fasik dalam kategori yang lain. Dalam perkahwinan, pasangan (suami atau isteri) yang fasik adalah para penzina.

وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلِكُمْ إِذَا آتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ وَلَا مُتَّخِذِي أَخْدَانٍ

"....(Dan dihalalkan mangawini) wanita yang menjaga kehormatan diantara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al-Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar mas kawin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya gundik-gundik...". (Surah al-Maidah ayat 5).

Pada ayat ini, dalam kategori perkahwinan, mereka yang menjaga kehormatan adalah mereka yang layak untuk dijadikan pasangan perkahwinan.

الزَّانِي لَا يَنكِحُ إِلَّا زَانِيَةً أَوْ مُشْرِكَةً وَالزَّانِيَةُ لَا يَنكِحُهَا إِلَّا زَانٍ أَوْ مُشْرِكٌ ۚ وَحُرِّمَ ذَٰلِكَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ ﴿٣

"Lelaki yang berzina tidak menikah melainkan dengan perempuan yang berzina atau wanita yang Musyrik dan perempuan yang berzina tidak dinikahi melainkan oleh lelaki-lelaki yang berzina atau lelaki-lelaki yang Musyrik dan yang demikian itu diharamkan atas orang-orang yang beriman". (Surah an-Nur ayat 3).

Manakala pada ayat ini pula menunjukkan bahawa diharamkan ke atas orang-orang yang beriman mengambil para penzina sebagai pasangan perkahwinan kerana mereka telah gugur kelayakan untuk dijadikan pasangan perkahwinan. Oleh itu, dalam perkara perkahwinan, fasik yang sebenar-benarnya dimaksudkan adalah para penzina, bukan mereka yang meminum arak, berjudi dan lain-lain sekalipun ianya adalah perbuatan maksiat.

Kesimpulannya, fasik hendaklah melihat pada aspek masing-masing supaya tidak terkeliru dalam menggugurkan kelayakan seseorang dalam kategori masing-masing. Sungguhpun masyhur dan umumnya perbuatan fasik adalah perlakuan dosa besar, namun tidak semua dosa besar yang menggugurkan kelayakan seseorang pada kategori tertentu.


Comments


Info
Laman ini merupakan laman tambahan dalam aktiviti blog bagi mengupas beberapa isu atau perkara menurut perspektif saya secara ikhtisar dan padat.
Laman Lain
  • unnamed
  • Blogger Social Icon
  • android-chrome-192x192
  • Tumblr Social Icon
  • webs.com_
  • Facebook Social Icon
  • Twitter Social Icon
  • Google+ Social Icon
Kategori
Arkib

© 2023 by DO IT YOURSELF. Proudly created with Wix.com

bottom of page