Jangan Semudah "Ini Ada Di At-Tahzib"
- Yukio Haruaki
- May 8, 2017
- 5 min read
Nota : At-Tahzib merujuk kepada kitab Tahzib al-Kamal Fi Asma' ar-Rijal karya al-Mizzi, Ikmal Tahzib al-Kamal Fi Asma' ar-Rijal karya Mughlathoy bin Qulaij, Tahzib at-Tahzib karya Ibn Hajar al-'Asqalani dan lain-lain yang semanhaj dengannya berkenaan dengan qaul al-Jarh wa at-Ta'dil yang bersifat sumber rujukan sekunder seperti Siyar A'lam an-Nubula', Tarikh al-Islam wa Wafiyat al-Masyahir wa al-A'lam, Mausu'ah Aqwal dan lain-lain.
Ketika berpihak pada tajrih terhadap an-Nu'man bin Tsabit, aku tidak mengambil kedua-dua riwayat ini sekalipun ia merupakan bahan peledak pada sisiku.
حدثنا أحمد بن حفص، حدثنا أحمد بن سعيد الدارمي، قال: سمعت النضر بن شميل يقول: كان أبو حنيفة متروك الحديث ليس بثقة.
Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Hafs; Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Sa'id ad-Darimi, dia berkata; aku mendengar an-Nadhr bin Syumail berkata, "Abu Hanifah ditinggalkan hadisnya dan tidak tsiqah". (Al-Kamil Fi Dhu'afaa' ar-Rijal, Ibn 'Adi, jilid 8, m/s 235, al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut).
Riwayat ini dha'if kerana Ahmad bin Hafs bin 'Umar bin Hatim as-Sa'di al-Jurjani dinilai munkar hadisnya yang tidak boleh diikuti akannya sepertimana yang dinyatakan oleh Ibn 'Adi dalam Al-Kamil Fi Dhu'afaa' ar-Rijal, jilid 1, m/s 328-330, al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut.
حدثنا محمد بن سعد الشاشي، قال: حدثنا شيبان، قال: حدثني يحيى بن كثير أبو النضر، قال: كان أيوب السختياني إذا سمع حديثه يعجبه، قال: عن من؟ فيقال: عن أبي حنيفة. فيقول: دعوه.
Telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Sa'd asy-Syasyi, dia berkata; Telah menceritakan kepada akmi Syaiban, dia berkata; Telah menceritakan kepadaku Yahya bin Katsir Abu an-Nadhr, dia berkata; Dahulu apabila Ayyub as-Sakhtiyani mendengar sebuah hadis, dia merasa takjub terhadapnya. Dia berkata, "Daripada siapa?". Dikatakan kepadanya, "Daripada Abu Hanifah". Lantas dia berkata, "Jauhkan daripadanya". (Ad-Dhu'afaa' al-Kabir, Abu Ja'far al-'Uqaili, jilid 4, m/s 268, Dar al-Maktabah al-'Ilmiyyah, Beirut, tahqiq 'Abdul Mu'thi Amin Qol'aji).
Riwayat ini dha'if kerana Yahya bin Katsir adalah orang yang ditinggalkan hadisnya menurut penilaian ad-Daruquthni dalam al-'Ilal al-Waridah Fi al-Ahadits an-Nabawiyyah, jilid 1, m/s 192. Yahya bin Ma'in mendha'ifkannya, 'Amru bin 'Ali al-Fallas menyatakan bahawa dia meriwayatkan dengan banyak kecelaruan dan waham, Abu Zur'ah menyatakan bahawa dia lemah hadisnya dan Abu Hatim ar-Razi menyatakan bahawa dia lemah hadisnya lagi hilang hadisnya sepertimana yang dinukilkan oleh Ibn Abu Hatim ar-Razi dalam al-Jarh wa at-Ta'dil, jilid 9, m/s 182. Abu Ja'far al-'Uqaili menilainya sebagai munkar hadisnya dalam ad-Dhu'afaa' al-Kabir, jilid 4, m/s 424, Dar al-Maktabah al-'Ilmiyyah, Beirut, tahqiq 'Abdul Mu'thi Amin Qol'aji. Ibn 'Adi dalam al-Kamil Fi Dhu'afaa' ar-Rijal, jilid 9, m/s 101, al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut menyatakan bahawa dia termasuk para dha'if yang ditulis hadisnya.
Aku juga tidak mengambil kalam al-Jarh wa at-Ta'dil dari 'Ali bin al-Madini riwayat Muhammad bin 'Utsman bin Abu Syaibah, Yahya bin Ma'in riwayat Ibn Muhriz dan mana-mana nuqqad yang terbukti riwayat daripadanya adalah dha'if. Tidaklah aku nukil kalam al-Jarh wa at-Ta'dil melainkan setelah aku yakin kesahihannya dan menukilkan dari sumber primernya melainkan jika aku tidak menemui sumber primernya, kemudian barulah aku menukilkan dari at-Tahzib.
Aku tekankan perkara ini kerana aku melihat sikap sebahagian pengkaji hadis sangat bermudah-mudahan mengutip penukilan daripada at-Tahzib dan yang semanhaj dengannya tanpa mahu meneliti sumber aslinya untuk banyak perkara sama ada dalam pentakhrijan, pentahqiqan dan kehujahan. Padahal sebahagiannya tidaklah sahih dan tidak boleh menjadi apa-apa kehujahan terhadapnya jika sesiapa yang melakukan rujukan silang, Usah bersikap seolah-olah tidak percaya lagi dengan realiti sebegini kerana kegagalan untuk bersikap realistik tanda was-was syaitan yang berusaha memperdayakan seseorang atau kemungknan kejahilan mereka sendiri dalam kajian hadis. Tentu sahaja yang menentang akan hal ini adalah syaitan yang menentang ahli ilmu. Bagaimana seseorang boleh bersikap bermudah-mudahan akan hal ini sedangkan ia berpotensi untuk memberi kesan kepada darjat kesahihan hadis sama ada dari hadis sahih kepada dha'if dan hadis dha'if kepada sahih?
Aku mungkin boleh memaafkan dalam bidang pentakhrijan walaupun hal tersebut aku begitu mencela hal tersebut. Bahagian yang aku cela adalah semuanya melepaskan nukilan sesuatu qaul al-Jarh wa at-Ta'dil dengan menyandarkan kitab at-Tahzib tanpa berusaha semaksimum yang mungkin mencari sumber primer qaul tersebut. Sebenarnya sifat lengah sebegini menyukarkan kajian semula untuk meneliti kesahihan dari sumber primer tersebut. Apabila kalian tahu hakikat tentang wujudnya riwayat-riwayat dha'if dalam kenyataan al-Jarh wa at-Ta'dil, sanggupkah kalian berbuat sedemikian? Aku memuji usaha Dr. Basysyar 'Awwad Ma'ruf yang mentahqiq kitab Tahzib al-Kamal Fi Asma' ar-Rijal karya al-Mizzi dalam mentakhrij sumber penukilan asal kerana hal tersebut memudahkan pencarian dan penelitian kesahihan sumber asal. Semoga ada yang lain yang menyambung legasi hamba Allah ini mudah-mudahan mereka mendapat rahmat atas usaha kemanfaatan bagi sekalian umat. Sesungguhnya diam Dr. Basysyar 'Awwad ketikamana tidak mengetahui asal usul atau sumber primer qaul yang dinukilkan lebih aku sukai berbanding seseorang yang hanya bersikap mencampakkan catatan kaki yang hanya suruh merujuk karya at-Tahzib. Bahagian yang aku maafkan adalah mereka cuma serahkan kuncinya, tetapi tidak memberitahu tentang pintunya.
Namun, dari sudut kehujahan, aku begitu rigid untuk bertoleransi jikalau seseorang bersikap lengah terhadap ini. Mereka berhujah untuk mensahihkan atau mendha'ifkan hadis tetapi mereka tidak ingin mengkaji faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan kehujahan al-Jarh wa at-Ta'dil menjadi rapuh sehingga al-Jarh tidak mampu lagi mencacatkan kedudukan perawi dan at-Ta'dil tidak mampu lagi memurnikakan kredibiliti perawi sehingga kedudukan sahih dan dha'if hadis itu tidak berdiri di atas tapak yang ampuh. Tentu apatah lagi kecelaan yang bertambah mereka menaburkan qaul-qaul tanpa menamakan sumber-sumber pengambilan mereka. Sesungguhnya aku begitu suka untuk meneliti sanad panjang berjela-jela dari kitab Tarikh Dimasyq karya Ibn 'Asakir berbanding hanya bersikap mencampakkan nukilan-nukilan daripada sumber sekunder, yakni at-Tahzib.
Tidaklah aku ingin cela karya-karya at-Tahzib khususnya yang datang dari al-Mizzi, Mughlatoy dan Ibn Hajar kerana mereka adalah orang berjasa untuk menghimpunkan semaksima yang mungkin qaul-qaul al-Jarh wa at-Ta'dil dari beraneka sumber. Jika aku tidak mendapati suatu qaul al-Jarh wa at-Ta'dil daripada rujukan ini, aku akan meragui akannya memandangkan mereka adalah huffaz besar yang luas pencapaian wilayahnya dalam sumber-sumber rujukan yang hampir-hampir memustahilkan bagi mereka untuk terlepas daripadanya. Aku tidak nafikan sebahagian qaul tidak tertulis di dalam karya mereka dan aku dapati hal tersebut mempunyai sumber primer baginya serta hal tersebut adalah sahih. Namun, hal tersebut tidaklah sebanyak sebanding waspada mereka dalam keterluputan itu sehingga aku anggap itu cumalah lumrah yang biasa dalam kemampuan manusia.
Namun, kadangkala aku tidak menemui sumber primernya, namun tidaklah aku bersikap menolaknya mentah-mentah kerana mereka adalah kepercayaan lagi amanah yang nukilan-nukilan mereka sentiasa melazimi sebagaimana yang tertulis dalam rujukan mereka. Kemungkinan sahaja kitab-kitab itu hilang, terhapus atau apa-apa faktor lain sehingga zaman moden ini kita tidak dapat menelaah karya-karya sumber primernya. Walaupun kadangkala aku merasa luluh hati kerana mereka tidak menamakan sumber-sumer pengambilan mereka, namun tidak ada apa-apa erti lagi jika aku ingin memarahinya atau mencelanya kerana hal tersebut tidak mampu mengubah apa-apa hakikat melainkan sekadar coretan dan luahan jiwa. Akan tetapi, tidak memperoleh semua bukan seharusnya kita meninggalkan kesemuanya. Maka, hal ini kita serahkan pada Allah Ta'ala dan integriti mereka dalam menghasilkan penulisan yang bermanfaat untuk umat. Namun, apabila ditemui sumber primernya, maka menjadi tanggungjawab untuk diri kita menyemak dan menganlisis jika ia mempunyai sanad padanya kerana hal tersebut belum tentu hal tersebut sahih. Mereka hanya cuma menukilkan, tetapi belum tentu mereka menghakimi hal tersebut.
Maka, aku pesan kepada para pengkaji hadis, jangan semudah menaburkan qaul-qaul dari kutipan at-Tahzib setelah kita tahu realiti yang wujud pada penukilan sumber sekunder atau mungkin tertier. Semua ini bukan semata-mata untuk menguatkan hujah dalam mempertahankan pendapat kita dalam sesuatu hadis, tetapi supaya penilaian kedudukan hadis itu tidak menjadi caca merba akibat sikap lengah kita dalam mengambil riwayat dan kehujahan. Tidak mungkin hadis tersebut disahihkan dengan qaul at-Ta'dil yang tidak sahih riwayatnya dan begitu juga seterusnya.
Comments