top of page

Kebodohan Dalam Merebut Seseorang Ulama' Itu Aliran Ikutannya Ataupun Tidak

  • Writer: Yukio Haruaki
    Yukio Haruaki
  • May 8, 2017
  • 3 min read

Antara kebodohan yang jelas adalah saling merebut sama ada seseorang ulama' itu adalah wahabi ataupun tidak. Inilah apa yang cuba dibuat oleh pihak Salafi dan yang bermanhaj al-Asya'irah yang saling bertarung untuk perjuangan sia-sia ini. Walhal, para ulama' yang mereka rebutkan itu berlepas diri daripada apa yang mereka cuba lakukan. Tidaklah kefahaman Islam ini sekadar daripada apa yang dicorakkan oleh sesuatu pemikiran sekelompok, tetapi ia adalah daripada al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi titik ilmu kepada agama ini. Tidak lagi patut mereka bertikam lidah untuk perbuatan yang sia-sia dan tidak bermanfaat ini dengan menggadaikan banyak waktu, tenaga dan juga persaudaraan semata-mata perbalahan yang tidak berkesudahan. Di sini terdapat tiga sebab punca kebodohan ini.

Yang pertama, mereka tidak menyedari bahawa yang paling wajib diikuti adalah al-Quran dan as-Sunnah, bukan aliran kelompok mereka. Tidak semua perkara perlu dimenangkan atau berpihak kepada sesuatu kelompok, yang penting kebenaran berada di sisi kebenaran itu sendiri tanpa mengira sesiapa jua sekalipun. Sekalipun aliran mereka meluas cangkupannya atau ramai pula pengikutnya, sentiasalah ingat bahawa al-Quran dan as-Sunnah lebih luas daripada apa yang mereka mampu fikirkan. Jadi, tidak perlu hairan mengapa seseorang atau sekumpulan yang di luar wilayah wilayah mereka kadangkala lebih benar, lebih teguh, lebih sempurna dan lebih kuat berbanding mereka. Maka, wajib menjadikan al-Quran dan as-Sunnah menjadi sandaran asas berbanding sesuatu kelompok, bukannya kedua-dua sumber ini perlu ditafsirkan dan mengikuti cara mereka semata-mata.

Yang kedua, mereka tidak mahu mengakui dan menerima kesilapan seseorang ulama' sekalipun telah jelas. Wajib kita sedar bahawa manusia bukanlah maksum dari kesilapan. Mereka memiliki kebenaran di sisi mereka dan mereka jua ada kesilapan pada mereka. Al-Quran dan as-Sunnah jualah yang menjadi neraca keadilan untuk perkara ini. Jika terbukti ulama' tersilap dalam sesuatu perkara, akui dan terima serta jangan sekali-kali mengambil pendapat mereka itu. Usah membuang masa untuk mencari-cari alasan, takwil dan pelbagai helah demi menegakkan benang yang basah. Kita menghormati atas usaha dan kedudukannya dan memaafkan kesilapan atas beberapa sebab. Dengan itu, kita tidak patut buat apa sahaja demi mengheret seseorang itu termasuk dalam salah satu qaul yang diterima dalam aliran meskipun telah jelas kesalahannya. Hendaklah al-Quran dan as-Sunnah yang menjadi hujah ke atas tiap-tiap perkara.

Yang ketiga, mereka berlaku sombong dan tidak adil dalam pertimbangan. Itulah sebabnya mereka begitu taksub terhadap sesuatu aliran sehingga mereka mempertahankannya bermati-matian sekalipun apa yang mereka pertahankan itu tidak bermakna apa-apa. Akhirnya, ia hilang kewarasan untuk menilai secara adil untuk mereka yang dianggap di luar wilayah mereka, lalu berlaku zalim dan sombong terhadap mereka dengan penolakan segala pembawaannya sekalipun daripada kebenaran. Terlalu tinggi ego sehingga mengabaikan keharmonian, toleransi dan kedamaian agar kebenaran itu menjadi zahir untuk mereka. Adalah lebih baik mereka lapangkan dada mereka dan sentiasa meneliti dengan neraca yang benar agar tidak lagi adanya kemusnahan untuk diri sendiri dan juga yang lain.

Perlulah kita ingatkan bahawa bukan semua orang perlu mengikuti pandangan orang lain. Setelah kita sedari ketiga-tiga perkara tadi, maka nyatalah bahawa yang diikuti hanyalah orang-orang yang mengikuti manhaj al-Quran dan as-Sunnah, tidak mengikuti dan mengambil pendapat yang tersilap serta tidak menyertai orang-orang yang berlaku sombong dan tidak adil dalam pertimbangan. Maka, tidak usah kita heret sesiapa pun kepada mana-mana aliran yang ia ikuti.

Setelah kita sedari akan hal ini, hendaklah kita peringatkan bahawa hanya al-Quran dan as-Sunnah sebagai neraca pertimbangan, bukan peruntukan undang-undang yang dibentuk oleh sesuatu kelompok. Ketepikan qaul-qaul yang bercampur baur dalam aliran itu dan utamakan perkataan Allah dan Rasul-Nya untuk setiap hal.


Comments


Info
Laman ini merupakan laman tambahan dalam aktiviti blog bagi mengupas beberapa isu atau perkara menurut perspektif saya secara ikhtisar dan padat.
Laman Lain
  • unnamed
  • Blogger Social Icon
  • android-chrome-192x192
  • Tumblr Social Icon
  • webs.com_
  • Facebook Social Icon
  • Twitter Social Icon
  • Google+ Social Icon
Kategori
Arkib

© 2023 by DO IT YOURSELF. Proudly created with Wix.com

bottom of page