Kemerepekan Dalam Kelaziman Penyandangan Gelaran Terhadap Tokoh
- Yukio Haruaki
- May 7, 2017
- 2 min read
Kelaziman penyandangan gelaran "al-Imam", "al-'Allamah", "al-'Alim", "asy-Syaikh", "al-Hafiz", "al-Musnid", "al-Muhaddits", "al-Faqih" kadangkala merepek pada zaman ini. Kemerepekannya pada kesan persepsi kita yang begitu takut untuk menyalahinya jika telah terbukti kesilapannya dan lunak terhadap kegelincirannya yang jelas, iaitu dengan pura-pura menghormatinya dan berpura-pura merendah diri serta berpura-pura bersantun dengannya kerana terhijab dengan aura sakral pada sandangan gelaran itu yang seolah-olah mempunyai maqam sakti berkeramat. Sedangkan mereka semua cumalah manusia biasa yang dilebihkan sebahagian perkara. Setinggi manapun pencapaian seseorang manusia, itu cumalah bahagian aksesori. Teras utamanya tetap tidak berubah, iaitu keberadaan manusia itu sendiri.
Bahkan, kelaziman sandangan gelaran ini hampir-hampir tidak ada langsung dalam tradisi golongan terdahulu, khususnya dalam interaksi ilmu rijal. Yang menjadi sebutan yang lazim ialah "Abu Hatim ar-Razi meriwayatkan kepada kami", "Abu 'Abdullah berkata kepadaku", "Yahya bin Sa'id al-Qaththan menjawab", "'Ali bin al-Madini bertanya", "Ishaq bin Rahuyah berhujah demikian demikian", "Syu'bah bin al-Hajjaj berbuat demikian demikian" dan seumpama dengannya. Rujuklah sumber-sumbernya dan perhatikanlah bahawa sama sekali tidak ada kelaziman dalam menyandangkan gelaran. Semuanya terus menyebutkan nama sebenarnya, kunyahnya, laqabnya, nasabnya dan lain-lain. Kalau ada gelaran seperti "al-Hafiz" atau "al-Imam", itu sekadar ingin menyatakan kedudukannya dalam kredibiliti dan reliabiliti pada periwayatan hadis, bukan menjadi mantera yang lazim.
Mereka berkata "Golongan itu setara pada peringkat, maka tidak ada masalah untuk komunikasi sedemikian". Aku katakan, jikalau begitu, maka ia akan menghasilkan dua perkara, iaitu sama ada mereka menjustifikasikan bahawa para periwayat itu mencontohkan sesuatu yang tidak baik kepada umat kerana tidak melazimkan gelaran setiap kali menyebut namanya atau mereka bersetuju denganku bahawa panggilan biasa tidaklah melazimkan kepada ketidakhormatan terhadap orang lain.
Jika ingin menyandangkan gelaran itu, maka janganlah sesekali dia terhijab dengan gelaran itu. Memanggil dengan gelaran mulia akan jadi racun jikalau ia menggelombangkan aura sakral. Sebab itulah dalam mengkritik tokoh, aku tidak peduli apa-apa jua sandangan yang dipakaikan kepadanya. Aku anggap mereka semua seperti saudara yang sama-sama pernah main bola sepak masa kecil dahulu atau teman kopi semeja di kafe hipster sambil berbahas dan berdiskusi ilmu agama. Aku tidak peduli kalau aku ingin tumbuk, sepak, belasah, terajang, balun, hentam dan sebat mana-mana yang jelas terbukti kesalahannya. Aku tidak perlu pura-pura bersantun, hormat dan merendah diri, apatah lagi hanyut dalam aura sakral. Mereka mungkin ada bahagian yang lebih, tetapi itu bukan bermakna mereka ada kesaktian.
Comments