Pengharaman Talfiq?
- Yukio Haruaki
- May 7, 2017
- 4 min read
Dalam perbahasan berkenaan dengan hukum talfiq dan beriltizam dengan satu mazhab, kita pasti akan melihat pendapat sebahagian ulama' yang berpihak untuk mewajibkan seseorang beriltizam dengan satu mazhab serta mengharamkan talfiq. Saya tidak mahu membahaskan dalil-dalil mereka dan membawa argumentasi dalam menyanggah pegangan mereka, tetapi saya mahu mereka fikirkan semula pegangan mereka.
Cuba bayangkan seseorang hidup di zaman para Sahabat Rasulullah SAW. Sebahagian mereka diutuskan atau berhijrah di tempat yang lain untuk menyebarkan dan mengembangkan ajaran Islam. Katakan, seseorang tinggal di Makkah dan melazimi dalam mengikuti pendapat-pendapat Ibn 'Abbas. Kemudian, orang itu bertanya kepada Ibn 'Abbas, "Adakah saya dibolehkan untuk mengikut pendapat Ibn Mas'ud yang diikuti pendapatnya oleh penduduk 'Iraq?".
Tidakkah anda nampak itu merupakan persoalan yang cukup bodoh sekali? Demi hujahku yang sangat kukuh! Jikalau mereka telah meneliti persoalan ini dan masih berpegang dalam kewajipan untuk beriltizam dalam satu mazhab dan mengharamkan talfiq, ketahuilah bahawa mereka adalah orang-orang yang taksub terhadap seseorang tokoh dan orang-orang yang sealirannya serta mereka itu adalah berdiri di atas hujah yang rapuh secara pasti tanpa perlu ragu lagi serta tiada penafian lagi. Dalam realiti kehidupan pun adalah sangat bodoh juga seseorang hanya diwajibkan dengan mengikuti pendapat satu ustaz sahaja dan tidak dibenarkan mengikuti ustaz yang lain. Tentu sahaja ini kecelaruan dalam interaksi ilmu pada realiti sebenarnya. Apatah lagi apabila ia berkenaan kerangka fiqh sebegini. Sungguh itu tanda kebodohan yang bertingkat-tingkat tidak terjangkau tingginya. Alasan-alasan refutasi mereka adalah tanda kesombongan yang nyata, kecacatan akal yang sejahtera serta berkhayal di dalam hukum-hakam ciptaan omongan kosong.
Bahkan perbahasan berkenaan dengan talfiq adalah kesia-siaan yang tidak perlu diwujudkan dalam mana-mana kitab-kitab penulisan. Jikalau diwujudkan, ia semata-mata untuk menghempas mereka yang telah mabuk dalam pendapat-pendapat yang mewajibkan beriltizam dengan satu mazhab dan mengharamkan talfiq. Tidak lebih daripada itu. Mereka adalah pencemar agama yang menjijikkan lagi mengotorkan kerana busuknya lidah mereka mengungkapkan kata-kata yang tidak lurus dan bertaut dengan lumuran najis yang tidak mampu dibersihkan dengan seluruh lautan di bumi, melainkan mereka kembali kepada Allah Ta'ala dengan sebenar-benar taubat serta melangkah kaki di atas jalan kebenaran.
Sekalipun saya mencela golongan ini, saya juga mencela mereka yang mengharamkan dalam beriltizam dengan salah satu mazhab dan mewajibkan untuk berijtihad dalam setiap hal. Tentu ini merupakan kekerasan yang melampau di dalam beragama. Ia sangat membebankan umat Islam dalam praktikal kerana bukan semua orang berkemampuan untuk mencapai taraf mujtahid mutlak mahupun menjadi semi-mujtahid. Sesungguhnya agama ini tidak membenarkan umat melakukan sesuatu yang bukan kemampuan baginya. Salah satu sumbangan yang baik dalam pembentukan mazhab adalah memudahkan praktikal bagi golongan-golongan yang tidak berkemampuan. Namun begitu, itu bukanlah alasan untuk mewajibkan beriltizam dengan satu mazhab dan mengharamkan talfiq. Ia cumalah alat bantuan untuk orang-orang yang tidak berkemampuan mencapai matlamat praktikal agama.
Saya juga tidak sesekali bersetuju jika seseorang melakukan talfiq dan mengikuti mana-mana mazhab atau mencampur adukkan mazhab yang ia suka dengan sewenang-sewenangnya. Yang wajib diikuti bukan pada qaul-qaul tokoh, tetapi pada hujah al-Quran dan as-Sunnah. Mereka yang selari dengan jalan al-Quran dan as-Sunnah, maka pendapat inilah yang terkuat dan lebih patut untuk diikuti. Oleh itu, sekalipun saya bersetuju untuk mengharuskan seseorang melakukan talfiq, tetapi bukan bermakna mereka boleh mengikuti mana-mana pendapat yang ia sukai dengan sesuka hati. Jadi, ia tidak semudah yang disangka untuk bermudah-mudahan dalam mengambil qaul seseorang lalu mengikuti pendapatnya.
Bahkan, siapa sebenarnya yang mengatakan beriltizam dengan satu mazhab ini adalah kewajiban? Tentu sekali pendapat para muqallid tidak diambil kira, apatah lagi jika mereka bersepakat terhadap sesuatu. Kerana mereka mengikuti sesuatu pendapat dalam keadaan tidak memahami dan mengerti penilaian dan anlisis dalil. Bagaimana mungkin boleh dikatakan orang yang tidak mengetahui boleh bersepakat di atas kefahaman yang sama dengan orang yang tidak mengetahui dalam sesuatu perkara? Maka, kesepakatan atau pendapat mujtahid itu diambil kira. Kita lihat pada realitinya adalah bahawa para mujtahid sendiri tidak bersepakat untuk beriltizam dengan suatu pendapat atau aliran sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Bagaimana seseorang yang bukan ahli ijtihad menetapkan kewajiban untuk beriltizam dengan mazhab sedangkan para mujtahid yang lebih unggul kedudukannya tidak saling beriltizam? Jika sesiapa yang merasakan bahawa beriltizam dengan mazhab adalah wajib adalah berhak diterima, maka para mujtahid wajar merasa lebih berhak untuk diterima. Malang sekali bahawa mereka sendiri tidak di atas iltizam terhadap sesuatu aliran secara konsisten.
Tambahan pula, jikalau beriltizam dengan satu mazhab ini adalah wajib, maka ijtihad itu adalah haram. Tentu sekali ini hal ini bukan kewarasan akal dalam menerima realiti dalam praktis pensyariatan agama ini kerana ijtihad telah berlaku dan berterusan. Bahkan, menafikan kewujudan ijtihad adalah bid'ah yang mungkar lagi menyesatkan untuk mana-mana zaman. Tidak boleh sesiapa menganggap bahawa pintu ijtihad telah tertutup kerana pensyariatan ijtihad ini tetap terbuka sepanjang zaman, melainkan mereka adalah orang yang diturunkan wahyu kepadanya untuk memansuhkan pensyaritan ini. Mereka yang mengatakan bahawa pintu ijtihad itu tertutup seolah-olah mengatakan bahawa pernikahan dengan ahli kitab tidak boleh lagi diperbolehkan di dalam pensyariatan agama ini hanya kerana semata-mata tidak ada atau jarang yang mengamalkannya.
Jika keharaman itu tertuju pada orang yang tidak berkemampuan untuk berijtihad atau menganalisa dalil, maka pada hakikatnya mereka tidak menerima hukum taklifi ke atas mereka. Bagaimana mungkin penghukuman kewajiban seperti ini secara gopoh terhadap golongan ini kerana mereka bertaqlid bukan di atas kemahuan sendiri, tetapi disebabkan ketidakmampuan mereka. Pendapat seperti itu seolah-olah mengatakan bahawa wajib seseorang itu melakukan solat dalam keadaan duduk jika dia tidak mampu berdiri. Jelas sekali bahawa ini adalah kaedah penghukuman fiqh yang tersasar.
Kalau keharaman talfiq adalah supaya mengelakkan orang mengikuti sesuatu pendapat mengikuti hawa nafsu, maka adakah orang yang terus mempertahankan taqlid di atas satu mazhab itu tidak mengikuti hawa nafsu? Jangan sesekali menyangka orang yang memilih pendapat yang paling keras, paling selamat dan paling berhati-hati adalah orang yang tidak memilih hawa nafsunya sebagai ikutan.
Maka dengan itu, bagi mereka yang berpegang dengan kewajipan untuk beriltizam dengan satu mazhab dan melarang talfiq, perlu melakukan muhasabah diri, membuat koreksi serta menelaah semula pegangannya. Sesungguhnya ia adalah pegangan beracun yang sangat berbahaya. Tidaklah saya melihat akan hal ini melainkan bangkai yang membusukkan agama ini. Istilah talfiq pada hakikatnya tidak perlu diwujudkan, apatah lagi membahaskannya.
Commenti