Wang Kertas Tidak Mempunyai Nilai Intrinsik?
- Yukio Haruaki
- May 8, 2017
- 3 min read
Menurut Investopedia, nilai intrinsik adalah nilai yang sebenar bagi sesuatu aset berdasarkan persepsi terhadapnya dalam setiap aspek sama ada ia sesuatu yang nyata ataupun tidak nyata[1]. Dengan kata lain, ia adalah nilai tersendiri pada sesuatu aset tanpa campuran daripada mana-mana faktor luaran yang membentuk nilai tersebut[2]. Nilai tersebut sebenarnya bergantung kepada persepsi seseorang atau beberapa orang terhadap sesuatu yang ia intepretasi. Nilai tersebut sememangnya subjektif untuk ditentukan kerana masing-masing mempunyai pelbagai persepsi berkenaannya. Namun, apabila kita berbicara mengenai nilai, pasti ada sesuatu yang dapat dimanfaatkan daripadanya[3].
Misalnya, sesebuah buku itu bernilai kerana ia merupakan bahan bacaan dan rujukan. Sebuah almari mempunyai nilai kerana ia mampu menyimpan barangan di rumah. Dan lain-lain lagi yang mana ia menunjukkan adanya kemanfaatan yang boleh digunakan padanya. Maka, bahan bacaan merupakan nilai intrinsik bagi buku itu tanpa ada faktor-faktor luaran yang lain seperti penulis yang terkenal dan lain-lain.
Persepsi kita terhadap sesuatu nilai adalah kadar pengetahuan kita untuk interpretasi kemanfaatan yang ada padanya. Maka, kita boleh katakan nilai intrinsik ini wujud kerana seseorang atau beberapa orang mempunyai kadar pengetahuan dalam menginterpretasi terhadap sesuatu aset[4] bahawa ia mempunyai kemanfaatan daripadanya.
Kewujudan inilah yang menghasilkan sistem barter yang mana seseorang menawarkan sesuatu aset untuk ditukarkan agar ia mendapat aset yang ia mahukan untuk dimanfaatkan. Pada masa dahulu, sistem barter sangatlah sukar untuk terlaksana memandangkan tidak ada alat tukaran yang rasmi atau masyhur untuk perjalanan transaksi kerana masing-masing tidak mendapat kesepakatan antara dua pihak dalam aset yang ingin ditukar[5]. Lama kelamaan, mereka menemui bahan komoditi yang dapat menjadi bahan tukaran seperti garam, roti, lembu dan lain-lain yang mana ia menjadi bahan pertukaran yang masyhur daripada orang ramai. Kemudian, mereka pun menemui besi yang berharga seperti emas dan perak yang memenuhi permintaan yang efektif sebagai mata wang. Emas dan perak sangat sukar diperolehi, permintaan yang universal, sepadan, boleh dibahagi dan tahan lama. Akhirnya, semua orang bersetuju untuk menggunakan emas dan perak sebagai mata wang[6]. Dengan itu, nilai intrinsik pada emas dan perak adalah kerana ia sendiri mempunyai nilai tukaran yang diterima secara global dan lebih mudah untuk urusan transaksi berbanding dengan menggunakan garam, gandum dan bahan komiditi yang lain.
Hari ini secara rasminya mata wang kertas adalah diimplementasikan penggunaannya atas perintah daripada kerajaan dalam urusan transaksi pembelian yang sah di dalam negara. Maka, wang kertas meluas penggunaannya sehingga ke peringkat global yang mana ia dianggap lebih mudah dibawa dalam urusan transaksi, khususnya melibatkan kuantiti yang banyak jika dibanding dengan emas.
Walaupun begitu, sebenarnya wang kertas kita sekarang ini tidak mempunyai apa-apa nilai intrinsik kerana sah penggunaannya secara rasmi adalah dengan perintah daripada kerajaan yang mentadbir. Buktinya, transaksi dengan mata wang zaman penjajahan negara Jepun di tanah Melayu tidak boleh digunakan dalam transaksi yang sah secara rasmi pada zaman pemerintahan kerajaan Malaysia hari ini. Bahkan, transaksi mata wang di Malaysia sama sekali tidak boleh dilaksanakan di negara-negara lain. Jadi, dengan ini jelas bahawa wang kertas kita hanya memiliki nilai ekstrinsik, iaitu nilainya di atas pengaruh ketetapan undang-undang kerajaan, bukan sememangnya persepsi yang lahir daripada seseorang atau sekumpulan orang sepertimana buku. Jika tidak ada undang-undang tersebut atau perintah daripada kerajaan yang ditadbir, boleh jadi tidak ada seorang pun terfikir untuk mengunakan kaedah tersebut dalam urusan transaksi perniagaan.
Berbeza dengan mata wang emas. Sekalipun negara lain mempunyai perbezaan dalam ketetapan dalam pelegalan dan pengesahan dalam transaksi, tetap diterima kerana emas itu sendiri mempunyai nilai intrinsik yang diterima luas seluruh dunia. Misalnya, mata wang emas, perak dan timah yang dibawa daripada Pedir, Pasai, Kembayat dan Gujerat digunakan di Melaka untuk membolehkan urusan perdangan berjalan lancar dan menggalakkan pedagang untuk berdagang di Melaka[7].
Dengan itu, ketiadaan nilai intrinsik di sini bukan kerana ia penyebab kepada masalah inflasi, tetapi ia disebabkan nilai tersebut bukan disebabkan persepsi semulajadi sama ada secara dharuri atau kognitif padanya, tetapi ia daripada ketetapan yang ditekankan oleh kerajaan yang ditadbir.
[1]http://www.investopedia.com/terms/i/intrinsicvalue.asp
[2]http://plato.stanford.edu/entries/value-intrinsic-extrinsic/
[3]http://www.forbes.com/sites/gurufocus/2015/01/07/the-simple-concept-of-intrinsic-value/#17b14c4c6718
[4]Perlu diingatkan di sini bahawa aset di sini merujuk kepada yang nyata ataupun tidak nyata. Aset yang nyata adalah sesuatu yang konkrit yang boleh dilihat dan disentuh dan sebahagiannya boleh dirasai seperti makanan, buku dan lain-lain. Manakala, aset yang tidak nyata adalah sesuatu yang tidak konkrit yang tidak boleh dilihat dan disentuh, tetapi ia boleh dirasai sama ada melalui pengalaman ataupun deria seperti urutan, pakej pelancongan dan lain-lain.
[5]https://www.mint.com/barter-system-history-the-past-and-present
[6]Why Gold? Why Silver? Why Now? How You Can Profit From Precious Metals, Jonathan Quek, m/s 9, terbitan True Wealth Sdn Bhd.
[7]Buku teks Sejarah Tingkatan 1, Ahmad Fawzi bin Mohd Basri, Mohd Fo'ad bin Sakdan dan Azami bin Man, m/s 67, terbitan Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur, 2006.
Comments