Bandingan Ejekan Dan Tuduhan Pada Masa Dahulu Dan Kini
- Yukio Haruaki
- May 10, 2017
- 6 min read
Segala puji bagi Allah yang memusnahkan kesombongan orang-orang yang ingkar terhadap kebenaran, lalu memenangkan mereka yang berpijak di atas keadilan dan menzahirkan kekuatan hamba-Nya. Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW yang menjadi utusan-Nya untuk menyampaikan pesanan yang berguna bagi seluruh umat agar manusia hidup di dalam kebahagiaan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Begitu juga terhadap keluarganya, sahabatnya dan mereka yang mengikuti baginda dengan sebaik-baiknya, mudah-mudahan mereka sentiasa diberikan pahala berterusan.
Amma Ba'd. Al-Quran merupakan petunjuk seluruh alam yang menyuluh bimbingan dan panduan kepada manusia yang menginginkan kebaikan untuk dirinya sendiri. Dalam beberapa siri pendidikan, al-Quran menyatakan tentang sikap dan perwatakan manusia yang berkeras kepala untuk bersebati dengan kebatilan dan menentang kebenaran yang datang kepadanya. Ia memaparkan contoh-contoh umat terdahulu atau berbicara secara umum tanpa mengaitkan pada mana-mana zaman, tempat atau situasi, namun semuanya ingin menjelaskan perwatakan mereka.
Walaupun al-Quran diturunkan pada 1400 tahun yang lalu yang mana kadangkala laras bahasa atau pendekatan disesuaikan dengan keadaan, zaman dan tempat wahyu diturunkan, namun isi dan inti pengajaran boleh diambil daripadanya untuk implementasi zaman kini. Walaupun al-Quran kadangkala tidak menyebutkan secara langsung atau berkias untuk memaparkan sifat manusia, namun semua ini bermaksud bahawa ia boleh dipadankan dengan zaman kini sekalipun banyak perkara yang berubah dan berbeza pada zaman berikut. Tetapi, landasan dan tapak asasnya tetap sama sehingga ia boleh direnungi dan dihayati tanpa kita membiarkannya tafsiran tersebut telah mati disebabkan tangapan konteks dan dimensi telah pun terasing dengan realiti zaman ini tampak berbeza. Mereka yang menggunakan akal yang waras lagi sejahtera pasti mendapat pelajaran yang berguna daripadanya.
Penulisan ini ingin fokus terhadap perbandingan dalam persamaan ejekan dan tuduhan pada masa dahulu dan masa kini dalam dakwah dan interaksi ilmu. Jika zaman dahulu, Muhammad bin 'Abdullah diejek dan dituduh pelbagai perkara kerana memikul tugas sebagai Nabi dan Rasul Allah. Tetapi pada konteks hari ini, sebahagian orang diejek dan dituduh dengan pelbagai perkara kerana menyampaikan kebenaran. Sama ada ia akui ataupun tidak, sama ada ia menyedari ataupun tidak, persamaannya adalah mereka diejek dan dituduh kerana suatu perkara yang sama. Iaitu mereka dipertikaikan kedudukannya dan kelayakannya serta merendahkan kebenaran yang datang kepada mereka dianggap tidak memenuhi kriteria-kriteria yang mereka tetapkan standarnya. Padahal Allah dan Rasul tidak pernah membuat ketetapan-ketetapan sepertimana apa yang mereka buat, bahkan Allah dan Rasul berlepas diri daripada rekacipta yang mereka ada-adakan dalam sertifikasi kelayakan seseorang.
Akhirnya, ia membenci seseorang tanpa alasan yang munasabah dan menolak apa-apa yang datang kepada mereka berupa kebenaran yang didasari dengan kekuatan hujah yang kukuh kerana ia tidak menyukainya. Padahal, sesuatu yang tidak ia sukai belum tentu ia merupakan sesuatu yang memudaratkan. Bahkan, sebahagian mereka juga hasad kerana tidak memperoleh nikmat yang sama atau lebih atau mendahului ia dalam menjadi yang pertama atau terkehadapan dalam persaingan sehingga ia sanggup berbuat apa-apa sahaja dalam tuduhan dan ejekan agar dapat menjatuhkan pesaingnya biarpun ianya tidak berasas dan tidak ada makna padanya. Tentu sahaja ini perbuatan yang terkutuk dan keji daripada mana-mana insan yang sentiasa mengharapkan keadilan dan kebenaran ditegakkan kerana mengabaikan hak-hak orang lain yang ia berhak untuk memperolehnya.
Sebab itulah saya membuat perbandingan antara ejekan dan tuduhan pada zaman dahulu dengan zaman kini yang mana ia mempunyai similariti dalam modal-modal ejekan dan tuduhan, cuma ia berbeza bentuk dan rupa supaya kita semua memikirkan dan merenungkan apa-apa yang dibicarakan oleh Allah Ta'ala secara langsung kerana ia mempunyai nilai yang besar padanya. Sejarah akan berulang jika kita bersikap enggan untuk mempelajarinya dan menghayatinya. Kebinasaan orang terdahulu akan lahir semula pada diri kita yang hidup di zaman ini yang bersikap ignoran untuk memandang semula realiti zaman dahulu kerana menganggap teks-teks yang dianggap kuno tidak ada lekatan tafsiran untuk zaman ini.
Maka dengan itu, ini semua dibawa agar kita tidak dimanupilasi oleh seseorang yang mendoktrinkan kita dalam membuat persepsi terhadap sesuatu atau diperdaya oleh hawa nafsu yang tamak terhadap apa-apa yang diinginkan tanpa menimbang antara yang baik dan buruk. Semoga semua ini dapat memberikan kesedaran kita semula agar kita bersebati dengan dimensi zaman dahulu agar diterapkan ke konteks zaman kini.
Aku mengakhiri pendahuluan ini dengan memuji kepada Allah Ta'ala dan aku memohon keampunan daripada-Nya agar ia mengampuni dosa-dosaku yang aku sedar ataupun tidak serta ia memperbaiki diriku untuk menjadi yang terbaik, lalu memberikan hidayah dan petunjuk jalan yang lurus agar aku bahagia di dunia dan di akhirat.
Bandingan Ejekan Dan Tuduhan Pada Masa Dahulu Dan Kini
Dahulu :
وَإِذَا رَأَوْكَ إِن يَتَّخِذُونَكَ إِلَّا هُزُوًا أَهَـٰذَا الَّذِي بَعَثَ اللَّـهُ رَسُولًا ﴿٤١
Dan apabila mereka melihat engkau, mereka hanyalah mengjadikan engkau sebagai ejekan (dengan berkata), "Inikah orang yang diutuskan oleh Allah sebagai Rasul?". (Surah al-Furqan ayat 41).
Kini :
Inikah orang yang menyampaikan kebenaran kepada kita?
Dahulu :
وَقَالُوا مَالِ هَـٰذَا الرَّسُولِ يَأْكُلُ الطَّعَامَ وَيَمْشِي فِي الْأَسْوَاقِ
Dan mereka berkata, "Mengapa Rasul ini memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar?". (Surah al-Furqan ayat 7).
Kini :
Mengapa orang berilmu seperti ini? Tidak sepertimana yang kita kenal. Bukankah sepatutnya mereka melazimi pakaian yang khas seperti jubah, kopiah, serban atau rida'? Mengapa dia tidak bersikap dan hidup seperti rutin ulama'? (padahal ia masih sesuatu yang harus untuk menyelisihinya).
Dahulu :
وَنَادَىٰ فِرْعَوْنُ فِي قَوْمِهِ قَالَ يَا قَوْمِ أَلَيْسَ لِي مُلْكُ مِصْرَ وَهَـٰذِهِ الْأَنْهَارُ تَجْرِي مِن تَحْتِي ۖ أَفَلَا تُبْصِرُونَ ﴿٥١﴾أَمْ أَنَا خَيْرٌ مِّنْ هَـٰذَا الَّذِي هُوَ مَهِينٌ وَلَا يَكَادُ يُبِينُ ﴿٥٢﴾ فَلَوْلَا أُلْقِيَ عَلَيْهِ أَسْوِرَةٌ مِّن ذَهَبٍ أَوْ جَاءَ مَعَهُ الْمَلَائِكَةُ مُقْتَرِنِينَ﴿٥٣﴾ فَاسْتَخَفَّ قَوْمَهُ فَأَطَاعُوهُ ۚ إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْمًا فَاسِقِينَ ﴿٥٤
Dan Fir'aun berseru kepada kaumnya dengan berkata, "Wahai kaumku! Bukankah kerajaan Mesir milikku dan sungai-sungai mengalir dari bahawa (kekuasaan)ku? Apakah kamu tidak melihat (keagunganku)? Bahkan aku lebih daripada orang ini yang dia adalah orang yang hina dan hampir tidak dapat menjelaskan (perkataanya). Dan mengapa tidak dipakaikan gelang-gelang dari emas padanya atau datangnya malaikat bersama dengannya untuk mengiringkannya?". Maka Fir'aun menghasut kaumnya lalu mereka patuh kepadanya. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasiq. (Surah az-Zukhruf ayat 51-54).
Kini :
Wahai manusia! Bukankah kita ada ramai ulama'-ulama' yang hebat yang mempunyai banyak penulisan kitab? Adakah kamu tidak melihatnya? Bahkan mereka lebih hebat daripada orang ini yang tidak hafal banyak ayat al-Quran, hadis dan matan-matan kitab serta tidak ramai yang belajar daripadanya. Dan kenapa dia tidak ada rekod pengajian bersanad, rekod pembelajaran dengan berpuluh ratusan syeikh dan rekod pengiktirafan daripada orang 'alim? (Kadangkala mereka meminta bukti-bukti yang tidak penting).
Dahulu :
فَقَالَ الْمَلَأُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن قَوْمِهِ مَا نَرَاكَ إِلَّا بَشَرًا مِّثْلَنَا وَمَا نَرَاكَ اتَّبَعَكَ إِلَّا الَّذِينَ هُمْ أَرَاذِلُنَا بَادِيَ الرَّأْيِ وَمَا نَرَىٰ لَكُمْ عَلَيْنَا مِن فَضْلٍ بَلْ نَظُنُّكُمْ كَاذِبِينَ ﴿٢٧﴾
Berkata pemuka-pemuka yang kafir daripada kaumnya (Nuh), "Tidaklah kami melihat kamu melainkan seorang manusia seperti kami dan tidak kami melihat orang yang mengikuti kamu melainkan mereka yang hina di atara kami dan rendah pemikirannya, dan tidaklah kami melihat kelebihan pada kami, bahkan kami meyakini kalian adalah orang-orang yang berdusta". (Surah Hud ayat 27).
Kini :
Kamu cumalah orang awam seperti kami dan kami tidak melihat kamu dan orang yang mengikuti kamu melainkan orang-orang yang memandai-mandai dalam urusan agama dan berlagak seperti orang alim. Bahkan, kami melihat kamu seorang yang biadap terhadap ulama'-ulama' kami.
Dahulu :
فَقَالَ الْمَلَأُ الَّذِينَ كَفَرُوا مِن قَوْمِهِ مَا هَـٰذَا إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُكُمْ يُرِيدُ أَن يَتَفَضَّلَ عَلَيْكُمْ وَلَوْ شَاءَ اللَّـهُ لَأَنزَلَ مَلَائِكَةً مَّا سَمِعْنَا بِهَـٰذَا فِي آبَائِنَا الْأَوَّلِينَ ﴿٢٤
Berkata pemuka-pemuka yang kafir daripada kaumnya, "Tidaklah dia ini melainkan seorang manusia biasa sepertimana kamu yang berkehendak untuk menjadi orang yang berkelebihan terhadap kamu semua. Kalau Allah berkehendak, pasti Dia akan mengutuskan malaikat. Kami tidak pernah mendengar perkara ini pada generasi kami terdahulu". (Surah al-Mukminun ayat 24).
Kini :
Dia ini adalah manusia sepertimana kamu semua yang berkemahuan untuk berlagak 'alim dan merebut kerusi ulama'. Kalaulah dia benar, pasti dia ada sanad pengajian, hafal banyak ayat al-Quran, hadis dan matan-matan kitab, pengiktirafan daripada orang 'alim dan ramai orang yang mempelajari daripadanya. Kami tidak pernah mendengar seperti ini daripada orang-orang terdahulu.
Dahulu :
وَإِذَا تُتْلَىٰ عَلَيْهِمْ آيَاتُنَا بَيِّنَاتٍ قَالُوا مَا هَـٰذَا إِلَّا رَجُلٌ يُرِيدُ أَن يَصُدَّكُمْ عَمَّا كَانَ يَعْبُدُ آبَاؤُكُمْ وَقَالُوا مَا هَـٰذَا إِلَّا إِفْكٌ مُّفْتَرًى ۚ وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِلْحَقِّ لَمَّا جَاءَهُمْ إِنْ هَـٰذَا إِلَّا سِحْرٌ مُّبِينٌ ﴿٤٣
Ketika dibacakan ayat-ayat Kami yang jelas kepada mereka, mereka berkata, "Ini semua hanyalah daripada seorang yang berkeinginan untuk menghalang kamu semua daripada apa-apa yang menjadi sembahan bapa-bapa kamu semua". Mereka juga berkata, "Ini semua hanyalah dusta yang diada-adakan". Berkata orang-orang kafir terhadap kebenaran yang datang kepada mereka, "Tidaklah ini melainkan sihir yang nyata". (Surah Saba' ayat 43).
Kini :
Orang ini hanya menghalang kamu semua daripada mengamalkan amalan yang diijtihad oleh para ulama' dalam lingkungan khilafiyyah. Dia ini cuma memandai-mandai dalam urusan agama kamu semua.
Penutup
Dengan sedikit perkongsian di sini, mudah-mudahan kita menyeleraskan semula minda, jiwa, intelektual, rohani dan spiritual kita agar meluruskan diri kita untuk menyingkapi dan berinteraksi terhadap kebenaran di sekeliling kita supaya kita tidak membinasakan diri dengan kejahatan-kejahatan pada diri kita dan daripada hasut tipu daya orang lain.
Comments