top of page

Mengapa Tidak Kasihan Terhadap Diri Sendiri?

  • Writer: Yukio Haruaki
    Yukio Haruaki
  • May 10, 2017
  • 4 min read

Penulisan ini sebagai suatu peringatan untuk sebahagian orang yang sanggup bermati-matian mempertahankan suatu qaul seorang ulama' setelah ditegakkan hujah bahawa hal itu tersilap tanpa darurat lagi dengan pelbagai alasan. Lihat kisah berikut :

حدثنا أحمد بن عبد الرحمن ابن أخي ابن وهب، قال: سمعت عمي يقول: سمعت مالكا سئل عن تخليل أصابع الرجلين في الوضوء، فقال: ليس ذلك على الناس، قال: فتركته حتى خف الناس. فقلت له: عندنا في ذلك سنة، فقال: وما هي؟ قلت: حدثنا الليث ابن سعد وابن لهيعة وعمرو بن الحارث عن يزيد بن عمرو المعافري، عن أبي عبد الرحمن الحبلي عن المستورد بن شداد القرشي، قال: رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم يدلك بخنصره ما بين أصابع رجليه. فقال: إن هذا الحديث حسن وما سمعت به قط إلا الساعة ثم سمعته بعد ذلك يسأل فيأمر بتخليل الأصابع.

Telah menceritakan kepada kami Ahmad bin 'Abdul Rahman, anak saudara Ibn Wahb, dia berkata; Aku mendengar pakcikku berkata; Aku mendengar Malik ditanya tentang menyelati jari kedua-dua kaki dalam wuduk, maka dia berkata, "Tidak wajib ke atas manusia". Dia berkata, "Aku meninggalkannya sehingga ia memudahkan orang ramai". Aku berkata kepadanya, "Di sisi kami pada hal itu adalah sunnah". Dia berkata, "Apakah ia?". Aku berkata; Telah menceritakan kepada kami al-Laits bin Sa'd, Ibn Lahi'ah dan 'Amru bin al-Harits, daripada Yazid bin 'Amru al-Ma'afiri, daripada Abu 'Abdul Rahman al-Hubuli, daripada al-Mustaurid bin Syaddad al-Qurasyi, dia berkata, "Aku melihat Rasulullah SAW membersihkan kedua-dua jari kaki baginda dengan jari kelingkingnya". Malik berkata, "Sesungguhnya hadis ini adalah hasan. Aku tidak pernah sama sekali mendengarnya kecuali waktu ini". Kemudian, aku mendengar dia ditanya selepas itu, lalu dia menyuruh untuk menyelati jari. (Al-Jarh wa at-Ta'dil, Ibn Abu Hatim ar-Razi, jilid 1, m/s 31-32).

Banyak intipati yang boleh diambil daripada kisah ini sebagai pengajaran untuk kita semua. Pertama, tidak semua perkara begitu payah untuk dianalisis untuk mendapatkan suatu jawapan yang dituntut. Sebahagiannya telah pun dimudahkan oleh Allah dan sebahagiannya memerlukan penelitian yang menyeluruh supaya jawapan tentang sesuatu perkara diperoleh. Ini hakikat yang tidak akan dapat dinafikan lagi walau apa jua cara sekalipun. Orang yang menganggap susah untuk segenap sudut adalah sama orang yang menganggap senang dari segenap sudut, iaitu kedua-duanya tidak memandang enteng terhadap realiti.

Kedua, ini sebagai menafikan bahawa para mujtahid adalah orang yang mengetahui semua hadis atau pencapaian yang hampir sempurna. Sememangnya anugerah yang besar jika dapat kemampuan dan potensi sedemikian, tetapi kita kena sedari hakikat sebagai seorang manusia. Sebahagian orang kadangkala menaburkan banyak soalan semata-mata berusaha untuk menampakkan orang yang ditanya kelihatan bodoh dan akan menjadi ketempangan persoalan yang tidak mampu terjawab secara tuntas sebagai ejekan. Seharusnya mereka tolong menolong di atas kebenaran dan takwa dengan menjelaskannya. Bagaimana ingin sampai objektif berpesan-pesan terhadap kebenaran sedangkan kita sendiri tidak tegakkan kebenaran untuknya? Sesungguhnya perbuatan itulah yang merugikan manusia.

Ketiga, demikianlah prinsip ulama' sejati zaman berzaman dalam beramal dengan agama. Mereka sentiasa mendahulukan kebenaran daripada al-Quran dan as-Sunnah tanpa berbelah bahagi. Mereka sanggup menarik balik fatwanya dan pendapatnya jika berlakunya pertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah. Sepatutnya jika ingin bertaqlid dengan seseorang fuqaha' pun, hendaklah ia bertaqlid juga dengan prinsip yang dipegang oleh orang yang ia ikuti. Kita hairan terhadap orang yang suka menekankan untuk bertaqlid secara keseluruhan, tetapi dalam prinsip orang yang ia ikuti langsung sama sekali tidak mahu mengikuti atas pelbagai dalih dan alasan serta sanggup bersikap selektif jika hal ini dipaparkan. Ke mana perginya sanjungan terhadap mereka dan penzahiran cinta terhadap mereka tatkala mereka sanggup menyelisihi prinsip orang yang ia ikuti? Jelas bahawa yang mereka ikuti bukanlah tokoh yang mereka julang, tetapi hawa nafsu yang didukung.

Usah mereka mendakwa bahawa mereka menghormati ulama' tetapi dalam urusan prinsip, mereka tidak teragak-agak untuk meninggalkannya secara total. Sebab itulah kita ingin mempertanyakan kepada mereka: "Mengapa tidak kasihan terhadap diri sendiri?". Seseorang mujtahid yang tersilap telah pun mendapat satu pahala atas kesungguhannya dalam mencari kebenaran. Mereka bukan pertahan qaul di atas hawa nafsu dan melalaikan kebenaran yang datang kepada mereka. Kenapa pula mereka yang ingin berkeras mengikuti qaul yang telah salah dan mengabaikan prinsip mereka jika qaul mereka bersalahan dengan al-Quran dan as-Sunnah? Tentu sahaja ini bukan lagi pahala untuk mereka, tetapi kesombongan yang membawa padah kepada ilmu dan amal.

Sebab itulah meninggalkan qaul mereka kerana mengikuti kebenaran yang lebih unggul daripadanya bukanlah bermaksud tidak menghormati mereka atau membuat kacau terhadap mereka, tetapi sebagai penzahiran bahawa kita benar-benar mengikuti prinsip mereka. Bukankah ini suatu bentuk penghormatan dan manifestasi cinta terhadap mereka? Jika benar kita cinta terhadap mereka, mengapa kita lakukan sesuatu yang mereka tidak cintai? Mereka telah pun pergi berlalu dan kita pula hadapi realiti hari ini. Mereka telah dihitung amalan mereka dan kita pula sedang membina amalan kita. Mereka terdahulu tidak perlu disibukkan lagi kerana kita tidak tahu sama ada telah tertegaknya hujah mereka ataupun tidak. Juga kita tidak mengetahui sama ada mereka bertaubat pada hujung waktunya ataupun tidak. Kita sekarang yang berhadapan dengan hujah yang telah tertegaknya kebenaran dan diberi peluang untuk taubat perlulah menyedarkan diri sendiri. Mengapa kita meninggalkan perlaksanaan amal terbaik hari ini semata-mata untuk tempoh lalu yang tidak mengubah apa-apa hakikat? Mereka sudah selesai tugas kehidupan mereka dan kita pula sedang membina kehidupan kita sendiri. Mengapa tidak kasihan terhadap diri sendiri?


Comments


Info
Laman ini merupakan laman tambahan dalam aktiviti blog bagi mengupas beberapa isu atau perkara menurut perspektif saya secara ikhtisar dan padat.
Laman Lain
  • unnamed
  • Blogger Social Icon
  • android-chrome-192x192
  • Tumblr Social Icon
  • webs.com_
  • Facebook Social Icon
  • Twitter Social Icon
  • Google+ Social Icon
Kategori
Arkib

© 2023 by DO IT YOURSELF. Proudly created with Wix.com

bottom of page