Antara Medium Ilmu Dan Matlamatnya
- Yukio Haruaki
- May 12, 2017
- 2 min read
Oleh : Ahmad Dailami Fauzi
Ilmu itu umpama butir-butir mutiara yang bertaburan di atas lantai. Ia tidak boleh diperolehi dengan sekali cakup, maka ia harus dikutip satu persatu. Setelah dikutip, ia pula harus digilap sebersih-bersihnya sebelum dimasukkan ke dalam bekas.
Dalam erti kata lain, ilmu itu harus dicerahkan lagi melalui proses berfikir, mentadabbur, menganalisa dan memperkembangnya melalui jalan "nazhar" (kajian dan pemerhatian).
Maka seseorang itu harus berusaha untuk merampas segala peluang untuk mengambil ilmu, meskipun dia terpaksa bersusah payah dan berpenat lelah. Jika mutiara yang harus dikutip itu berada jauh dari tempat dia berdiri, maka dia harus bergerak ke tempat itu untuk memperolehinya, walaupun ia memakan masa yang lama untuk dihampiri.
Senang atau susah, ada kemudahan atau tidak, sama ada dengan dibantu atau secara persendirian, tanggungjawab menuntut ilmu tidak pernah terhenti. Mutiara-mutiara yang bersepahan masih perlu terus dikutip, tidak boleh dibiarkan di atas lantai selama-lamanya.
Kerana itu, hari ini ada sesetengah pihak yang mempertikaikan penggunaan internet (seperti medium Google) untuk memperolehi ilmu-ilmu keagamaan. Tetapi mereka tidak menyedari bahawa semua ini hanya aset atau kemudahan yang dimiliki oleh manusia untuk memudahkan, bukannya matlamat dan pencapaian yang sebenar. Apa yang diperlukan untuk memperolehi matlamat dan pencapaian tersebut adalah lebih sukar dari sekadar menggunakan satu medium untuk memudahkan dan mempercepatkannya.
Apa yang penting pada ketika ini ialah soal kesahihan dan ketepatan cebis maklumat yang diperolehi, bukan soal medium atau wasilah yang digunakan untuk menyampaikannya. Maka sama ada seseorang itu memperolehi secebis maklumat daripada Google atau dia mendengarnya dari mulut seorang pakar bertaraf PHD sekalipun, apa yang perlu dilihatnya ialah benar atau tidak apa yang disampaikan, bukan pada mediumnya.
Manusia boleh mengambil berbagai-bagai kemudahan untuk memudahkan pencarian ilmu. Ada ulama-ulama besar yang hidup di zaman silam yang diberi berbagai-bagai kemudahan untuk membolehkan mereka mempelajari dan mengembangkan ilmu. Mereka dibantu oleh guru-guru yang hebat dan mereka juga memiliki perpustakaan besar yang menyimpan segala khazanah ilmu pengetahuan daripada seluruh dunia, di mana seorang pengkaji (seperti Imam al-Ghazali) boleh menghabiskan masa hingga lewat tengah malam dengan menekuni lembaran-lembaran kertas bertulis.
Tetapi peralatan yang paling memudahkan sekalipun tidak akan membuatkan seseorang itu merasa senang semata-mata untuk mendapatkannya kerana tetap ada kesukaran yang perlu dirasai. Inilah lumrah bagi sesiapa sahaja yang menginginkan ilmu.
Comments