Anugerah Dan Kehebatan Seseorang
- Yukio Haruaki
- May 12, 2017
- 1 min read
Oleh : Ahmad Dailami Fauzi
Ramai orang berguru dengan guru yang hebat, tetapi dia sendiri tidak menjadi hebat melainkan hanya biasa-biasa sahaja.
Ada pula orang yang berguru dengan guru yang biasa-biasa sahaja, tetapi dirinya bangkit menjadi manusia yang hebat.
Dan yang selebihnya terdapat mereka yang berguru dengan guru yang hebat dan dirinya juga turut menjadi manusia yang hebat.
Sekiranya diperhatikan keadaan yang berbeza-beza ini, sebabnya kerana bukanlah guru dan berguru yang menentukan kapasiti ilmu yang diperolehi oleh seseorang atau sejauh mana kefahamannya. Guru dan perguruan hanya berfungsi sebagai wasilah dan penyampai yang memang tidak dinafikan mampu memberi pengaruh untuk mencorakkan minda para pelajarnya dan menentukan hala tuju pemikiran mereka. Namun, faktor sebenar yang menentukan kejayaannya tetap berbalik kepada keadaan dan sifat-sifat yang ada pada dirinya sendiri.
Anugerah semulajadi seperti akal yang tajam, semangat, keazaman, minat serta kesungguhan yang tinggi, semua ini memberi peranan yang lebih besar untuk menentukan kejayaan seseorang murid daripada semata-mata apa yang telah diajarkan oleh gurunya. Kerana guru sama sekali tidak dapat menjadikan muridnya faham. Guru hanya dapat membantu sekadar yang terdaya, menyampaikan apa yang diketahui dan membimbing pelajarnya untuk membuka pintu masuk untuk membolehkan para pelajarnya menerokai dunia ilmu pengetahuan.
Kajilah dan perhatikan bagaimana sirah dan perjalanan hidup orang-orang yang hebat di dunia ini, nescaya inilah kesimpulan yang akat kita perolehi.
Commentaires