top of page

Bukan Mudah Menjadi Ahli Ilmu

  • Writer: Yukio Haruaki
    Yukio Haruaki
  • May 12, 2017
  • 4 min read

"Sukses adalah seumpama aisberg. Sepuluh peratus hanya zahir pada permukaannya, selebihnya terbenam di bawah lautan".

Menjadi ahli ilmu sememangnya dambaan dan rebutan semua orang kerana ianya adalah mahkota yang berharga bagi sesiapa yang memiliki dan menguasainya. Tentu sekali bukan semua yang akan berjaya mendapat bahagian yang ia kejar dan bersaing terhadapnya. Sebabnya ia bukan semudah dengan rasa seronok yang menyala di hati dan nafas gopoh yang tercungap-cungap. Sehingga ia memandang kecil terhadap liku-liku yang akan ia tempuhi dan rintangan yang ia akan hadapi apabila merentasi samudera ini. Hanya sebahagian sahaja yang akan lulus dan menyandang takhta kredibiliti dalam ilmu daripada beberapa yang lain yang sedang berasak-asak padanya.

Apabila menjadi ahli ilmu, kita tidak akan hanya dihujani dengan pelbagai soalan-soalan daripada mereka yang berkehendak ingin tahu atau mengukuhkan apa-apa yang ada di dalam hati mereka, tetapi kita akan berhadapan dengan konfrontasi dan pertelingkahan dengan ahli ilmu yang lain kerana tidak sehaluan dengan kita. Ini sangat sukar sekali kerana mereka bukan calang-calang orang yang akan mudah mengalah atau berhenti untuk resistansi. Pabila berpijak di jalan ilmu, maka permainan catur diisytiharkan bermula. Jika kita tidak ingin menjadi mahir dan bijak, kita akan ditewaskan dan disingkirkan. Jika bermain secara kotor, tentu kita tidak akan mendapat kemenangan dan perjalanan perjuangan dengan yang penuh dengan keadilan.

Maka dengan itu, menjadi ahli ilmu tentu memerlukan persiapan yang sangat secukupnya dan rapi baik dari segi stamina dan juga keperluan intelektual. Berbahas dengan mereka kadangkala memakan masa yang agak lama dan memerlukan argumentasi-argumentasi yang solid lagi valid untuk memperkukuhkan dan memenangkan sisi pihak kita. Ini tentu sukar untuk digapai melainkan mereka bersungguh-sungguh mencari, meneroka, mengkaji dan menganalisa yang melaburkan banyak kerahan tenaga keringat dan detik masa. Mempercukupkan sahaja sudah payah, apatah lagi jikalau ingin berhadapan dengan pihak lawan atau pesaing di atas gelanggang.

Tentu sekali mereka yang tidak mempunyai tekad dan azam yang kuat lagi teguh, pasti akan kecundang serta merta sebelum melangkah ke sempadannya. Berisiko sekali untuk bertarungan di tempat orang-orang yang saling tidak memberi belas dan ruang yang mana di situ hanya ketamakan terhadap monopoli. Kalaulah pertimbangan risiko seperti ini tidak diambil berat atau ia diperkecilkan, sebenarnya itu adalah musibah pada awal-awal strategi lagi. Ia ibarat memperkecilkan kemampuan dan kekuatan lawan kerana ia tidak menyukainya, maka ini adalah peluang untuk mereka menguburkan kita di tanah kita sendiri. Berhati-hati dalam tanggapan. Selain kita kenal kelemahan daripada mereka, kita waspada dengan kekuatan mereka. Sekalipun harimau belang tiada perisai untuk berhadapan dengan kekuatan tanduk kerbau, ia masih memiliki kepantasan untuk menyambar dibanding dengan lembapnya dalam kecekapan pertarungan. Demikianlah perumpamaannya agar kalian berfikir.

Saya tidak mengatakan bahawa kemuncak ilmu adalah dengan memenangi pertarungan dan perjalanan ini adalah sarat dengan perebutan, tetapi jika ini tidak berlaku sesama insan yang lain, ia akan berlaku pada diri sendiri. Kita sendiri akan berhadapan dengan keraguan terhadap diri sendiri tatkala minda semakin ligat bertanya dan memberontak untuk penyelesaian secara instan dan komprehensif. Ini adalah pentas gladiator yang bertemasya dalam diri masing-masing. Jika ia bukan bermula dengan detik hati yang tidak diketahui arah ia menjelma, ia boleh bermula dengan pembacaan dan pemerhatian secara aktif yang mungkin tidak disedari. Sifat kuriositi semakin membara marak sehingga tidak terisi warna-warni siang malam melainkan dengan persoalan yang bertubi-tubi bertandang.

Ia tidak menghasilkan kehendak untuk menambah informasi-informasi yang belum ada, tetapi ia mulai mencurigai, mempertikaikan dan bertelagah dengan informasi-informasi yang telah sedia ada yang menjadi pakaian kita. Ini pasti sukar jikalau kita sudah memutuskan dan menghakimi banyak perkara sehinggakan fail-fail lama yang dianggap selesai disiasat semula sehingga ke akar umbi. Jikalau perkara-perkara itu tidak mengapa-apakan perkara yang lain, maka ini masih boleh untuk menghela nafas lega. Namun, jikalau ia menyentuh perkara-perkara yang menarik hal-hal yang lain yang kadangkala terlalu banyak sehingga ia perlu disita dan dilakukan proses audit. Sulit sekali untuk menerima keadaan seperti ini kerana kita terpaksa menyerahkan amaun kos dan daya yang banyak untuk memperkemaskan syubhat-syubhat yang konflik terhadap diri kita sendiri.

Ini tidak akan dinafikan berlaku dengan keluasan penerokaan kita kerana ada sahaja barang-barang yang kita temui yang mana ia mampu menggugat pendirian kita untuk mengalah terhadapnya atau resistansi terhadapnya dengan keras. Sebab itu, mencukupkan perbekalan sepanjang perjalanan sudah begitu payah sekali, apatah lagi ketika di gelanggang perlawanan. Itu tidak lagi mengira tentang pengorbanan-pengorbanan yang lain semata-mata untuk memantapkan dan menyempurnakan keagungan dan kemegahan untuk diri sendiri. Harta, jiwa dan apa-apa yang menjadi kepemilikan kita akan menjadi tebusan dan penjarahan semata-mata menuntut kemahuan terhadap yang universal.

Ahli ilmu yang berkredibiliti tidak bermain kotor atau mengambil muslihat yang jahat untuk melanggar keadilan dalam dunia ilmu. Jika ia sememangnya ditakdirkan untuk tewas, maka ia perlu menerima realiti tersebut tanpa perlu lagi sombong. Bukan mudah menjaga jiwa ini yang sangat seni dan misteri sehingga kita tidak sedar sama ada kita mengenderainya atau ia sedang menunggangi kita. Jika dalam perkara ini kita tumbang, maka ia sesekali tidak akan memberikan apa-apa harapan melainkan kedustaan dan tipu daya yang bersulamkan ilusi. Sebab itulah sebahagian mereka masih berkhayal dan meneguk candu, lalu mabuk di atas pelamin yang ia terkalahkan untuk berpentas di atasnya. Itulah orang yang tidak malu mencemarkan dirinya dengan kenistaan yang jijik.

Tampak nyata bahawa menjadi ahli ilmu yang berkredibiliti bukanlah semudah yang disangka dan dijangka. Ia merupakan sesuatu pencapaian yang hebat bagi mereka yang memperolehnya, namun ia ujian yang sangat getir untuk mereka bersemadi di atas temasya ini. Apapun, jangan berputus asa dan sentiasa istiqamah di atas tekad yang benar, lurus lagi adil mudah-mudahan petunjuk akan sentiasa membimbing dan membantu sepanjang perjalanan ini.


Comments


Info
Laman ini merupakan laman tambahan dalam aktiviti blog bagi mengupas beberapa isu atau perkara menurut perspektif saya secara ikhtisar dan padat.
Laman Lain
  • unnamed
  • Blogger Social Icon
  • android-chrome-192x192
  • Tumblr Social Icon
  • webs.com_
  • Facebook Social Icon
  • Twitter Social Icon
  • Google+ Social Icon
Kategori
Arkib

© 2023 by DO IT YOURSELF. Proudly created with Wix.com

bottom of page