Kebenaran Di Dalam Golongan Minoriti
- Yukio Haruaki
- May 12, 2017
- 2 min read
Oleh : Ahmad Dailami Fauzi
Kadang-kadang, Allah mentakdirkan bahawa kebenaran itu berada di kelompok minoriti yang jumlahnya amat kecil kerana Allah mengangkat kebenaran itu sebagai sesuatu yang terlalu istimewa dan untuk memperolehinya memerlukan usaha yang banyak, perjalanan yang jauh, ilmu yang mendalam yang diperolehi hasil dari belajar dan terus belajar hingga sedikit sahaja manusia yang berjaya memperolehinya kerana tabahnya, sabarnya dan istiqamahnya mereka dalam menempuhi perjuangan tersebut.
Hinggakan kita tertanya-tanya: "Mengapa Allah memperlakukan mereka yang berpegang kepada kebenaran itu sebegini rupa? Mengapa membiarkan mereka lemah dan sedikit? Hina dan tertindas? Mengapa mereka tidak dikuatkan dengan kedatangan penyokong dan pembantu?".
Jawapannya kerana Allah ingin mengasihi dan memuliakan kalian. Namun, Dia tidak melakukan hal ini terus-terus begitu sahaja. Maka Dia harus mewujudkan satu perantaraan. Lalu dia menjadikan musibah dan ujian sebagai perantara untuk kalian terus diangkat dan dimuliakan di sisi-Nya.
Nabi Allah Nuh AS berdakwah selama hampir 950 tahun, tetapi akhirnya sedikit sangat yang menjadi pengikut-pengikutnya yang beriman. Mereka ini menaiki bahtera bersama-samanya untuk menyelamatkan diri dari banjir besar yang ditimpakan Allah sebagai azab kepada kaumnya yang kufur.
Begitu juga dengan Nabi kita, Muhammad (sallallaahu 'alaihi wasallam). Di awal permulaan dakwah Baginda, sangat sedikit sekali yang beriman dan mengikuti agama tauhid yang baginda bawa sedangkan rata-rata manusia ketika itu adalah Musyrikin Mekah yang kufur pada kebenaran dalam agama yang Baginda bawa sehingga turunnya firman Allah yang memperingatkan hal ini:
وإن تطع أكثر من في الأرض يضلوك عن سبيل الله إن يتبعون إلا الظن وإن هم إلا يخرصون. إن ربك هو أعلم من يضل عن سبيله وهو أعلم بالمهتدين
"Dan sekiranya engkau mengikuti kebanyakan manusia yang berada di atas muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Tidaklah mereka itu mengikuti kecuali sangkaan dan tidaklah mereka itu kecuali mengira-ngira. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui sesiapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dia lebih mengetahui sesiapa yang diberi petunjuk". (Surah al-An'aam: 116 - 117).
Comments