Kekeliruan Dalam Pengambilan Wasilah Ilmu
- Yukio Haruaki
- May 12, 2017
- 2 min read
Oleh : Ahmad Dailami Fauzi
Kekeliruan yang paling dominan pada pemikiran masyarakat hari ini ialah keliru antara bab wasilah dan penyampai dengan bab matlamat dan tujuan. Wasilah dan penyampai boleh ada banyak dan pelbagai untuk menyampaikan kepada tujuan dan matlamat yang tunggal.
Akibat kekeliruan ini, ada sebilangan masyarakat yang meletakkan bab wasilah dan penyampai sebagai satu bab yang ditekan-tekankan, walhal matlamat dan tujuan tidak pula diberi perhatian dan diperhalusi. Lalu satu kumpulan manusia berkata: "Tidak boleh mengambil ilmu agama daripada Google dan Internet kerana nanti anda akan menjadi muhaddits Google dan berguru dengan internet" dan sebagainya.
Hakikatnya, Google, radio, televisyen, buku dan helaian kertas atau lidah seorang guru hanya berfungsi sebagai wasilah dan penyampai yang berbeza-beza, tetapi matlamat dan tujuan yang disampaikan oleh kesemua wasilah ini tetap satu.
Maka Google atau buku tidak menentukan sama ada cebisan fakta dan ilmu yang dikutip itu mengandungi kebenaran atau kedustaan dan begitu juga seorang guru yang menyampaikan ilmu dengan lisannya, ia tidak menentukan apa yang disampaikan oleh guru tersebut 100% tepat. Adakalanya guru menyampaikan sesuatu melalui pemerhatian dan pendapatnya, maka ketepatannya bergantung kepada tahap keluasan ilmu dan kefahaman si guru itu sendiri.
Maka mengambil ilmu dari sumber-sumber seperti Google, seperti juga buku-buku dan bahan rujukan, memerlukan seseorang yang mempunyai minda yang cermat, disiplin berfikir yang tinggi serta kemahiran menapis maklumat yang baik. Ini kerana Google tidak berbeza dengan bahan-bahan bacaan lain, ia mengandungi percampuran antara maklumat-maklumat, ada yang tepat dan ada pula yang tidak.
Maka persoalan utama perlu ditujukan kepada apa yang harus dilakukan dalam soal matlamat dan tujuan. Misalnya, apabila sesuatu cebisan ilmu itu diperolehi, apa yang mesti dilakukan dengan ilmu tersebut? Bagaimana ia harus diolahkan dan ditafsirkan? Kaedah-kaedah apa yang patut digunakan untuk menentukan integreti dan ketepatannya? Ini persoalan yang perlu dijawab. Bukannya mempertikaikan soal wasilah dan perantara apa yang digunakan.
Kalau seseorang itu menggunakan Google atau buku untuk memperolehi perkara yang sama yang diperolehi oleh seseorang yang menghadiri kuliah-kuliah dan ceramah agama, maka soal matlamat dan tujuan tidak berbeza, yang berbeza hanya wasilah dan penyampai.
Maka soal ketepatan maklumat yang disampaikan dan tahap kefahaman terhadap dasar maklumat tersebut ditentukan oleh langkah memperhalusi dan memperdalamkan kefahaman terhadap hakikat maklumat tersebut dan ini sama sekali tidak ada kaitan dengan soal wasilah dan penyampai maklumat itu dari jenis apa dan bagaimana.
Comments