Para Mujtahid Juga Seorang Manusia
- Yukio Haruaki
- May 12, 2017
- 1 min read
Oleh : Ahmad Dailami Fauzi
Adakalanya, seseorang ulama, sekalipun dia seorang ulama besar yang bergelar mujtahid zaman, cenderung kepada sesuatu qaul (pendapat atau perkataan) yang kelihatan sesuai dan tenang di hati mereka, tetapi realitinya ia bukanlah pendapat yang tepat.
Yang demikian ini hikmahnya dapat diperhatikan apabila seseorang itu menyedari bahawa akal manusia itu, tidak kira bagaimana hebat sekalipun, merupakan makhluk Allah yang dicipta berkeadaan lemah dan kekurangan, maka akal memiliki had-hadnya yang menentukan batas kemampuannya.
Seandainya tidak begini, nescaya seluruh ulama akan bersepakat di atas satu perkataan dan pendapat yang sama dalam seluruh permasalahan dan tidak akan berlaku khilaf sedikit pun lagi. Maka tidak akan wujudlah mazhab-mazhab seperti empat mazhab fiqh yang kita kenali dalam fiqh.
Sekiranya begini, dunia ilmu dan ijtihad akan menjadi hambar. Tidak perlu lagi mencari apa yang benar dan rajih bagi sesuatu masalah, tidak ada lagi pendapat-pendapat yang perlu diaplikasikan kaedah tarjih (menentukan mana satu antara dua atau lebih pandangan yang berselisihan yang kuat) dan tidak ada lagi kesilapan-kesilapan yang perlu dikaji dan diperbetulkan untuk kebaikan ummah.
Hakikatnya, tidak semudah ini. Tidak semudah ini Allah berkeinginan untuk menjadikan perjuangan kita dalam mencari kebenaran. Maka selagi mana wujudnya khilaf dan perbezaan pandangan, selagi itulah akal harus tunduk dan merendahkan dirinya kepada pencipta-Nya, mengambil jalan kebenaran walaupun ia bercanggah dengan kata hati dan nafsu kemanusiaan.
Comments