Siapakah Yang Mengajarkan Ilmu Itu?
- Yukio Haruaki
- May 12, 2017
- 2 min read
Oleh : Ahmad Dailami Fauzi
Motorsikal.
Ialah sejenis peralatan yang paling berguna bagi kehidupan setiap manusia pada masa kini. Semua orang memerlukannya dan tiada siapa yang boleh menafikan kepentingan motorsikal untuk mempermudahkan pergerakan ke tempat-tempat yang jauh.
Soalnya, siapa yang orang pertama yang mula-mula memperkenalkan dan mencipta motorsikal?
Baik, katakanlah soalan itu tidak penting kerana untuk mencari jawapannya ialah satu pekerjaan yang melecehkan (walaupun dengan adanya medium internet seperti Google, ianya tidaklah begitu). Apa yang lebih penting untuk difikirkan ialah satu kenyataan bahawa motorsikal ialah sebuah rekaan yang kompleks dan menciptanya sudah pasti memerlukan ilmu, kefahaman dan kepakaran yang mendalam.
Maka orang yang mula-mula sekali memperkenalkan motorsikal kepada dunia, bererti dia telah memperkenalkan sesuatu yang sebelumnya belum pernah wujud dalam sejarah manusia. Ini bererti sebelumnya tidak pernah ada sesiapa yang mengetahui ilmu yang menerangkan bagaimana caranya untuk mewujudkan sebuah motorsikal yang berfungsi dengan baik.
Maka persoalannya, merujuk kepada individu ini, kita harus bertanyakan satu persoalan: Dari mana dia mendapat ilmu itu? Dengan siapa dia belajar dan berguru? Kerana sebagaimana yang telah disebutkan, dia ialah orang pertama yang tahu ilmu untuk menciptanya dan sebelumnya tidak ada sesiapa yang tahu. Bererti dialah guru pertama yang mengajarkan kepada dunia mengenai motorsikal dan sebelumnya tidak ada guru yang tahu dan boleh mengajarkannya.
Maka jawapannya di sini adalah jelas, iaitu dia tidak mempelajarinya dari sesiapa. Tidak dari mana-mana guru, pakar, saintis atau pensyarah atau sesiapa sahaja yang sanggup menghabiskan masa di kelas-kelas formal untuk memerangkan sesuatu ilmu kepada para muridnya.
Idea itu datang sendiri kepada mindanya sebagai ilham hasil dari kajian, pemerhatian dan gabungan ilmu-ilmu lain yang mungkin dikuasainya secara formal atau tidak formal. Barangkali dia pernah belajar ilmu elektronik atau kejuruteraan di mana-mana universiti di dunia lalu seterusnya menjadi mahir, tetapi ilmu-ilmu tersebut tidak ada kaitan secara terus dengan rekabentuk dan senibina motorsikal dan tidak membuatkannya terus tahu konsep sebuah motorsikal kerana ramai lagi para pelajar ilmu elektronik dan engineering yang lain, tetapi mereka tidak pula berjaya memperkenalkan motorsikal.
Maka kesudahannya, terdapat sejumlah besar kebenaran di alam semesta ini yang boleh diketahui tanpa bantuan dari input-input formal. Yang mana selama beribu-ribu tahun dunia ini beredar dari hari ke hari, namun manusia tidak pernah sedar akan kewujudannya. Namun, kini mereka sedar lagi amat berpengetahuan mengenainya dan mereka menggunakan pengetahuan tersebut untuk berbagai-bagai tujuan yang bermanfaat bagi kehidupan tanpa ada orang yang bersusah payah berucap selama berjam-jam dalam kelas-kelas formal di sekolah-sekolah dan universiti untuk menerangkan kepada mereka apakah kebenaran itu, di mana ia boleh ditemui dan apa yang harus diperlakukan dengannya.
Comentarios