Tidak Semua Permasalahan Dalam Agama Ini Begitu Rumit
- Yukio Haruaki
- May 12, 2017
- 1 min read
Oleh : Ahmad Dailami Fauzi
Bukan semua permasalahan dalam agama ini yang begitu rumit sehingga dalil-dalilnya perlu dibahaskan dengan panjang lebar dari segala sudut hingga memakan penjelasan yang panjangnya berpuluh-puluh helai muka surat.
Hakikatnya banyak masalah agama yang mudah, dalil-dalilnya boleh difahami secara zahir dan dicerna oleh akal fikiran manusia yang sihat, lalu dicermati manfaatnya dan diamalkan menurut kemampuan kerana Allah telah mempermudahkan agama ini untuk difahami oleh ummat manusia.
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
"... Allah menginginkan kemudahan bagi kalian dan Dia tidak menginginkan bagi kalian kesukaran ...". (Surah al-Baqarah ayat 185).
Terdapat satu golongan manusia yang menampakkan agama ini seakan-akan ianya terlalu susah untuk difahami. Mereka menampakkan seakan-akan agama ini dipenuhi dengan perkara-perkara berat yang hanya layak dikendalikan oleh golongan ulama dan ahli ilmu. Lalu apakah agama ini diturunkan hanya untuk difahami oleh golongan ulama saja?
Ini satu sikap yang tidak benar kerana kita sepatutnya berusaha mendekatkan kefahaman manusia kepada agama, bukan menjauhkannya. Justeru, kita sewajarnya menggunakan pendekatan memudahkan dan meringkaskan supaya semua manusia dari apa taraf kefahaman sekalipun boleh memahami dan mendapat manfaat daripada bimbingan agama. Agama ini ialah rahmat untuk sekalian alam, bukan untuk orang tertentu sahaja. Bukan untuk alim ulama sahaja atau para pendakwah sahaja, tetapi untuk semua.
Commentaires