Usah Bersangka Buruk Dengan Para Da'i
- Yukio Haruaki
- May 12, 2017
- 2 min read
Oleh : Ahmad Dailami Fauzi
Pada hari ini, kita dapat melihat sikap sesetengah masyarakat dalam berhadapan dengan para pendakwah. Apabila mereka berdakwah, ada sebilangan masyarakat yang mengatakan: "Tengoklah, dia hanya ingin menunjukkan dirinya hebat. Lihatlah, macamlah dia itu baik sangat. Macamlah hati dia bersih sangat.".
Kemudian ada pula sebilangan yang meletakkan perspesi seperti: "Kebiasaannya ustaz-ustaz dan orang berilmu ini angkuh dan suka mengangkat diri. Suka menghukum dan memandang rendah pada orang lain".
Kemudian apabila ada sebilangan ustaz yang menyampaikan peringatan dari hadis-hadis Nabi atau menceritakan kisah-kisah para sahabat, lalu sebilangan pula berkata: "Itu Nabi. Macamlah ustaz itu Nabi. Itu sahabat, macamlah ustaz itu setaraf dengan sahabat. Nak letak diri setaraf dengan sahabat konon".
Begitu juga apabila ada yang menyampaikan kisah-kisah para ulama untuk dijadikan tauladan pada sikap dan keperibadian mereka, lalu ada yang berkata: "Dia ingin meletakkan dirinya setaraf dengan para ulama".
Ketahuilah, wahai sahabat-sahabatku yang dimuliakan Allah sekalian. Dengan sikap-sikap seperti inilah yang telah menyekat perkembangan dakwah Islamiyyah.
Masyarakat wajib diperingatkan bahawa tanggungjawab seorang dai'e agama Allah itu bukanlah semata-mata memperdengarkan senandung merdu yang indah dan enak bermain di telinga manusia. Bahkan, para dai'e telah diberi dengan tugasan yang berat. Mereka wajib menggunakan hati, lisan dan perbuatan mereka untuk menyampaikan apa sahaja yang ditegaskan oleh Kitab Allah dan Sunnah Rasul, walaupun perkara tersebut berbentuk hukuman dan kritikan. Mereka diperintahkan agar berkeras pada perkara yang Allah dan Rasul berkeras di dalamnya dan mereka diperintahkan agar berlembut pada perkara yang Allah dan Rasul berlembut di dalamnya.
Justeru, para pendakwah tidak boleh menyembunyikan kebenaran, tidak boleh berlembut dengan perkara yang batil dan mereka tidak boleh tunduk kepada desakan dan penentangan dari masyarakat dalam rangka menegakkan ajaran Islam yang mulia. Mereka tidak boleh bersikap hipokrit (munafiq) dan berpura-pura demi memelihara kepentingan diri sendiri.
Sekiranya para ulama dan pendakwah bersikap seperti ini, nescaya akan hancurlah para agamawan umat Muhammad ini sebagai mana hancurnya para agamawan dan rahib Yahudi dan Nasrani. Seandainya para ulama dan pendakwah tidak mengkritik sikap masyarakat yang menyimpang dari ajaran agama dan melaungkan suara yang keras dan tegas, nescaya masyarakat akan tinggal dalam kebodohan dan kejahilan dan kita pasti akan kembali dikuasai oleh gelapnya Jahiliyyah. Seandainya para dai'e tidak berusaha memperkenalkan penyakit-penyakit hati agar masyarakat berwaspada darinya, nescaya Allah akan melepaskan jiwa ummah ini jatuh ke dalam genggaman syaitan.
Maka hindarkanlah dan jauhilah daripada meletakkan persepsi dan prasangka-prasangka buruk kepada setiap manusia yang menyampaikan kebenaran. Dengarkanlah apa yang disampaikan oleh bicara mereka dan katakanlah, "Alangkah benarnya perkataan ini, semoga Allah mengurniakan taufiq kepada si penyampai untuk mengamalkan apa yang disampaikannya".
Janganlah kita bersikap seperti manusia yang menyekat terlaksananya tanggungjawab terpenting yang dipikulkan Allah di atas bahu ummah ini, iaitu dakwah. Sebaliknya, belajar untuk menghargai sesiapa sahaja dan ambil manafaat semaksima mungkin dari mereka.
Comments