Berbaloikah Dengki Itu Dengan Hanya Lihat Dan Tunggu?
- Yukio Haruaki
- May 15, 2017
- 2 min read
"Usah dengki dengan bintang yang tinggi jikalau kamu adalah layang-layang rapuh yang tidak kukuh talinya" - Marzuka Martillo
Sebahagian penuntut ilmu kadangkala bersikap dengki terhadap orang lain di atas kecemerlangan pencapaian dalam menggapai tempat yang tertinggi dalam bidang ilmu. Namun, mereka langsung tidak mahu berdedikasi untuk bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu, sabar dalam setiap dugaan fizikal dan mental, konsisten di atas perjuangan yang berprinsip, berdisiplin dengan peraturan untuk mencapai kejayaan dan lain-lain kerahan tenaga, kewangan, masa dan keringat yang memerlukan pengorbanan. Kadangkala malas untuk menelaah pelbagai jenis karya dan melakukan analisis secara komprehensif, kemudian enggan pula untuk tundukkan ego dan redakan kesombongan di jiwa, tetapi masih berangan-angan untuk menjadi lebih unggul daripada mereka? Apatah lagi untuk setaraf atau hampir setaraf dengan mereka. Masih mahu berselimutkan diri dalam igauan dan ilusi. Berbaloikah dengki seperti itu? Jangan sangka kejayaan besar yang diperoleh ini adalah suatu perkara yang mudah dan mempertahankannya cumalah duduk dan termenung.
Masalah dengki cumalah 1% daripada masalah yang lain seperti depresi, dukacita, nestapa, diherdik, dihina,, dicela, dicaci, dipulau, diboikot, disingkir, disita, disekat, dirampas, dizalimi, diseksa, ditekan, lebihan kerja, kekurangan masa, kekurangan daya, kekurangan tenaga, kekurangan harta, kekurangan motivasi, pengorbanan, kerja keras, komitmen, swadisiplin, kesabaran dan banyak masalah-masalah lain yang perlu ditanggung semata-mata untuk menampung kejayaan yang besar bakal dijulang. Jika semua ini tidak mampu untuk diuruskan, apatah lagi menghadapinya, tidak perlu pendam dengki itu sehingga mensia-siakan diri, apatah lagi merosakkan orang lain.
Mungkin kamu akan mendapat bahagian yang kamu dengki, tetapi kamu perlu ingat bahawa kamu umpama layang-layang tidak kukuh talinya. Kamu akan mencapai langit yang tinggi, tetapi kamu masih dalam keadaan rapuh dan tidak pula kukuh talinya sehingga kamu sangat mudah dihanyut arus angin dan dibelasah pula oleh cuaca ganas menerkam. Dengan itu, bersabarlah dalam menuju peringkatnya. Boleh jadi ianya lambat, tetapi lebih baik daripada pantas yang tidak berererti. Kukuhkan diri itu supaya setiap peringkat yang akan dinaiki tidaklah kita mudah dirobohkan atau ditewaskan. Sebab itu komitmen, kesungguhan, dedikasi, kecekalan, kesabaran dan lain-lain semuanya sangat penting dalam menuju kepada kejayaan dan mengekalkan kejuaraan yang digapai.
Setiap peringkat tidak akan sama cabarannya dan tidak semestinya peringkat yang kita capai akan sama keadaan rintangannya jika ingin kekal di martabat itu. Maka, swapendisiplinan sangat penting agar kejayaan dikecapi tidak dibolot, lalu menjunamkan diri dalam kegagalan. Maka, tidak perlu dengki terhadap orang lain jikalau kita sendiri tidak mahu merentasi ranjau dan liku yang ditempuh oleh mereka. Bak layang-layang rapuh yang tidak kukuh talinya, lebih baik kekal dalam humiliasi dan keadaan itu daripada berterusan dengki yang cumalah merebut angan-angan.
Коментарі