top of page

Penjelasan Tuntas Dalam Menyelesaikan Masalah Kebebasan Ikhtiar Manusia Dan Skop Liputan Perbuatan A

  • Writer: Yukio Haruaki
    Yukio Haruaki
  • May 17, 2017
  • 8 min read

Perbahasan mengenai Qadak dan Qadar mendapat pertempuran paling hebat dalam perbahasan ilmu usuluddin terutamanya dalam memahami hakikat perbuatan seorang insan dan liputan kekuasaan Allah dalam penguasaan ke atas manusia. Hal ini bukan sahaja menimbulkan kerumitan sehingga membahaskannya secara kritis, teliti, universal dan komprehensif seolah-olah masih ada kebuntuan yang tidak terubat di jiwa, bahkan ini jua telah menyebabkan sebahagian orang tersasar dalam pegangan agamanya akibat tidak dapat mengerti kebenaran yang jitu. Daripada sini lahirlah golongan Jabbariyyah, Muktazilah dan Qaddariyyah yang menjadi watak utama dalam pergelumangan pendebatan hal ini. Sekalipun pihak Ahli Sunnah wal Jama'ah telah menyisihkan mereka dari kekalutan pemahaman mereka, sebahagian mereka yang mengikuti golongan Ahli Sunnah ini masih lagi belum cukup teguh memahaminya secara kukuh.

Maka, penulisan ini akan cuba membantu menyelesaikan perkara ini agar tidak ada lagi syubhat dan kekeliruan supaya dengannya tidak ada lagi penyelewengan dan tipu daya yang mengheret kita ke arah kesesatan. Sebelum kita melanjutkan perbahasan yang akan memberikan solusi terhadap isu ini, marilah kita teliti dahulu sebab yang menjadikan kekeliruan dalam perkara ini. Lihat gambar rajah berikut untuk mengetahui punca masalah :

Dengan itu, jelaslah bahawa kekeliruan ini sebenarnya wujud pada pertembungan antara kekuasaan mutlak Allah dan kesedaran seorang manusia yang mana ia seolah-olah mempunyai kebebasan dalam tindakan mereka. Setelah kita faham akan punca ini, maka ini membolehkan kita semua untuk memperbaiki kerunsingan ini secara efektif.

Kunci

Sebelum kita menuju ke arah penyelesaiannya, kita perlu tahu alat yang boleh membantu untuk menyelesaikan permasalahan ini. Dengannya, kita boleh membuka pintu yang terkunci dengan lebih mesra dan lebih berkesan. Kita perlu tahu bahawa hukum sunnatullah ini ada tiga jenis, iaitu hukum adat, hukum neutral dan hukum syarak. Hukum sunnatullah yang dimaksudkan adalah ketetapan dalam penilaian sebab dan akibat bagi sesuatu tindakan unsur-unsur alam ini.

Hukum adat atau hukum realiti ialah penetapan atau penafian kepada sesuatu perkara dengan kebiasaan yang berlaku sesuai dengan aturan sistem dan undang-undang di dunia ini. Misalnya adalah makan menghasilkan kenyang, api membakar objek, air membasahkan objek dan lain-lain. Api yang membakar ini adalah realiti sistem dan undang-undang di dunia yang menjadi kebiasaan akan tindakannya sesuai dengan sifat-sifatnya dan kadar yang ditentukan untuknya. Hukum neutral pula adalah ialah hukum yang tidak menetapkan atau menafikan kepada sesuatu perkara. Dengan kata lain, ia adalah potensi asal bagi sesebuah perkara itu untuk ia menuju salah satu arah daripada beberapa arah. Misalnya adalah api boleh jadi ia terbakar dan boleh jadi ia tidak terbakar, makan boleh mengenyangkan dan boleh jadi ia tidak mengenyangkan serta lain-lain. Yang demikian, ketetapan dan penafian tersebut bukanlah di atas realiti sistem dan undang-undanng dunia yang masing-masing ditetapkan kadar dan sifatnya. Manakala hukum syarak pula adalah hukum yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul-Nya ke atas sesuatu. Misalnya adalah api itu sendiri tidak berkemampuan untuk membakar apa-apa objek, tetapi Allah yang menjadikan api itu membakar.

Itulah sebabnya apabila kita ingin menghukumkan syirik pada orang yang berkata "Api itu membakar dan menghanguskan objek", maka kita perlu teliti sama ada kehendak maksudnya adalah ia pada hukum adat atau sebaliknya. Jikalau, ia hanya semata-mata ditujukan kepada hukum adat, maka ia tidak dihukumkan syirik baginya kerana sememangnya realiti bagi sistem dan undang-undang untuk api adalah membakar dan menghanguskan objek. Jikalau, ia ditujukan kepada hukum syariat, ini semestinya syirik secara pasti kerana api itu sendiri sesekali tidak memberikan bekas, tetapi Allah yang menjadikan api itu membakar objek. Dengan itu, tidak mudah untuk menghukumkan seseorang yang lain menjadi syirik secara gamblang.

Penyelesaian

Setelah kita tahu mengenai hal ini, kita boleh menuju kepada penyelesaian bagi masalah ini. Perlu kita ingat bahawa manusia hidup di realiti dunia yang mana sistemnya dan undang-undangnya telah ditetapkan kadarnya dan sifat-sifatnya. Sistem yang berjalan dan undang-undang yang ditetapkan bukan berdiri di atas hukum yang neutral. Ini adalah hakikat yang tidak boleh lagi disanggah lagi kerana inilah kehidupan yang kita lalui sekarang. Dengan itu, manusia yang hidup di atas dunia ini perlu mengikut aturan dan ketetapan yang ada pada alam ini agar praktik kehidupan kita lebih murni dan harmoni. Misalnya, manusia perlu memakan makanan untuk kenyang dan terhindar daripada kebuluran. Tidak sekadar hanya berkelip mata dan menggoyangkan kaki. Ini adalah contoh realiti yang kita tidak mampu nafikan lagi.

Sekarang fahamlah kita bahawa realiti manusia ini sememangnya perlu bergerak dan bertindak untuk memperoleh sesuatu. Misalnya, manusia perlu bekerja untuk memperoleh pendapatan agar dapat menyara dirinya dan keluarganya. Ini adalah realiti kehidupan. Malangnya, sebahagian orang tersasar daripada landasan ini berkata bahawa ini menunjukkan bahawa manusia mempunyai kekuasaan terhadap dirinya dalam berbuat keputusan dan tindakan yang mana tidak ada campur tangan Allah terhadap urusan ini. Ini suatu perkataan yang menyeleweng dan menyesatkan.

Manusia hidup di alam realiti ini dan minda mereka sebati dengan realiti pada tempat yang mereka berpijak. Dengan itu, jangan sesekali seseorang menyamakan pandangan minda yang manusia beradaptasi dengan realiti alam ini dengan pandangan "minda" Allah Ta'ala yang tidak terikat dengan sistem alam ini! Allah telah menciptakan alam ini dengan sistem dan undang-undang yang sesuai dengan kadarnya dan sifat-sifatnya. Termasuk juga manusia yang memenuhi ruang alam ini. Disebabkan realiti minda manusia yang menganggap seolah-olah dia terbebas daripada penguasaan sesiapa, bukan bermakna Allah tidak mempunyai apa-apa kekuasaan ke atasnya. Sekalipun kebiasaannya api membakar objek sesuai dengan kadar dan sifat yang ditetapkan, tetapi hakikatnya api itu tidak mampu membakar apa-apa kecuali atas izin Allah. Apabila menyebutkan hal ini, tidak bermaksud kita mengatakan bahawa api itu membakar cuma di atas hukum neutral semata-mata! Sekalipun Allah berkuasa untuk menjadikan api itu tidak membakar, tetapi Allah telah menetapkan sistem dan undang-undang pada penciptaan alam ini bahawa api itu membakar secara adat.

Begitu juga dengan manusia. Manusia yang mempunyai kebebasan dalam berbuat keputusan dan tindakan adalah semata-mata sistem dan undang-undang yang ditetapkan ke atas dirinya. Sepertimana sifat api itu membakar secara adat, seperit itu jugalah sifat manusia yang berkemampuan sedemikian. Setelah kita memahami hakikat ini, kesemua perkara itu adalah kembali kepada Allah walaupun kita menganggap seolah-olah Allah tidak terlibat dalam hal itu. Mungkin setelah lama kita biasa dengan api itu sentiasa membakar, kita merasakan seolah-olah Allah tidak campur tangan urusan pembakaran api itu. Seperti itu jugalah apa yang berlaku pada diri kita! Kita seolah-olah merasakan Allah tidak ada campur tangan ke atas kita kerana setelah lama kita biasa dengan berbuat keputusan dan tindakan sendiri. Itulah sikap manusia.

Jikalau kita sedar bahawa kesemuanya adalah daripada Allah Ta'ala jua. Janganlah seseorang itu menganggap bahawa dia boleh berbuat sesuka hati atas dasar Allah Ta'ala telah tetapkan bahagian untuk dirinya. Ini adalah dasar kebodohan yang paling nyata lagi parah kerana mereka mengabaikan realiti pada diri mereka. Kalau mereka sentiasa menggunakan api untuk membakar sesuatu, mengapa pula mereka tidak ingin berbuat keputusan dan bertindak untuk kebenaran kerana realiti sistem dan undang-undang dunia ini telah ditetapkan bahawa kebenaran mencapaikan seseorang itu kepada kebahagiaan dan kebaikan? Jika adat menetapkan bahawa kaca yang jatuh dari tempat yang tinggi akan pecah, mengapa tiba-tiba mereka ingin bertindak jahat atas alasan untuk mendapatkan kebaikan, kebenaran dan keadilan? Jelaslah bahawa kerancuan golongan ini sebenarnya gagal melihat realiti yang ditetapkan untuk diri mereka.

Kalau mereka ingin bertindak sesuka hati atas dasar mereka tidak tahu nasib masa hadapan, maka sebenarnya kita pun tidak pasti bahawa api itu akan benar-benar membakar pada masa hadapan. Bertindaklah mengikut realiti yang kita semadikan. Sekalipun kita tidak tahu masa hadapan kita atas tindakan kita, janganlah lupa bahawa kita bukan hidup di alam yang bergerak secara hukum neutral! Selagimana kita hidup di alam ini, selagi itulah kita mengikuti sistem dan undang-undang yang ditetapkan kadar dan sifat-sifatnya pada alam ini. Selagimana bintang masih terus menyalakan cahaya, selagi itulah sistem dan undang-undang alam ini terpalikasi.

Sudah sememangnya adat bahawa apabila berjuang untuk keadilan, maka keadilan akan tertegak, kebenaran akan terzahir dan kebaikan akan terserlah. Walaupun kita tidak tahu nasib masa hadapan, bukan bermakna kita melupakan realiti sistem dan undang-undang di dunia ini. Kita akan terus berjuang untuk keadilan kerana kita tahu keadilan, kebenaran dan kebaikan adalah sesuatu yang memenuhi keharmonian hidup manusia bagi mereka yang berkehendak untuknya. Menjadi atau tidak menjadi, itu bukan sebab untuk melupakan realiti yang kita lalui ini. Kita terus beramal dengan sistem dan undang-undang yang ditetapkan pada alam ini semampu yang kita boleh.

Kalau kita memakan sesuatu tetapi tidak mengeyangkan, apakah kita boleh terus memilih untuk tidak memakan langsung dan menghilangkan kebuluran hanya sekadar berkelip mata dan menggoyangkan kaki? Tentu sekali tidak! Kerana kita tahu realiti sistem dan undang-undang alam ini, bahawa hanya dengan memakan boleh menghindarkan kebuluran. Maka, kita bertindak sesuai dengan kadar dan sifatnya.

Dengan penjelasan tuntas ini, semoga ia mampu mencerahkan kebenaran tentang ikhtiar bagi manusia dan liputan kekuasaan Allah Ta'ala. Oleh itu, tidak benar bagi mana-mana pendapat yang mengatakan bahawa kita mempunyai kebebasan mutlak di atas diri kita dengan memandang "minda" Allah Ta'ala dan tidak benar juga mana-mana pendapat yang mengatakan bahawa kita tidak memiliki apa-apa pun dengan memandang realiti sistem dan undang-undang yang ditetapkan kadar dan sifatnya. Jika faham berkenaan dengan ini secara jazam, maka kita telah berada jalan yang sejahtera lagi selamat. Kerana Ahli Sunnah seimbang di antara kedua-dua ini, bukan berlepas diri daripada mereka.

Mencarik Adat

Sekalipun sistem dan undang-undang yang ditetapkan pada alam ini sesuai dengan kadarnya dan sifatnya, bukan bermakna Allah tidak akan mampu menggubah sistem dan undang-undang ini sebagai hal-hal yang mampu mencarik adat baginya. Disebabkan itulah Allah mempamerkan mukjizat melalui rasul-rasul yang diutuskan-Nya sebagai bukti bahawa Allah berkuasa atas segala sesuatu. Hikmah yang dipamerkan di sini adalah supaya kita menyedari bahawa hakikat pergerakan dan pengedaran alam ini adalah milik kekuasaan Allah Ta'ala. Realiti yang kita lalui ini adalah kesemuanya ketetapan daripada-Nya.

Falsafah Kesedaran Manusia

Kesedaran yang dimiliki oleh seorang manusia adalah seumpama seorang boneka memiliki kesedaran seorang penguasa. Dengan kata lain, manusia itu mempunyai kesedaran dirinya seorang boneka dan kesedaran dirinya seorang penguasa. Kedua-dua ini saling bertembung dan kadangkala salah satu daripadanya memenangi antara satu sama lain. Inilah keunikan yang diciptakan oleh Allah Ta'ala. Hal ini sememangnya menimbulkan keanehan, tetapi itulah keagungan yang Allah Ta'ala pamerkan bahawa Dia berkemampuan untuk menciptakan sesuatu yang begitu menakjubkan.

Ini tidak menghairankan jikalau seorang manusia boleh memperdaya seseorang yang lain bahawa orang yang diperdaya itu bertindak atas pilihan mereka dan hala tuju matlamatnya adalah ditentukan sendiri olehnya, padahal kebanyakan perkara diselia dan dikawal oleh orang yang memperdaya itu tanpa orang yang diperdaya itu sedari. Kalau ini mampu menjadi misal yang dapat mendekatkan kefahaman ini, maka harap ini dapat menunjukkan bahawa Allah Ta'ala sangat hebat mencipta kesedaran manusia.

Tuhan Itu Zalim?

Saya tahu jawapan persoalan ini bukan termasuk dalam perbahasan ini, tetapi memandangkan ia menjadi saling berkait dalam pertanyaan manusia, maka persoalan ini dibahaskan bersama di dalam satu judul yang sama.

Sebelum kita menyatakan bahawa Tuhan itu zalim, soalan yang perlu kita tanyakan adalah siapa yang memahamkan kepada kita tentang zalim. Tentu tidak lain dan tidak bukan adalah Tuhan itu sendiri. Maka, Tuhan berkuasa untuk menggubal undang-undang dunia sama ada sesuatu itu baik ataupun buruk atas kehendak-Nya dan kekuasaan-Nya. Tuhan boleh menjadikan apa-apa yang selama ini kita fahami sebagai zalim berubah menjadi adil. Misalnya, Tuhan boleh merubah sistem penciptaan-Nya bahawa seseorang yang masuk syurga itu adalah kesengsaraan dan masuk ke dalam neraka itu adalah kebahagiaan. Jika kita faham hakikat ini, maka berhakkah kita mengatakan Tuhan itu zalim?

Jikalau undang-undang manusia, misalnya sebahagian negeri di Amerika Syarikat dahulunya menetapkan undang-undang bahawa homoseksual adalah kesalahan, namun dimansuhkan menjadi legal dan bukan lagi dianggap jenayah. Bagaimana mungkin Tuhan tidak mampu melakukan sedemikian? Firman Allah Ta'ala :

فَبَشَّرْنَاهُ بِغُلَامٍ حَلِيمٍ ﴿١٠١﴾ فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّـهُ مِنَ الصَّابِرِينَ ﴿١٠٢﴾ فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ ﴿١٠٣﴾ وَنَادَيْنَاهُ أَن يَا إِبْرَاهِيمُ ﴿١٠٤﴾قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا ۚ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ ﴿١٠٥﴾ إِنَّ هَـٰذَا لَهُوَ الْبَلَاءُ الْمُبِينُ ﴿١٠٦﴾ وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ ﴿١٠٧﴾ وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي الْآخِرِينَ ﴿١٠٨

Maka, Kami berikannya seorang anak yang santun. Ketikamana dia sampai usia kemampuan bekerja, Ibrahim berkata, "Wahai anakku, sesungguhnya aku melihat di dalam tidur bahawa aku menyembelih kamu, maka telitilah tentang pendapat kamu". Dia berkata, "Wahai ayahku, lakukanlah apa-apa yang kamu perintahkan. Nanti kamu pasti dapati aku termasuk orang-orang yang bersama dengan izin Allah. Ketika kedua-duanya patuh dan dia membaringkannya secara meniarap, maka Kami menyerunya, "Wahai Ibrahim! Sungguh kamu telah membenarkan mimpi itu! Sesungguhnya demikianlah Kami membalas ornag-orang yang berbuat demmikian. Sesungguhnya ini benar-benar ujian yang nyata. Lalu, kami menebusnya dengan sembelihan yang agung dan kami tinggalkan akannya untuk generasi akan datang". (Surah as-Soffat ayat 101-108).

Falsafah yang boleh diperoleh daripada ayat ini adalah Allah ingin menyatakan bahawa Dia berkehendak untuk menukar sistem dan undang-undang dunia ini bahawa menyembelih anak itu bukanlah dianggap zalim. Itulah kemampuan Allah terhadap alam semesta. Maka, tidak berhak seseorang mengatakan bahawa Tuhan itu zalim.


Comentarios


Info
Laman ini merupakan laman tambahan dalam aktiviti blog bagi mengupas beberapa isu atau perkara menurut perspektif saya secara ikhtisar dan padat.
Laman Lain
  • unnamed
  • Blogger Social Icon
  • android-chrome-192x192
  • Tumblr Social Icon
  • webs.com_
  • Facebook Social Icon
  • Twitter Social Icon
  • Google+ Social Icon
Kategori
Arkib

© 2023 by DO IT YOURSELF. Proudly created with Wix.com

bottom of page