Usah Lancang Terhadap Golongan Bukan Muslim
- Yukio Haruaki
- May 19, 2017
- 4 min read
Firman Allah Ta'ala :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوا أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ ۖ بِئْسَ الِاسْمُ الْفُسُوقُ بَعْدَ الْإِيمَانِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ﴿١١
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah seseorang mencemuh suatu kaum. Boleh jadi mereka lebih baik daripada mereka. Begitu juga dengan wanita dengan wanita. Boleh jadi ia lebih baik daripada mereka. Jangan kalian mencela antara satu sama lain dan janganlah memburukkannya dengan gelaran. Seburuk-buruk nama ialah kefasikan setelah iman. Sesiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim". (Surah al-Hujurat ayat 11).
Ini peringatan kepada kita semua agar tidak mencemuh sesiapa pun jua sekalipun terhadap orang bukan Islam. Sebahagian umat Islam kadangkala tidak waspada perkataan mereka dalam menuduh dan mendeskripsikan orang bukan Islam dengan sesuatu yang tidak berasas. Mereka tidak segan dan tidak teragak-agak untuk lancang sebegitu atas alasan agama ini benar dan mereka di pihak yang salah. Sekalipun agama ini benar, bukan bermakna kita boleh bersikap lancang sedemikian.
Saya telah pun berpesan agar jangan terlalu terikat dengan pendekatan al-Quran dalam mendeskripsi dan menggempur golongan kafir khususnya Yahudi, Kristian dan Musyrik secara mutlak. Hal ini kerana kita mesti mengambil perhatian terhadap realiti zaman, tempat dan keadaan ketika itu dan pada era ini. Pendekatan dalam teks itu sememangnya sesuai untuk zaman, tempat dan keadaan ketika itu, tetapi bukan bermakna ia diaplikasikan dengan cara yang sama pada zaman, tempat dan situasi ketika ini. Golongan Yahudi, Kristian dan Musyrik pada hari ini boleh jadi berbeza dengan apa-apa yang dideskripsikan pada 1400 tahun yang lalu. Maka, seseorang tidak patut menyalahgunakan teks al-Quran sebagai pendeskripsian dan penuduhan yang tidak berasas, iaitu menuduh dan mendeskripsi yang bukan pada realitinya. Sesungguhnya syariat tidak peruntukkan perbuatan sedemikian. Apa-apa yang disebutkan dalam teks belum tentu sama dengan realiti ketika ini. Lebih baik ia dianggap sebagai teks sejarah berbanding diambil sebagai bahan tuduhan dan pendeskripsian yang tidak tepat.
Jikalau ia menepati realiti pun, belum tentu kita perlu mengambil rentak dan pendekatan al-Quran terhadap mereka. Jika al-Quran menggunakan rentak dan pendekatan yang membara berkobar-kobar, maka belum tentu kita juga menggunakan rentak dan pendekatan yang sama. Hal ini kerana kita mencuba sedaya upaya agar dakwah diterima, mereka kembali kepada Islam dan merasai rahmat agama Islam walau apa jua cara sekalipun selagimana ia makruf. Kalaulah seseorang menggunakan al-Quran menyebabkan orang semakin jauh, maka itu bukanlah ajaran al-Quran pada hakikatnya. Pendekatan mungkin cara berbeza, tetapi objektifnya ialah sama.
Rasulullah SAW diutuskan sebagai rahmat sekalian alam. Jikalau tindakan seseorang menyebabkan mereka lari, berpaling dan bermusuhan terhadap Islam serta mereka tidak mendapat rahmat daripada Islam, maka ini tidaklah menepati kehendak agama kerana al-Quran diturunkan untuk sekalian manusia, disampaikan kepada setiap manusia dan berharap agar ia diterima. Lagipun, al-Quran mendeskripsikan perbuatan jahat seseorang atau sesuatu kaum bukan semata-mata untuk kita berwaspada, menjauhi, mengambil pengajaran dan lain-lain, tetapi menjadi panduan untuk modifikasi kaedah dakwah. Apabila diterangkan ciri-cirinya, maka itu sebagai peringatan agar ubah cara interaksi dan pendekatan supaya orang lebih mudah menerima Islam. Orang-orang beriman keras terhadap kafir. Namun, bukan bermakna dia perlu bersikap bengis dan tidak ada keharmonian padanya. Dalam masa yang sama, dia perlulah berusaha lebih keras lagi dalam dakwahnya agar diterima dan mereka mendapat rahmat daripada agama Islam.
Tambahan pula, bukan semua yang bukan Islam itu kafir. Cukuplah menisbahkannya sebagai bukan Islam atau ahli fatrah. Kekafiran ialah keingkaran. Bagaimana seseorang dianggap ingkar sedangkan ia tidak tahu sesuatu yang diingkari? Malah, jika seseorang itu keliru, maka ini juga tidak boleh dianggap kafir kerana dia mengingkari sesuatu yang bukan yang sebenarnya pada Islam. Ia menolak sesuatu yang tidak ada pada Islam pada hakikatnya, bagaimana mungkin dia boleh dianggap mengingkari Islam? Sebagai permisalan, jikalau seseorang mengambil sumber yang salah berkenaan dengan isu perlembagaan, tetapi hakikatnya tidak ada dalam teks perlembagaan, lalu ia membidas dengan sumber yang salah itu, maka pada hakikatnya tidak dapat kita katakan ia menolak perlembagaan. Melainkan setelah ditegakkan hujah ke atasnya sehingga jelas, maka ia dianggap menentang perlembagaan.
Keliru ini juga kadangkala bukan kesengajaan. Sebahagiannya disebabkan tersilap mengambil sumber yang salah, keterangan sebahagian Muslim yang tidak begitu jelas, salah faham terhadap persepsi dan penafsiran, difitnah dan lain-lain. Memandangkan banyak faktor yang diambil kira dan setiap kemungkinan boleh berlaku, maka wajarlah seseorang Muslim berhati-hati menuduh kafir terhadap mereka. Tuduhan yang tidak benar pasti akan kembali kepadanya sekalipun mereka itu bukan Islam.
وَحَدَّثَنِي زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ ، حَدَّثَنَا عَبْدُ الصَّمَدِ بْنُ عَبْدِ الْوَارِثِ ، حَدَّثَنَا أَبِي ، حَدَّثَنَا حُسَيْنٌ الْمُعَلِّمُ ، عَنِ ابْنِ بُرَيْدةَ ، عَنْ يَحْيَى بْنِ يَعْمَرَ أَنَّ أَبَا الْأَسْوَدِ ، حَدَّثَهُ عَنْ أَبِي ذَرٍّ ، أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ : لَيْسَ مِنْ رَجُلٍ ادَّعَى لِغَيْرِ أَبِيهِ وَهُوَ يَعْلَمُهُ إِلَّا كَفَرَ ، وَمَنِ ادَّعَى مَا ليْسَ لَهُ فَلَيْسَ مِنَّا ،وَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ ، وَمَنْ دَعَا رَجُلًا بِالْكُفْرِ ، أَوْ قَالَ : عَدُوُّ اللَّهِ وَلَيْسَ كَذَلِكَ إِلَّا حَارَ عَلَيْهِ
Telah menceritakan kepadaku Zuhair; Telah menceritakan kepada kami 'Abdul Somad bin 'Abdul Warits; Telah menceritakan kepada kami ayahku; Telah menceritakan kepada kami Husian al-Mu'allim, daripada Ibn Buraidah, daripada Yahya bin Ya'mar, daripada Abu al-Aswad yang menceritakan kepadanya daripada Abu Dzar, bahawasanya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Tidak ada dari kalangan seseorang menisbahkan kepada selain ayahnya, padahal dia mengetahui melainkan dia kafir. Sesiapa yang mendakwa apa-apa yang bukan baginya, maka dia bukan daripada kami dan hendaklah dia sediakan tempat duduknya di neraka. Barang siapa yang mendakwa seseorang dengan kafir atau dia mendakwa musuh Allah, sedangkan dia bukan sebegitu melainkan ia kembali kepadanya". (Sahih Muslim, kitab al-Iman, no. 96).
Apapun, janganlah mencela mereka kerana mereka mungkin ada sudut yang lebih baik daripada kita. Bersikap prejudis, diskriminasi dan stereotaip cumalah merugikan kita dan hanya menambah minyak di api.
Comments