Apa Erti Mazhab Firman Allah Dan Sabda Rasul?
- Yukio Haruaki
- May 21, 2017
- 3 min read
Wacana 1
Ada orang berkata, "Kalau mahu ikut al-Quran dan as-Sunnah, usah rujuk kitab-kitab tafsir ulama', kitab-kitab fiqh, kitab-kitab bahasa dan mana-mana kitab karangan ulama', terus rujuk sendiri pada al-Quran dan hadis tanpa tengok syarahan ulama'". Sesungguhnya ini kenyataan orang yang cacat akalnya yang terbenam di lautan kebodohan dan hilang pedoman al-Quran. Allah Ta'ala berfirman :
فَبَشِّرْ عِبَادِ﴿١٧﴾ الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ ۚ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّـهُ ۖ وَأُولَـٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ ﴿١٨
"...Maka sampaikanlah khabar gemibra kepada hamba-Ku. (Iaitu) orang yang mendengarkan hujah, lalu mereka mengikuti yang paling terbaik. Mereka itulah orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab (berakal cerdas)". (Surah az-Zumar ayat 17-18).
Dalam ayat ini, secara tidak langsung Allah menyuruh untuk mendengarkan hujah sebelum mengikuti yang terbaik. Boleh sahaja perkataan "mendengarkan hujah" digugurkan, lalu cukup dengan mengatakan agar mengikuti yang terbaik. Walaupun itu objektif utamanya yang ingin ditekankan, tetapi ada sebab Allah kekalkan mesej tentang mendengarkan hujah. Maksudnya ialah kita tetap perlu membaca, menelaah, merujuk, mengkaji dan menganalisis setiap pandangan tentang sesuatu perkara supaya kita dapat putuskan yang terbaik dalam argumentasinya.
Inilah yang dikatakan mazhab firman Allah dan sabda Rasul. Mazhab ini bukanlah mengasingkan, menolak dan apatah lagi membakulsampahkan karya-karya ulama'. Kerana dalam kaedah mazhab ini menyarankan untuk lihat, perhati dan pertimbang ulasan dan alasan secara saksama untuk kita terima, ikuti dan amalkan. Walaupun al-Quran dan as-Sunnah sememangnya yang terbaik, kita masih perlu melayari dan menyemak penulisan setiap orang demi memperoleh yang terbaik dalam menepati penyeragaman dan penyelerasan fiqh, kehendak dan maksud sebenar pada al-Quran dan as-Sunnah.
Wacana 2
Firman Allah Ta'ala :
فَإِن كُنتَ فِي شَكٍّ مِّمَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ فَاسْأَلِ الَّذِينَ يَقْرَءُونَ الْكِتَابَ مِن قَبْلِكَ ۚلَقَدْ جَاءَكَ الْحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الْمُمْتَرِينَ ﴿٩٤﴾ وَلَا تَكُونَنَّ مِنَ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّـهِ فَتَكُونَ مِنَ الْخَاسِرِينَ﴿٩٥
“Maka jika engkau berada dalam keraguan tentang apa yang Kami turunkan kepadamu, maka tanyakanlah kepada orang yang membaca kitab sebelummu. Sungguh, telah datang kebenaran dari Tuhanmu kepadamu, maka janganlah sekali-sekali engkau termasuk orang yang ragu. Dan janganlah sekali-sekali engkau termasuk orang yang mendustakan ayat-ayat Allah, nanti engkau termasuk orang yang rugi”. (Surah Yunus ayat 94-95).
Kalau Allah suruh bertanya ahli kitab untuk menguatkan keimanan terhadap al-Quran, apatah lagi kepentingan kita untuk membaca karya ulama' Muslim supaya kita semakin mantap dan kukuh pegangan kita terhadap al-Quran dan as-Sunnah di atas argumentasi yang terbaik. Sekalipun al-Quran dan as-Sunnah sememangnya sumber yang terbaik dan tiada keraguan terhadapnya, tetapi Allah tetap menyuruh untuk bertanya, melihat, memerhati, menelaah dan kaji karya lain supaya kita memperoleh kekuatan iman terhadap al-Quran serta mengukuhkan argumentasi terhadap penghujahan kita terhadap sesuatu.
Inilah mazhab firman Allah dan sabda Rasul. Pengikut ini akan mempertimbangkan, mengadili, meneliti dan menganalisis setiap pendapat, kemudian kita akan memilih kepada yang terbaik.
Wacana 3
Firman Allah Ta'ala :
فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ ﴿٤٣
"Maka, bertanyalah kepada orang yang mengetahui jika kamu tidak tahu". (Surah an-Nahl ayat 43).
Allah tidak menyebutkan "Jika kamu tidak tahu, maka rujuklah al-Quran dan Rasulullah SAW", tetapi Allah menyebutkan untuk bertanya kepada orang yang mengetahui. Jelaslah bahawa mereka yang bermazhab Allah dan Rasul tidaklah mengasingkan diri, menolak dan apatah lagi membakulsampahkan karya ulama'. Mereka semua mempunyai nilai yang tersendiri sehingga mungkin sahaja mereka mempunyai argumentasi yang mengukuhkan penghujahan kita pada al-Quran dan as-Sunnah. Kita mengambil manfaat daripada sesiapa sahaja yang menyalurkan kebaikan itu dan mensyukuri atas kurniaan itu. Masing-masing saling melengkapi antara satu sama lain dengan kelebihan yang berbeza-beza yang telah Allah rezekikan kepada kita.
Mereka berkata, "Bukankah mereka tidak maksum?". Apakah kerana tidak maksum bermakna salah semuanya? Tidak sesekali sebegitu! Bahkan, kita tidak boleh mempersalahkan seseorang tanpa alasan yang benar. Mereka yang bermazhab Allah dan Rasul akan sentiasa mendahulukan dan sentiasa berpegang kepada pendapat sesiapa sahaja yang di atas jalan terbaik dan tidak peduli sesiapa yang lain menyelisihinya walau sesiapa jua yang memberikan pandangan itu. Kebenaran tetap kebenaran. Walaupun tidak disebutkan dalam teks secara langsung, tetapi mengikuti kebenaran merupakan tuntutan Allah dan Rasul-Nya.
Comentários