Sudah Lama Berlalu, Tetapi Tidak Ada Yang Nampak Kebenarannya?
- Yukio Haruaki
- May 29, 2017
- 2 min read
"Sudah seribu tahun berlalu, tidak mungkin tidak ada seorang pun mengenal pasti kesalahan" Mengapa perlu melihat masa yang lalu dan tidak melihat masa sekarang? Jika rezeki datang tanpa kita sangkakan, maka begitu juga dengan kebenaran. Sekarang ini bukan soal siapa nampak atau tidak sepanjang seribu tahun, ini soal mahu terima atau tidak tatkala hujah telah ditegakkan. Bawalah hujah untuk menafikannya jika kamu termasuk orang yang benar. Jika kamu rasa hujah yang setelah seribu tahun berlalu tidak ada salah, maka tegakkanlah hujah kamu. Jika tidak, maka nyatalah siapa yang menzalimi diri sendiri. Saya telah berkali-kali tegaskan bahawa orang terdahulu tidak perlu disibukkan lagi kerana kita tidak tahu sama ada telah tertegaknya hujah mereka ataupun tidak. Juga kita tidak mengetahui sama ada mereka bertaubat pada hujung waktunya ataupun tidak. Hisab mereka telah dihiting. Orang sekarang yang sedang beramal dan mempersiapkan bekalannya di akhirat inilah yang perlu diberi kesedaran. Boleh jadi orang terdahulu telah pun diampuni dan dirahmati, tetapi bagaimana orang sekarang yang telah pasti menentang dan berdegil atas alasan mengikut orang terdahulu? Cubalah dia jamin penentangan itu mampu selamatkannya di akhirat. Anehnya, apabila ada ijtihad baru dikeluarkan oleh ulama' mazhab mereka, tidak pernah pula ada yang berkata "Tidak mungkin tidak ada orang mengenal pasti permasalahan itu setelah beratus-ratus tahun berlalu". Tentu sahaja ini perkataan yang bodoh kerana ini bukan permasalahan cerita beratus-ratus tahun dahulu. Ini merupakan permasalahan sama ada kita mahu terima kebenaran ataupun tidak setelah terpampangnya hujah itu. Apakah kita ingin menjadi sepertimana yang diungkapkan oleh seperti ini? Iaitu : وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لِلَّذِينَ آمَنُوا لَوْ كَانَ خَيْرًا مَّا سَبَقُونَا إِلَيْهِ ۚ وَإِذْ لَمْ يَهْتَدُوا بِهِ فَسَيَقُولُونَ هَـٰذَا إِفْكٌ قَدِيمٌ ﴿١١ Berkata orang yang kafir kepada orang yang beriman, "Jika ia baik, tentu mereka tidak mendahului kami terhadapnya". Tetapi mereka tidak diberi petunjuk terhadapnya. Pasti nanti mereka berkata, "Ini adalah pengada-adaan yang lama". (Surah al-Ahqaf ayat 11). Adakah kita ingin berkata, "Kalau pendapat ini benar, mesti ada orang terdahulu telah menjelaskan hal itu", kemudian kita menolak kebenaran itu? Semoga Allah lindungi kita daripada perbuatan itu.
Commenti