top of page

Sifat Perbalahan Munafik

  • Writer: Yukio Haruaki
    Yukio Haruaki
  • May 29, 2017
  • 8 min read

Oleh : Marzuka Martillo

Rasulullah SAW bersabda :

أَرْبَعٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ كَانَ مُنَافِقًا خَالِصًا ، وَمَنْ كَانَتْ فِيهِ خَلَّةٌ مِنْهُنَّ ، كَانَتْ فِيهِ خَلَّةٌ مِنْ نِفَاقٍ حَتَّى يَدَعَهَا ، إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ ، وَإِذَا عَاهَدَ غَدَرَ ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ ، وَإِذَا خَاصَمَ فَجَرَ

Empat perkara yang sesiapa memilikinya, maka dia adalah munafik yang sejati. Sesiapa yang padanya memiliki satu satu daripadanya, maka dia memiliki ciri munafik sehingga dia meninggalkannya. Jika dia bercerita, maka dia berdusta. Jika dia membuat perjanjian, maka dia khianat. Jika dia berjanji, maka dia menyalahinya. Jika dia berbalah, maka dia berlebihan". (Sahih Muslim).

Berlebihan apabila berbalah merupakan salah satu ciri munafik. Apabila berbalah, dia seolah-olah cuba melupakan diri bahawa dia tidak akan terpotensi menjadi munafik. Bahkan, dia tidak sedar bahawa dia telah tergelincir ke jurang kemunafikan. Lebih teruk lagi, dia bermudah-mudahan menuduh orang lain munafik dan berusaha untuk korek mengorek kemunafikan orang lain tanpa memerhatikan dirinya.

Sebab itulah orang munafik tidak mengingati Allah melainkan sedikit (lihat Surah an-Nisa' ayat 142). Apabila seseorang mulai berpaling daripada zikrullah, maka syaitan akan jadi qarin untuknya (lihat Surah az-Zukhruf ayat 36). Sebab itulah mereka sanggup bertindak berlebihan sama ada mereka sedar atau tidak.

Adakah kita ini munafik? Muhasabahlah. Waspadalah setiap perbalahan yang berlaku.

Salah satu munafik ialah berlebihan dalam berbalah. Berlebihan bukan semestinya orang yang ganas, ekstrim dan bertenaga semata-mata, tetapi ada yang dari kalangan mereka yang lembut, lunak dan santun. Syaitan bukan sahaja dari mereka yang memprovokasi, tetapi dari jenis yang menggoda. Sebab itulah sesantun mana pun kita atau sekasar mana pun kita, sesiapa sahaja boleh berpotensi menjadi munafik. Semoga Allah lindungi kita daripada bala itu.

Salah satu sifat munafik ialah berlebihan apabila berbalah. Apabila tidak puas hati tentang sesuatu isu dia mahu heret juga pergaduhan perkara yang tidak berkaitan. Mudah cerita, apabila dia sakit hati pada satu perkara, dia mahu sakit hati dengan banyak perkara lain sedangkan ia tidak berkaitan, tidak penting diperbalahkan, tidak perlu dibesar-besarkan dan tidak perlu diperbalahkan.

Apabila tidak puas hati dengan hal ehwal ikan siakap, dia mahu juga bertegang isu buah delima, sayur kobis, kereta toyota, bateri Energizer, mentega, kasut Adidas, botol kicap, sabun Lifeboy, Colgate, Cadburry dan lain-lain. Apa sahaja pada lawannya atau musuhnya mahu merasa perlu diperbalahkan sedangkan pokoknya cuma satu atau beberapa perkara sahaja. Mahu sahaja dia heret apa jua yang boleh menyebabkan orang lain sakit hati terus menerus dan sentiasa bersengketa.

Di antara sifat munafik ialah berlebihan apabila berbalah. Dia lebih fikir dahulu dan kebanyakan cara fikirnya adalah untuk membuatkan orang lain sakit hati dan meluap sengketa berbanding untuk amalkan surah al-'Asr dan al-Balad ayat 17 iaitu suruhan untuk berpesan-pesan kepada kesabaran dan kasih sayang dengan cara tidak membuat orang lain hilang sabar dan tidak merasa kasih sayang akibat sikap provokasi, batu api dan minyak pada api.

Kadangkala beralasan ingin berpesan-pesan kepada kebenaran, tetapi dia membuat orang lain jauh dari kebenaran sebab cara kita berpesan untuk kesabaran dan kasih sayang tidak ada. Berpesan bukan semestinya yang kata-kata atau nasihat "ya akhi! sila bersabar!", ia juga pada cara kita zahirkan, cara pendekatan kita dan cara kita berinteraksi. Kadangkala kita berpesan untuk kebenaran dan menyuruh bersabar, tetapi cara interaksi kita menyebabkan orang lain hilang sabar, hilang rasa kasih dan seterusnya tidak mahu dengan kebenaran. Selepas itu dia pula merasa hairan kenapa orang tidak mahu dengar cakapnya dan dia jadi mangsa keadaan, padahal puncanya daripada dia sendiri.

Kadangkala dia suka kalau orang lain sakit hati dengan respons: “Sentapkah?”, “Panas punggungkah?”, “Terasakah?”, “Padan muka!” dan seumpamanya. Kalau tidak menyatakan secara langsung, dia akan berkias atau dia berdiam, tetapi dalam hatinya gembira terhadap rasa sakit hati orang lain. Mereka lebih suka menyakiti, sedangkan Allah suruh untuk berpesan kepada kesabaran dan kasih sayang. Alangkah musibah apa-apa yang mereka lakukan.

Orang yang cuba terbalikkan surah al-'Asr pasti seorang manusia yang rugi. Orang yang cuba terbalikkan Surah al-Balad ayat 17, dia akan hilang peluang untuk menjadi golongan yang kanan. Muhasabahlah.

Antara tanda sifat munafik ialah berlebihan apabila berbalah. Apabila lawannya atau musuhnya salah, dia akan jadikan salah yang sedia ada menjadi lebih besar daripada yang sepatutnya. Dia tidak berfikir cara untuk selesaikan dan menjadikan dia mendapat kemaafan dan pengampunan, tetapi dia tambah lagi supaya salah itu menjadi besar, berterusan dan tidak diselesaikan serta dimaafkan. Kalau lawannya atau musuhnya tidak bersalah, dia akan apa lakukan apa jua cara supaya ia tergelincir dan terbabas.

Banyak kepentingan munafik ketika melakukan ini, tetapi pokok pangkalnya bukan demi keadilan, kesejahteraan, keharmonian dan kasih sayang. Sama ada dia mahu tambah malu pada orang lain atau merealisasikan hasadnya atau membekaskan lagi rasa sakit hati pada orang lain atau mahu bergelak ketawa dengan malang orang lain atau mengaut apa jua jenis keuntungan dari perbuatan itu. Banyak lagi yang lain sama ada dia sedar ataupun tidak.

Tuhan Maha Pengampun, dia mahu jadi maha pelaknat. Tuhan sudah buka pintu taubat, dia pula mahu menutupnya. Tuhan sudah menutup aibnya, dia pula mahu membocorkannya. Tuhan sudah tentukan kadar balasan perbuatan jahat seseorang, dia mahu lajak lebih dari Tuhan untuk besarkan lagi kadar yang telah ditetapkan oleh Tuhan Yang Maha Bijaksana!

"Telah begitu lama aku belajar, jangan bergusti dengan khinzir. Kamu akan kotor, lagipun khinzir sukakannya" - George Bernard Shaw

Salah satu sifat munafik ialah berlebihan apabila berbalah. Munafik ini lebih suka fikirkan untuk ketegangan berterusan atau sakit hati membekas daripada eratkan kasih sayang dan dapat membentuk kesabaran pada orang lain (lihat Surah al-'Asr dan Surah al-Balad ayat 17).

Dengan itu, jangan terheret dengan provokasi dan godaan mereka. Mereka memang munafik, tetapi janganlah kita pula jadi munafik menyibukkan diri di gelanggang mereka. Kalau perlu pun, awasi setiap langkah. Kalau munafik itu tidak beretika, janganlah kita pun tidak beretika. Apa yang dia lakukan jangan sampai mempengaruhi tindakan kita.

Perbalahan itulah yang mereka mahu. Mereka tidak peduli kalau dibalas dengan balunan, kecaman pedas, pemulauan, kekecohan dan gertakan kita sebab mereka hanya fikir untuk balah dan terus berbalah.

Orang gila populariti bukan sahaja golongan yang mahu dibodek dan dipuja kiri dan kanan, mereka juga terdiri daripada yang mahu dimusuhi dan disengketa. Mereka seronok disakiti sepertimana orang lain seronok dipuja.

Perselisihan orang mukmin menjurus kepada keharmonian, sedangkan perselisihan munafik untuk pecah belah dan ketegangan.

Surah Fussilat ayat 34 (juga berkaitan dengan Surah an-Nahl ayat 125) menyebutkan tentang perintah menolak kejahatan dengan cara yang baik sehingga musuh itu seolah-olah macam kawan yang rapat. Kemudian, surah al-Hujurat ayat 9 memerintahkan agar mendamaikan kedua-dua belah pihak atau lebih yang berselisih terlebih dahulu. Jikalau salah satunya atau lebih melampaui batas, maka ambil tindakan yang melampaui batas sehingga ia kembali. Bermusyawarah pun jangan sampai orang lari, apatah lagi sampai memprovokasi. Apabila Allah suruh berpesan-pesan untuk kesabaran, maka jangan buat orang lain hilang sabar dan salah satu cara berpesan-pesan kepada kesabaran ialah jangan jadi batu api atau minyak pada api. Orang yang terbalikkan surah al-'Asr pasti dia seorang manusia yang rugi.

Tetapi, munafik terbalik. Sebab salah satu sifat munafik ialah berlebihan apabila berbalah. Apa yang dia fikir dahulu adalah bagaimana mahu jadikan lawannya atau musuhnya sakit hati dan provokasi supaya tambah sengketa. Apabila dia panggil pihak ketiga, dia bukan rekrut sebagai pendamai, tetapi penuang minyak di api. Kalau dia tidak jumpa teras untuk dipertikaikan, dia akan cari kesalahan minor, teknikal, tidak penting dan sesuatu yang bukan sengaja yang boleh dimaafkan dan ditoleransi.

Aib yang kecil mahu diperbesar lagi. Sesuatu yang telah selesai, dibangkitkan semula seolah-olah belum selesai. Perkara yang boleh toleransi, mahu dimarakkan lagi api pertengkaran. Dia sanggup menjadi "strawman" atau berbuat apa sahaja supaya lawannya atau musuhnya terus mendapat perhatian sengketa. Sama ada munafik ini menjadi batu api atau minyak pada api ketika berbalah.

Apabila tidak ada bahan untuk diejek, dicarilah kesilapan minor, teknikal dan tidak penting seperti typo, tersasul, grammar tersilap dan lain-lain. Kita rasa seronok dan selamat dikecam seperti itu sebab Allah tutup aib kita dan Allah selamatkan kita daripada tergelincir. Tetapi, apabila kita mencari kesilapan minor, teknikal dan tidak penting, kita memperbesar aib yang tidak patut diperbesarkan, disibukkan dan dipentingkan. Kita juga menambahkan malu saudara dan menzalimi maruah orang lain melampaui batas. Lagi mahu mengharap Allah tidak akan korek aib kita kepada umum sama ada secara ansuran atau secara tunai?

Mereka tidak fikirkah kalau ada orang lain buat sama macam dia buat. Tidak suka? Jangan buat begitu pada orang lain juga. Mudah sahaja peraturan kehidupan ini. Mujur juga selama ini tersasul hafalan, tersilap tajwid dan tersalah nahu, Allah tidak hantar petir untuk terus sambar pada kita masa itu juga. Kalau rasa Allah itu as-Sobur, penyayang, pengampun dan rahmat kepada kita, kenapa kita tidak mahu implementasikan sifat itu sesama makhluk Allah?

Bahkan yang suka mencari kesilapan jenis itu merupakan tanda kedunguan. Sebab dia memilih untuk membenci sesuatu yang tidak patut dibenci, menyerang sesuatu yang tidak patut diserang. tidak memaafkan yang sepatutnya dimaafkan, bertoleransi sesuatu yang patut ditoleransi dan berlebihan daripada yang sekadarnya.

Antara tanda munafik adalah apabila berbalah, dia suka berlebihan. Tidak nampakkah yang mencari kesilapan minor ini mahu berlebihan dalam berbalah? Dan suka menambah sakit pada orang lain?

Antara tanda orang munafik ialah berlebihan ketika berbalah. Kali ini bukan yang ekstrim ketika bersengketa atau menjadi batu api, tetapi mereka menjadi penyampuk. Mereka masuk ke ruang diskusi, lalu menyelit: "Janganlah kalian memandai-mandai". Tetapi hakikatnya ia bukan memberi nasihat, tetapi menganggap orang lain itu bodoh dan menyangka para panel tidak mengerti. Ia mengejek orang lain dengan bertopengkan kata-kata nasihat. "Semoga Tuhan begitu", "Semoga tuhan begini" dan lain-lain pada hakikatnya bukan berdoa, tetapi mencela dan mengejek.

Jika wali Allah berada di mana-mana, orang pandai juga berada di mana-mana. Jika wali Allah ini ada yang tersembunyi dari zahir, maka orang cerdik juga ada yang tersembunyi dari zahir. Kita selalu mengingatkan diri jangan bersangka buruk dengan para zahid kerana mereka mungkin wali Allah. Tetapi dalam urusan ilmu, tiba-tiba prasangka cepat menyusul. Kita selalu berprinsip tawaduk sebagai: "Orang lain mungkin ada sesuatu yang lebih baik daripada kita yang mungkin kita pun tidak tahu", tetapi tiba-tiba prinsip itu dicampak akibat suka bersangka buruk.

Bahkan, para penyampuk ada di antara mereka melontarkan idea bukan yang membantu. Apabila orang berbalah cara menyelesaikan dari sudut realiti dan praktikal, dia mahu membeber mulut juga untuk berbicara tentang konsep dan teori. Berbicara yang baik bukan semestinya isi itu semata-mata, tetapi melihat juga pada kesesuaian waktu, tempat dan keadaan. Oleh itu, berbicara yang baik atau diam. Tentu lebih buruk jikalau menyampuk itu penambah beban atau penyebab rasa sakit hati atau cubaan berbicara sekadar untuk seronok atau berbicara sesuatu yang dia bukan ahlinya atau bukan kepentingan penyelesaian perbalahan.

Begitu juga dengan penyampuk bersikap baling batu sembunyi tangan. Apabila dimintai keterangan hujah, mereka mendiamkannya, lalu membiarkan dan melupakan seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Kadangkala dia beralasan “Astarghfirullah Jalla wa ‘Azza! Debat punca pecah belah dan permusuhan”, “Tidak ada bicara untuk orang bodoh”, “Saya sibuk sekarang ini” dan lain-lain alasan kemudian melupakan seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Namun, masih terus ke sana ke mari dengan batu yang dilemparkan dan berjalan di muka bumi dalam keadaan rasa selamat bahawa dia tidak dipertanggungjawabkan atas apa yang dia sembunyikan.

Salah satu tanda munafik ialah berlebihan dalam berbalah. Hasad merupakan punca seseorang itu bersikap berlebihan. Dia tidak suka orang lain lebih berilmu daripadanya atau orang lain menyaingi ilmu orang yang dia puja dan dia sangka orang itu layak jadi orang berilmu dan orang ini tidak layak jadi berilmu. Malang sekali, pengaturan Allah bebas dari anggapan makhluk. Allah jualah yang mengatur pembahagian rezeki dengan kehendak-Nya. Boleh jadi orang yang dia sangka akan ketinggalan akan melampauinya bila-bila masa sahaja dan boleh jadi dia pula atau orang yang ia puja dicabut kelebihannya dan dihinakannya atau mungkin sekurang-kurangnya ketinggalan.

Tetapi hasad tidak suka. Bagi dia, sesuatu yang tidak menepati persepsinya, maka itu bukan realiti sekalipun Allah telah merealisasikan kehendak-Nya. Dia akan buat apa sahaja supaya orang itu kelihatan bodoh dan suka kalau orang itu bodoh, kekal bodoh dan kembali menjadi bodoh setelah pandai (tetapi dalam masa yang sama, dia menyuruh orang lain untuk menjadi intelek dan cerdas!).

Dia mulai mencari kesalahan minor, teknikal dan tidak penting. Berbalah sesuatu yang tidak perlu diperbalahkan. Membesarkan sesuatu dari kadarnya. Menyibukkan sesuatu yang tidak penting. Menambahkan sakit pada orang lain. Menambah malu pada orang lain. Membenci sesuatu yang tidak patut dibenci. Tidak memaafkan sesuatu yang patut dimaafkan. Tidak bertoleransi sesuatu yang patut ditoleransi. Semua itu semata-mata untuk orang itu dianggap bodoh walau apa jua cara.

Apa sahaja yang dia buat semata-mata untuk mencipta dunia sangkaannya dan eskap dari realiti. Ajakan untuk menjadi orang berilmu dan intelek sebenarnya merujuk kepada menjadi yang penyembah ilmunya, bukan untuk takut kepada Allah. Mereka mengajak orang lain untuk bertawaduk, tetapi mengamuk apabila ada orang lebih bertawaduk daripadanya!


Comentários


Info
Laman ini merupakan laman tambahan dalam aktiviti blog bagi mengupas beberapa isu atau perkara menurut perspektif saya secara ikhtisar dan padat.
Laman Lain
  • unnamed
  • Blogger Social Icon
  • android-chrome-192x192
  • Tumblr Social Icon
  • webs.com_
  • Facebook Social Icon
  • Twitter Social Icon
  • Google+ Social Icon
Kategori
Arkib

© 2023 by DO IT YOURSELF. Proudly created with Wix.com

bottom of page