top of page

Adakah Rasa Syahwat Itu Sendiri Merupakan Dosa?

  • Writer: Yukio Haruaki
    Yukio Haruaki
  • Jun 2, 2017
  • 5 min read

Syahwat kadangkala dianggap sebagai sesuatu yang berdosa, bahkan mempengaruhi hukum hakam fiqh padanya. Namun, adakah anggapan itu benar? Adakah syahwat itu sendiri sememangnya berdosa dan sentiasa sahaja menjadi penyebab pengaruh hukum hakam fiqh? Perlu kita tahu bahawa jika seseorang hamba berkeinginan untuk bermaksiat, maka dia tidak diira apa-apa dosa baginya. Hal ini berdasarkan hadis qudsi seperti berikut :

"إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ كَتَبَ الْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً فَإِنْ عَمِلَهَا كُتِبَتْ لَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِ مِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ وَإِنْ هُوَ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً فَإِنْ عَمِلَهَا ، كُتِبَتْ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً" .

"Sesungguhnya Allah 'Azza wa Jalla menulis kebaikan dan keburukan, kemudian dia membezakan hal itu. Barangsiapa yang berkeinginan terhadap kebaikan tetapi dia tidak melakukannya, maka Allah menulis satu pahala sempurna kepadanya di sisi-Nya. Jika dia melakukan, tertulis sepuluh pahala sehingga tujuh ratus kali ganda sehinga berganda-ganda banyak untuknya. Jika dia berkeinginan untuk kejahatan tetapi dia tidak melakukannya, Allah menulis satu pahala sempurna untuknya di sisi-Nya. Jika dia melakukannya, tertulis satu dosa untuknya". (Musnad Ahmad, no. 3274).

Maka, bagaimana seseorang dihukumkan melakukan berdosa sedangkan Allah tidak memperkirakan hal itu? Lagipun, syahwat bukan semestinya untuk perkara maksiat, tetapi ia juga boleh untuk perkara makruf seperti persetubuhan dengan isteri atau suami. Lantas, ia masih perkara relatif yang perlu dinilai mengikut konteks. Jikalau ia digelorakan untuk hal maksiat pun, ia masih tidak dikira apa-apa. Bahkan, apa-apa yang berpusar di hati juga masih tidak dikira selagimana belum dizahirkan secara sempurna.

أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : "إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لأُمَّتِي عَمَّا حَدَّثَتْ بِهِ نَفْسَهَا ، مَا لَمْ تَعْمَلْ بِهِ أَوْ تَكَلَّمْ بِهِ".

Bahawasanya Rasulullah SAW berkata, "Sesungguhnya Allah memaafkan untukku pada apa-apa yang berpusar pada jiwanya selagimana tidak mengerjakan atau berbicarakannya". (Musnad Abu Ya'la, no. 6354).

Sekadar yang berpusar di jiwa masih dalam lingkungan kemaafan. Kalau seseorang berpusar-pusar untuk membunuh, tetapi penzahirannya sekadar menetak pisau di kayu, ia tidak dikira kerana ia tidak dianggap mengerjakan sesuatu secara sempurna dan memenuhi makna hakikat bagi sesuatu perbuatan, iaitu membunuh secara hakiki dengan menghilangkan nyawa orang lain. Jika seseorang menyebut perkataan sumpah, tetapi hakikatnya bukan diniatkan kepada sumpah, sekadar perkataan komunikasi biasa bagi sesuatu 'uruf, maka ia tidak dikira melakukan sumpah kerana makna hakikat bagi sesuatu perbuatan itu tidak mencukupi lingkungannya. Jika seseorang menggelegak syahwatnya, lalu berpusar-pusar untuk berzina, tetapi penzahirannya sekadar melancap, maka ini tetap tidak dikira kerana ia tidak dianggap mengerjakan sesuatu secara sempurna dan memenuhi hakikat bagi sesuatu perbuatan, iaitu berzina dengan memasukkan zakar ke dalam faraj.

Dengan itu, penghukuman syahwat perlu diteliti dengan berhati-hati. Syahwat bukan semestinya pada yang meluap-luap pada jiwa, tetapi ia zahir pada khayalan fikiran. Ini juga tidak dikira kerana ia masih dikira dalam pusaran. Syahwat juga boleh terzahir pada pergelutan antara ingin melakukan dan tidak ingin melakukan. Perlawanan ini juga masih tidak dikira kerana masih dalam lingkungan pusaran. Jika seseorang yang bersyahwat untuk melakukan zina, namun dia tidak berniat untuk merealisasikannya, maka ini tidak dikira kerana ia masih dikira "al-Hammu" (الهم) sepertimana hadis qudsi di atas. Jika seseorang yang bersyahwat untuk melakukan zina dan dia benar-benar ingin merealisasikannya walau apa-apa jua cara sekalipun, maka ini barulah dikira berdosa berdasarkan dalil berikut :

عَنْ الْأَحْنَفِ بْنِ قَيْسٍ، قَالَ : ذَهَبْتُ لِأَنْصُرَ هَذَا الرَّجُلَ فَلَقِيَنِي أَبُو بَكْرَةَ ، فَقَالَ : أَيْنَ تُرِيدُ؟ قُلْتُ : أَنْصُرُ هَذَا الرَّجُلَ. قَالَ : ارْجِعْ فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يَقُولُ : "إِذَا الْتَقَى الْمُسْلِمَانِ بِسَيْفَيْهِمَا فَالْقَاتِلُ وَالْمَقْتُولُ فِي النَّارِ. فَقُلْتُ : "يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَذَا الْقَاتِلُ فَمَا بَالُ الْمَقْتُولِ؟" قَالَ : "إِنَّهُ كَانَ حَرِيصًا عَلَى قَتْلِ صَاحِبِهِ".

Daripada al-Ahnaf bin Qais, dia berkata; Aku pergi untuk membantu seseorang, lantas aku bertembung dengan Abu Bakrah, dia berkata, "Kamu hendak ke mana?". Aku berkata, "Membantu seseorang". Dia berkata; Pulanglah. Sesngguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Jika dua orang Muslim bertemu dengan pedang masing-masing, maka yang membunuh dan yang terbunuh di dalam neraka". Aku berkata, "Wahai Rasulullah, kami telah faham tentang pembunuh, maka bagaimana pula dengan yang dibunuh?". Baginda berkata, "Sesungguhnya dia bertekad untuk membunuh sahabatnya. (Sahih al-Bukhari, kitab al-Iman, no. 30).

Keinginan untuk realisasikannya walau apa jua cara sekalipun tanpa syak termasuk dalam "al-'Azm" (العزم). Atas sebab inilah ia dianggap berdosa walaupun seseorang gagal merealisasikannya kerana ia telah menjazamkan segala cita-citanya untuk melaksanakannya.

Oleh itu, jelaslah bahawa penghukuman dosa syahwat ini perlu ditimbang dengan peka. Jikalau ia sekadar al-Hammu atau pusaran di jiwa, maka ini tidak dikira apa-apa dosa. Malah, hukum hakam fiqh juga tidak teraplikasi jika tahap luapan itu pada tahap itu sahaja kerana Allah tidak mengira apa-apa dan Allah juga memaafkan hal itu. Apabila ia telah tekad dan berazam terhadapnya, maka di sinilah penghukuman diambil.

Sebahagian orang membantah dengan menggunakan hadis ini :

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ، قَالَ : مَا رَأَيْتُ شَيْئًا أَشْبَهَ بِاللَّمَمِ مِمَّا قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ : أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : "إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا أَدْرَكَ ذَلِكَ لَا مَحَالَةَ فَزِنَا الْعَيْنَيْنِ النَّظَرُ وَزِنَا اللِّسَانِ النُّطْقُ وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي وَالْفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ أَوْ يُكَذِّبُهُ".

Daripada Ibn 'Abbas, dia berkata; Aku tidak pernah melihat sesuatu yang menyerupai dengan al-Lamam pada apa-apa yang Abu Hurairah katakan bahawasanya Nabi SAW bersabda, "Sesungguh Allah telah menetapkan bahagian daripada zina ke atas anak Adam yang dia akan menempuhi yang tidak mungkin dielak. Maka zina mata adalah melihat, zina lidah adalah percakapan dan hati menginginkan dan menggemari. Kemaluan yang membenarkan itu atau mendustakannya". (Sahih Muslim, kitab al-Qadr, no. 4807).

Mereka menyatakan bahawa jika jiwa berkeinginan dan bersyahwat untuk zina, maka ia dianggap sebagai dosa kerana sandangan dengan lafaz zina. Ada dua penjelasan berkenaan dengan hal ini. Pertama, itu adalah berupa khabar, bukan perintah. Rasulullah SAW menjelaskan khabar tentang ketetapan yang ada pada anak Adam, bukan untuk menyatakan apa-apa makna penghukuman syar'i fiqh padanya. Hal ini seumpama dengan hadis berikut :

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "لَوْ كَانَ لِابْنِ آدَمَ وَادِيًا مِنْ ذَهَبٍ لَأَحَبَّ أَنْ يَكُونَ لَهُ ثَانِيًا ، وَلَا يَمْلَأُ فَاهُ إِلَّا التُّرَابُ ، وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ".

Daripada Anas bin Malik, dia berkata; Rasulullah SAW bersabda, "Jika anak Adam memiliki satu lembah emas, pasti dia akan menyukai untuk memiliki yang kedua. Tidak ada yang mampu memenuhi mulutnya melainkan tanah. Allah menerima taubat bagi sesiapa yang bertaubat". (Sunan at-Tirmizi, kitab az-Zuhd, no. 2271).

Pada hadis ini, Rasulullah SAW mengkhabarkan tentang sifat manusia terhadap kekayaan harta, bukan untuk menyatakan keharaman dalam mengaut kekayaan. Maka, seseorang tidak salah untuk mengambil keuntungan yang banyak selagimana di atas landasan syariat.

Kedua, Rasulullah SAW menyatakan bahawa yang membenarkan mata, telinga, tangan dan kaki yang berzina atau mendustakannya adalah pada kemaluan. Zina adalah persetubuhan antara lelaki dan wanita yang bukan di atas ikatakan pernikahan yang sah. Jika kemaluan mendustakannya, yakni tidak melakukan zina, bagaimana mungkin kesemua itu dapat dikatakan berzina? Jika sekadar berkeinginan dan bersyahwat sahaja, bagaimana seseorang dikira berzina jika kemaluan mendustakannya?


Comments


Info
Laman ini merupakan laman tambahan dalam aktiviti blog bagi mengupas beberapa isu atau perkara menurut perspektif saya secara ikhtisar dan padat.
Laman Lain
  • unnamed
  • Blogger Social Icon
  • android-chrome-192x192
  • Tumblr Social Icon
  • webs.com_
  • Facebook Social Icon
  • Twitter Social Icon
  • Google+ Social Icon
Kategori
Arkib

© 2023 by DO IT YOURSELF. Proudly created with Wix.com

bottom of page