Melancap Tidak Membatalkan Puasa
- Yukio Haruaki
- Jun 2, 2017
- 2 min read
Tidak ada dalil yang menetapkan bahawa melancap membatalkan puasa sama ada keluar air mani ataupun tidak. Ini ialah pendapat Ibn Hazm dalam al-Muhalla Bi al-Atsar, jilid 4, m/s 337-338, Dar al-Fikr, Beirut. Pendapat yang menganggap pembatalan puasa kerana melancap berdalilkan hadis berikut : وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ تَعَالَى مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي الصِّيَامُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا. Demi yang diriku di tangan-Nya, benar-benar bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Alah Ta'ala daripada wangian kasturi. (Allah berfirman,) "Dia meninggalkan makan, minumnya dan syahwatnya kerana untuk-Ku (Allah). Puasa itu untuk-Aku dan Aku akan membalasnya. Kebaikannya adalah sepuluh yang semisalnya". (Sahih al-Bukhari, kitab as-Soum, no. 1770). Mereka menyatakan bahawa syahwat merangkumi segala aspek termasuklah melancap. Namun, pendalilan sebegini salah kerana menjauhi makna yang bersesuaian dengan konteks al-Quran seperti berikut : أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ ۚ هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ ۗ عَلِمَ اللَّـهُ أَنَّكُمْ كُنتُمْ تَخْتَانُونَ أَنفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنكُمْ ۖ فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّـهُ لَكُمْ ۚ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ "Dihalalkan untuk kalian bersetubuh dengan isteri-isteri kamu pada waktu malam. Mereka adalah pakaian bagi kalian dan kalian adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu sememangnya tidak mampu menahan diri kamu. Maka, Allah menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang, setubuhilah mereka dan carilah apa yang telah ditetapkan oleh Allah untuk kalian. Makan dan minumlah sehingga jelas antara benang putih dengan benang hitam pada waktu fajar. Kemudian, sempurnakanlah puasa sampai waktu malam". (Surah al-Baqarah ayat 187). Di sini Allah menyebutkan tentang makan, minum dan persetubuhan. Dengan itu, jelaslah bahawa syahwat pada hadis di atas merujuk kepada persetubuhan, bukan merujuk kepada selain itu. Pentafsiran syahwat merujuk kepada persetubuhan merupakan pentafsiran Ibn Hajar al-'Asqalani dalam Fath al-Bari Syarh Sohih al-Bukhari, jilid 4, m/s 107, Dar al-Ma'rifah, Beirut. Bahkan, jika ingin menetapkan syahwat itu merangkumi segala aspek, sebenarnya tidak mengeluarkan air mani pun masih dikira lingkungan syahwat. Namun, tiada seorang pun yang berpendapat sedemikian! Malah, sama sekali tidak ada dalil yang menetapkan bahawa syahwat yang dikira sebagai pembatal puasa adalah pada mencapai klimaks atau keluar air mani. Penetapan sebegini ialah bid'ah dan tidak ada dasar dalam agama. Asal hukum sepanjang perlaksanaan ibadah itu ialah sah melainkan dibuktikan pembatalannya. Memandangkan tidak ada dalil yang menyatakan pembatalannya, maka puasa seseorang itu sah amalannya.
Comments