Membuatkan Orang Lain Terpegun Dengan Keindahan Diri Kita
- Yukio Haruaki
- Jun 3, 2017
- 4 min read
Membuatkan orang lain terpesona dan takjub dengan keindahan yang ada pada diri kita sememangnya suatu perkara yang dituntut dalam agama ini berdasarkan hadis berikut :
قَالَ رَجُلٌ : "إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً" ، قَالَ : "إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ".
Seorang lelaki berkata, "Sesungguhnya lelaki itu menyukai untuk memiliki baju yang bagus dan selipar yang bagus". Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah itu indah lagi menyukai keindahan". (Sahih Muslim, kitab al-Iman, no. 134).
Hal ini kerana memanifestasikan apa-apa yang Allah sukai tanda kita mensyukuri nikmat yang Allah berikan kepada kita dan sentiasa mengagungkan diri-Nya dengan mempersembahkan dan menzahirkan sesuatu syiar yang disukai oleh Allah. Membuatkan orang lain merasai pesona keindahan juga suatu kepujian akhlak kerana jika kita menyayangi sesama muslim sepertimana saudara kita sendiri, pasti kita tidak akan membiarkan membuatkan orang lain tidak suka dengan apa yang kita tidak suka dan menzahirkan kesukaan orang lain sebagaimana kita menyukainya.
Bagaimana pula dengan wanita yang berhias dan bersolek sehingga hal itu mampu merangsang syahwat kepada seseorang lain? Penzahiran syahwat sebenarnya itulah tanda seorang wanita itu indah dan mempesonakan sehingga mampu memukau dan membuat takjub kepada mata yang memandang. Jika tidak, tentu hal itu tidak berlaku. Sememangnya wanita diperbolehkan untuk berhias untuk membuatkan orang lain terpesona dengan keindahan pada dirinya. Hal itu berdasarkan hadis berikut :
عَنْ أُمِّ عَطِيَّةَ قَالَتْ : كُنَّا نُنْهَى أَنْ نُحِدَّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلاَثٍ إِلَّا عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا وَلاَ نَكْتَحِلَ وَلاَ نَطَّيَّبَ وَلاَ نَلْبَسَ ثَوْبًا مَصْبُوغًا إِلَّا ثَوْبَ عَصْبٍ وَقَدْ رُخِّصَ لَنَا عِنْدَ الطُّهْرِ إِذَا اغْتَسَلَتْ إِحْدَانَا مِنْ مَحِيضِهَا فِي نُبْذَةٍ مِنْ كُسْتِ أَظْفَارٍ وَكُنَّا نُنْهَى عَنِ اتِّبَاعِ الجَنَائِزِ.
Daripada Ummu 'Athiyyah, dia berkata, "Kami ditegah untuk berkabung ke atas mayat lebih tiga hari kecuali pada suami, iaitu empat bulan sepuluh hari. Tidak boleh juga kami bercelak, berwangian, memakai pakaian berwarna kecuali pakaian lusuh. Kami diberi keringanan ketika bersuci, iaitu sebatang kayu wangi daripada apabila setiap orang daripada kami membasuh haidhnya. Kami juga ditegah untuk mengikuti jenazah". (Sahih al-Bukhari, kitab at-Thollaq, no. 5050).
Berhias, berwangian, bersolek dan lain-lain semua itu tidak lain tidak bukan sememangnya bertujuan untuk menarik perhatian orang lain. Tidak ada maksud yang lain selain daripada itu. Bahkan, sememangnya antara faktor perkahwinan seseorang itu kerana kecantikan yang pada diri seseorang. Firman Allah Ta'ala :
وَلَا تَنكِحُوا الْمُشْرِكَاتِ حَتَّىٰ يُؤْمِنَّ ۚ وَلَأَمَةٌ مُّؤْمِنَةٌ خَيْرٌ مِّن مُّشْرِكَةٍ وَلَوْ أَعْجَبَتْكُمْ ۗ وَلَا تُنكِحُوا الْمُشْرِكِينَ حَتَّىٰ يُؤْمِنُوا ۚ وَلَعَبْدٌ مُّؤْمِنٌ خَيْرٌ مِّن مُّشْرِكٍ وَلَوْ أَعْجَبَكُمْ
"Janganlah kalian bernikah dengan wanita musyrik sehingga dia beriman. Benar-benar hamba sahaya wanita yang beriman lebih baik daripada wanita musyrik walau dia menakjubkan kamu. Janganlah engkau menikahkan wanita dengan lelaki musyrik sehingga dia beriman. Benar-benar hamba sahaya lelaki lebih baik daripada lelaki musyrik walau dia menakjubkan kamu". (Surah al-Baqarah ayat 221).
Firman Allah Ta'ala :
لَّا يَحِلُّ لَكَ النِّسَاءُ مِن بَعْدُ وَلَا أَن تَبَدَّلَ بِهِنَّ مِنْ أَزْوَاجٍ وَلَوْ أَعْجَبَكَ حُسْنُهُنَّ إِلَّا مَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ ۗ وَكَانَ اللَّـهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ رَّقِيبًا
"Tidak halal wanita selepas itu untuk engkau menukarkan mereka dengan pasangan lain walau kecantikannya menakjubkan kamu kecuali hamba sahaya yang engkau miliki. Alllah itu mengawsi atas segala sesuatu". (Surah al-Ahzab ayat 52).
Di sini tidak menafikan bahawa faktor kecantikan juga menjadi pendorong seseorang berkahwin dan Allah tidaklah mencela akan hal itu. Tarikan seseorang terhadap wanita sememangnya ada unsur syahwat padanya dan atas sebab itulah akad pernikahan merupakan suatu akad yang menghalalkan persetubuhan. Tidak ada definisi nikah untuk selain daripada ini.
Bagaimana jika persolekan itu bukan untuk tujuan perkahwinan? Ia masih tidak dikira kesalahan kerana menjadi indah merupakan sesuatu yang disukai oleh Allah dan membuatkan orang lain takjub terhadap keindahan sememangnya disukai dalam agama ini. Syahwat itu sendiri tidaklah salah sehingga seseorang itu tekad dan berazam untuk merealisasikan zina sepertimana yang telah saya bahaskan pada penulisan sebelumnya. Oleh itu, jikalau kecantikan menyebabkan seseorang mengelamun dan meluap-luap gelora syahwat di dalam jiwanya, maka itu bukanlah kesalahan. Melainkan tujuan persolekan itu sememangnya bertujuan untuk fitnah dan zina, maka hal itu ditanggung dosanya atas apa-apa yang dia niatkan.
Apa-apa sahaja yang menjadi kekhuatiran itu kadangkala bukanlah kesemuanya berpotensi sebegitu. Sebahagiannya cuma sangkaan dan rekaan yang berlebih-lebihan. Bahkan, boleh jadi kekhuatiran itu sendiri sesuatu yang lebih berbahaya berbanding realiti yang sebenarnya. Oleh itu, janganlah kekhuatiran itu menjadikan seseorang itu depresi dan terhalang untuk memperindah diri. Berusaha untuk mencapai sesuatu yang disukai Allah termasuk jihad di jalan-Nya dan menzahirkan syiar kebanggaan-Nya merupakan perkara yang makruf lagi terpuji.
Sesetengah orang kadangkala tidak menyukai dan terganggu dengan siulan dan kacauan daripada mata keranjang yang melayaninya sebagai objek seks dan pelampias nafsu. Akan tetapi, dari sudut ini, mereka boleh melihat sudut positif pada diri mereka. Telah dijelaskan tadi bahawa mereka tidaklah melakukan sedemikian melainkan dia seorang yang indah. Maka, bersyukurlah atas kurniaan yang Allah berikan ke atas dirinya berupa keindahan dirinya. Moga-moga Allah menambahkan nikmat kepadanya disebabkan kesyukuran mereka dan merela bertambah jelita dan indah daripada apa-apa yang mereka miliki sekarang pada masa akan datang.
Kuasakan diri dengan keindahan dan jadikanlah itu sebagai penzahiran nikmat Allah dalam menyatakan kesyukuran terhadap-Nya. Jadikanlah ia sebagai sesuatu yang menyebabkan orang lain mengasihi dan berbangga dengan keberadaan kita yang menjadi hamba Allah yang memanifestasikan keindahan-Nya.
Comments