Usah Membuatkan Mereka Jemu Dengan Agama
- Yukio Haruaki
- Jun 4, 2017
- 3 min read
Semangat kita terhadap agama membuatkan kita mahu mengaitkan segala perkara dengan teks agama dan cuba menyemarakkan suasana imej yang beragama. Sehingga lidah kita tidak lekang untuk menyebut-nyebut sesuatu yang berkaitan dengan agama dan bersemangat untuk melazimi penampilan agama sepanjang masa. Keghairahan ini tentu sahaja merupakan sikap yang terpuji, tetapi kadangkala sesuatu yang perlu diketahui adalah jangan sampai hal itu menyebabkan orang lain menjadi jemu dan meluat untuk mendengarkan dan menghadap imej-imej agama. Mereka meluat dan merasa jijik bukan kerana iman mereka telah turun atau mereka bencikan agama, tetapi hakikat bagi hati manusia sememangnya sedemikian yang akan mengalami peningkatan dalam minat dan keruduman dalam ketagihannya. Sebab itulah Rasulullah SAW tidaklah selalu memberikan nasihat kerana hal itu menyebabkan kebosanan orang lain untuk kekal bersama iman dan islam.
حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ حَدَّثَنَا وَكِيعٌ وَأَبُو مُعَاوِيَةَ ح وَحَدَّثَنَا ابْنُ نُمَيْرٍ وَاللَّفْظُ لَهُ حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ عَنْ الْأَعْمَشِ عَنْ شَقِيقٍ قَالَ كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ بَابِ عَبْدِ اللَّهِ نَنْتَظِرُهُ فَمَرَّ بِنَا يَزِيدُ بْنُ مُعَاوِيَةَ النَّخَعِيُّ فَقُلْنَا أَعْلِمْهُ بِمَكَانِنَا فَدَخَلَ عَلَيْهِ فَلَمْ يَلْبَثْ أَنْ خَرَجَ عَلَيْنَا عَبْدُ اللَّهِ فَقَالَ إِنِّي أُخْبَرُ بِمَكَانِكُمْ فَمَا يَمْنَعُنِي أَنْ أَخْرُجَ إِلَيْكُمْ إِلَّا كَرَاهِيَةُ أَنْ أُمِلَّكُمْ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَتَخَوَّلُنَا بِالْمَوْعِظَةِ فِي الْأَيَّامِ مَخَافَةَ السَّآمَةِ عَلَيْنَا
Telah menceritakan kepada kami Abu Bakr bin Abu Syaibah; Telah menceritakan kepada kami Waki' dan Abu Mu'awiyah -riwayat lain- Dan telah menceritakan kepada kami Ibn Numair dna lafaz ini miliknya; Telah menceritakan kepada kami Abu Mu'awiyah, daripada al-A'mash, daripada Syaqiq, dia berkata; Dahulu kami duduk di sisi pintu rumah 'Abdullah sambil menantikannya. Lalu Yazid bin Mu'awiyah an-Nakha'i melewati kami, lalu kami berkata, "Beritahulah kepadanya keberadaan kami". Lalu dia pun masuk ke rumahnya. Tidak lama kemudian, 'Abdullah pun keluar kepada kami. Dia pun berkata, "Sesungguhnya aku diberitahu tentang keberadaan kalian. Tidaklah ada yang menegah aku untuk bertemu kalian kecuali aku membenci jika aku membosankan kalian. Sesungguhnya Rasulullah SAW dahulu pernah menahan nasihatnya kepada kami untuk beberapa hari kerana khuatir menjemukan kami". (Sahih Muslim, kitab Sifah al-Qiyamah wa wa al-Mauzhi'ah, no. 2821).
Kadangkala menampilkan imej agama dan menyebutkan isi-isi agama bukan semata-mata untuk sekadar mengungkap dan mengekspresi sahaja, tetapi ia disalahgunakan untuk menutup kebodohan diri dan membantutkan diri untuk berkembang dan bertindak sesuai dengan realitinya. Mereka hanya tertumpu pada teks-teks agama, tetapi gagal untuk menganalisis dan memahami suasana yang dia hadapi. Seolah-olah apa-apa yang berlaku berlainan dengan sudut teks, ia bukan realiti atau tidak cukup realiti. Misalnya, cukuplah kenyataan ini menggambarkan kedua-dua belah pihak, iaitu pihak yang mempergunakan agama dan pihak yang telah jemu dengan ungkapan agama :
Pada suatu hari dalam awal 2007, saya makan tengah hari dengan seorang kawan bernama Nate Lewis yang bekerja sebagai jurutera di California Institute of Technology (Caltech). Kami makan di sebuah kelab fakulti yang dibarisi pepohon palma di kampus Caltech, Pasadena. Saya bertanya kepada Nate: "Mengapa Katrina sangat mengerikan?". Nate memikir-mikirkan soalan tersebut, sambil menyedut leomand strawberinya, minuman istimewa kelab itu, dia seterusnya menjawab soalan saya dengan mengajukan pula soalannya: "Adaah kita yang menyebabkannya terjadi? Atau tuhan?". Pada mulanya saya tidak memahaminya dan kemudian barulah saya faham. Apabila taufan dan bencana alam lain melanda, syarikat insurans dan pihak media selalunya menggelarnya sebagai "ia kerja tuhan". Perkara yang Nate tanyakan ialah: Adakah kita telah melepaskan terlalu banyak gas karbon dioksia kepada sistem penjanaan alam sehingga kita tidak lagi mengetahui bilakah alam ini akan berhenti berfungsi dan sebenarnya kitalah yang menjadi penyumbang kepada terjadinya cuaca seperti yang ada sekarang? Katanya lagi, "Kita tidak tahu yang mana disebabkan oleh manusia dan yang mana pula takdir tuhan". Atau dengan kata lain: Adakah kita yang menyebabkannya panas atau air laut Teluk itu lebih panas, lalu menggerakkan Katrina, atau adakah ia berlaku secara semula jadi, iaitu tuhan yang menjadikannya lebih panas? Suatu persoalan falsafah besar ditimbulkan oleh Katrina, kata Nate: "Sama ada tidak lama lagi, jika kita tidak tahu jawapannya, apa-apa yang kita namakan kerja tuhan itu sebenarnya akibat perlakuan manusia sendiri atau sekurang-kurangnya sebahagiannya terjadi disebabkan manusia?". (Panas, Rata Dan Sesak, Thomas L. Friedman, m/s 172-173, terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad).
Apapun, mengubati kejemuan itu sekadar untuk merehatkan jiwa sahaja, bukan sehingga mengurangkan iman. Berhati-hatilah dalam kerehatan itu kerana antara tanda orang yang tidak beriman dengan hari akhirat ialah orang yang merasa geli mendengarkan nama Allah dan ayat-Nya disebut. Firman Allah Ta'ala :
إِذَا ذُكِرَ اللَّـهُ وَحْدَهُ اشْمَأَزَّتْ قُلُوبُ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِالْآخِرَةِ ۖ وَإِذَا ذُكِرَ الَّذِينَ مِن دُونِهِ إِذَا هُمْ يَسْتَبْشِرُونَ ﴿٤٥
"Apabila hanya disebutkan nama, hati orang yang tidak beriman dengan hari akhirat menjadi geli. Apabila disebutkan tentang mereka yang selain-Nya, tiba-tiba mereka berseronok". (Surah az-Zumar ayat 45).
Bahkan, di antara ciri munafik ialah tidaklah mengingati Allah melainkan sedikit. Firman Allah Ta'ala :
إِنَّ الْمُنَافِقِينَ يُخَادِعُونَ اللَّـهَ وَهُوَ خَادِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوا إِلَى الصَّلَاةِ قَامُوا كُسَالَىٰ يُرَاءُونَ النَّاسَ وَلَا يَذْكُرُونَ اللَّـهَ إِلَّا قَلِيلًا ﴿١٤٢
"Sesungguhnya kaum munafik hendak mendustai Allah, lalu Allah pun mendustai mereka. Jika mereka melaksanakan solat, mereka berdiri dalam keadaan malas, riyak terhadap manusia dan tidak mengingati Allah kecuali sedikit". (Surah an-Nisa' ayat 142).
Kommentare