Menjadi Kritis Bukan Semestinya Menghasil Pendapat Yang Berbeza
- Yukio Haruaki
- Jun 6, 2017
- 2 min read
"Kritis adalah operasi sistem, bukan hasil sistem" - Marzuka Martillo (https://www.facebook.com/mazurka.martillo/posts/1632281366822450)
Apabila ada ajakan untuk bersikap kritis, bukan semestinya ingin menghasilkan pendapat yang berbeza. Tetapi yang ditekankan adalah supaya kita memahami sesuatu perkara secara komprehensif dalam sesuatu perkara. Inilah sebenarnya yang dituntut dalam pemikiran kritis. Sama ada ia menghasilkan pendapat yang berbeza atau yang sama, itu bukan persoalan yang utama. Persoalan yang utama adalah sama ada kita mampu menggarap kefahaman itu secara tuntas ataupun tidak. Maka, jika wujudnya dakwaan, maka proses pengukuhan dakwaan itu adalah kritis, bukan dakwaan itu sendiri. Jika wujudnya hipotesis, maka proses pembuktian itu adalah kritis, bukan hipotesis itu sendiri.
Menjadi kritis dalam kehidupan Muslim adalah menjadi yang selari dengan tuntutan Allah dan Rasul-Nya kerana inilah sumber hasil kritis yang paling tinggi yang tidak akan ditandingi. Mana-mana hasil kritis yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah, maka hakikatnya bukanlah kritis walaupun penjenamaannya adalah kritis. Mustahil adanya sesuatu kritis yang lebih baik daripada ini kerana inilah sebaik-baik kalam yang diturunkan dan sebaik-baik utusan yang dibawakan. Dalam mengajak kepada penilaian kritis yang selari dengan al-Quran dan as-Sunnah, pasti kita tidak terlepas dengan herdikan dan ejekan orang supaya tidak menelaah, meneliti teks-teks ulasan terhadapnya dan kefahaman ulama' dalam tafsiran nas. Sesungguhnya ini adalah herdikan dan ejekan dari orang yang cacat akalnya. Mereka itu adalah orang yang lalai firman Allah Ta'ala berikut :
فَبَشِّرْ عِبَادِ﴿١٧﴾ الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ ۚ أُولَـٰئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّـهُ ۖ وَأُولَـٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ ﴿١٨
"...Maka sampaikanlah khabar gemibra kepada hamba-Ku. (Iaitu) orang yang mendengarkan hujah, lalu mereka mengikuti yang paling terbaik. Mereka itulah orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab (berakal cerdas)". (Surah az-Zumar ayat 17-18).
Melalui ayat ini, Allah menyuruh untuk mendengarkan qaul sebelum mengikuti yang terbaik. Allah boleh terus menyatakan untuk mengikuti yang terbaik tanpa menyebut mendengarkan qaul kerana memang itu adalah objektif utamanya. Namun, faedah yang Allah nyatakan tentang mendengarkan qaul adalah supaya kita tidak mengabaikan setiap hujah yang datang sekalipun dari luar sumber teks al-Quran dan as-Sunnah. Memandangkan al-Quran dan as-Sunnah bukan hanya teks semata-mata, tetapi ia juga merangkumi fiqh padanya. Maka, menelaah makalah-makalah yang di luar sumber teks al-Quran dan as-Sunnah digalakkan untuk mengkaji kerana kemungkinan hal itu dapat memahamkan isi al-Quran dan as-Sunnah yang lebih komprehensif. Sepertimana Allah Ta'ala menyuruh untuk bertanya kepada ahli kitab untuk pengesahan kebenaran al-Quran sebagaimana yang disebut dalam Surah Yunus ayat 94, sedemikian juga Allah menyuruh untuk rujukan-rujukan yang lain bagi menguatkan hujah al-Quran dan as-Sunnah serta mengukuhkan kefaqihan pada diri kita.
Maka, seseorang yang mengajak kepada al-Quran dan as-Sunnah, tidaklah semestinya meninggalkan rujukan-rujukan mazhab dan karya para ulama'. Merujuk kepadanya tidaklah menggagalkan atau merendahkan sikap kritis dalam pengalisisan dalil al-Quran dan as-Sunnah. Jika sesiapa yang mengatakan seseorang tidak layak menganalisis dalil sekiranya masih merujuk kitab para ulama', maka itu adalah orang dungu yang bernyawa tanpa pedoman al-Quran dan as-Sunnah.
Comments