top of page

Makna "Sakana", "Mawaddah" Dan "Rohmah" Pada Surah ar-Rum Ayat 31

  • Writer: Yukio Haruaki
    Yukio Haruaki
  • Jun 14, 2017
  • 5 min read

Firman Allah Ta'ala :

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

"Di antara tanda-tandanya ialah penciptaan pasangan dari jenis kalian agar kalian senang terhadapnya dan Dia menjadikan mawaddah dan rahmat di antara kalian. Sesungguhnya pada itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum yang berfikir". (Surah ar-Rum ayat 21).

"Mawaddah" (مودة) di sini merujuk kepada al-Wath' (الوطء) atau al-Jima' (الجماع), iaitu seks sepertimana pendapat al-Hasan dan 'Ikrimah yang dinukilkan oleh Abu al-Muzhoffar as-Sam'ani dalam Tafsir al-Quran, jilid 4, m/s 205, Dar al-Wathon, ar-Riyadh, tahqiq Yasir bin Muhammad dan Ghunaim bin 'Abbas bin Ghunaim. Bagi saya ini antara pendapat yang tepat kerana pada "Mawaddah" juga bermaksud jalinan. Firman Allah Ta'ala :

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَىٰ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ

"Sangat pasti engkau mendapati orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang yang beriman ialah Yahudi dan mereka yang musyrik. Sangat pasti engkau mendapati orang yang sangat dekat jalinan terhadap orang yang beriman ialah mereka yang berkata, "Sesungguhnya kami ialah nasrani". Itu kerana sesungguhnya sebahagian mereka mempunyai pendeta dan rahib serta mereka tidaklah sombong". (Surah al-Maidah ayat 83).

Di sini makna jalinan lebih tepat kerana kesesuaian perlawanan makna 'Adawah (عداوة) pada konteks ayat ini. Hal ini kerana permusuhan tiada unsur jalinan padanya.

Firman Allah Ta'ala :

وَلَئِنْ أَصَابَكُمْ فَضْلٌ مِّنَ اللَّهِ لَيَقُولَنَّ كَأَن لَّمْ تَكُن بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُ مَوَدَّةٌ يَا لَيْتَنِي كُنتُ مَعَهُمْ فَأَفُوزَ فَوْزًا عَظِيمًا

Pasti apabila kalian mendapat kurniaan daripada Allah, mereka pasti berkata seolah-olah tiada jalinan, "Aduhai! Kalaulah aku bersama mereka, pasti aku akan berjaya dengan kejayaan yang besar". (Surah an-Nisa' ayat 73).

Pada ayat ini, golongan yang tidak ikut berperang kecewa tidak mendapat bahagian yang mereka mahukan atas dasar kepentingan sendiri apabila kemenangan berpihak pada kaum Mukmin. Sebab itulah ungkapan mereka itu jelas bahawa mereka berkata atas dasar sendiri yang tidak ada jalinan terhadap orang Mukmin.

Muhammad bin Jarir menambah :

جعل بينكم بالمصاهرة والختونة مودة يتوادون بها وتواصلون من أجلها

"Dia menjadikan mawaddah di antara kalian dengan perkahwinan dan pernikahan, yakni kalian saling berkasih sayang kerananya dan saling berhubungan dengan sebab itu". (Jami' al-Bayan Fi Ta'wil al-Quran, Abu Ja'far at-Thobari, jilid 0, m/s 86, Muassasah ar-Risalah, Beirut, tahqiq Ahmad Muhammad Syakir).

Poin yang penting ialah perkahwinan sebab penggunaan "Baina" (بين) merujuk kepada penghubungan antara sesuatu dengan sesuatu yang lain. Sesebuah pasangan tidak terjalin melainkan pernikahan, sedangkan pernikahan ialah suatu akad yang menghalalkan persetubuhan. Dengan itu, benarlah pendapat yang menyatakan bahawa tafsiran "Mawaddah" sebagai seks. Ini juga bagi membezakan penciptaan pasangan dengan orang lain yang dianggap keluarga dan sahabat.

Sebahagian tafsir menyatakan bahawa ia bermaksud "al-Hubb" (الحب), iaitu cinta 'Izuddin 'Abdul 'Aziz bin 'Abdul Salam dalam Tafsir al-Quran, jilid 2, m/s 524, Dar Ibn Hazm, Beirut, tahqiq Dr 'Abdullah bin Ibrahim al-Wahbi dan Ahmad bin Muhammad ats-Tsa'labi dlaam al-Kasyf wa al-Bayan 'An Tafsir al-Quran, jilid 7, m/s 299, Dar Ihya' at-Turats al-'Arabi, Beirut, tahqiq Abu Muhammad bin 'Asyur. Begitu juga penafsiran bahawa "Mawaddah" ialah al-'Athf (عطف), iaitu condong se[ertomana yang dinyatakan oleh as-Sam'ani pada rujukan yang telah disebut. Namun, pendapat ini tidak benar kerana ia berbalik kepada "Sakana" (سكن) pada ayat ini.

"Sakana" juga dinyatakan sebagai "Ithmanna" (اطمأن), iaitu tenang atau "Mayl" (ميل), iaitu cenderung atau "Inqitho'" (انقطاع), iaitu setia atau "llf" (إلف) iaitu jinak sepertimana pernyataan az-Zamakhsyari dalam Al-Kasysyaf 'An Haqa-iq Ghamidh at-Tanzil, jilid 3, m/s 472, Dar al-Kutub al-'Arabi, Beirut. Namun, saya berpendapat "Sakana" di sini merujuk kepada perasaan yang senang dan menyeronokkan pada individu dari setiap aspek. Oleh sebab cinta itu merupakan salah satu manifestasi perasaan yang menyeronokkan pada individu, maka lebih tepat cinta bukan pada tafsiran "Mawaddah".

Sebahagian juga mentafsirkan "Mawaddah" di sini sebagai perhubungan sesama manusia seperti saling berhubung sepertimana kenyataan Muhammad bin Ja'fars tadi. Maka, itu pun antara aspek bahagian "Sakana".

Sebahagian juga tidak begitu membezakan antara "Mawaddah" dan "Rohmah" (رحمة) atau dengan kata lain mencampuradukkan makna yang saling berkaitan pada konsep dan kategorinya, misalnya seperti tafsiran bahawa kedua-duanya sama, iaitu saling mencintai sesama pasangan sepertimana yang dinyatakan dalam An-Nukat wa al-'Uyun, Abu al-Hasan al-Mawardi, jilid 4, m/s 305, Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut, tahqiq as-Sayyid Ibn 'Abdul Maqsud bin 'Abdul Rahim; tafsiran percintaan di antara pasangan dan isterinya yang tidak ada kekerabatan di antara mereka berdua sepertimana yang dinyatakan dalam Ma'alim at-Tanzil Fi Tafsir al-Qur'an, Abu Muhammad al-Baghaawi, jilid , m/s 575, Dar Ihya' at-Turats al-'Arabi, Beirut, tahqiq 'Abdul Razzaq al-Mahdi; tafsiran kasih sayang dari sudut yang kecil kepada yang tua dan yang tua kepada yang kecil sepertimana yang dinyatakan dalam Bahr al-'Ulum, Abu al-Laits as-Samarqandi, jilid 3, m/s 8; tafsiran saling mencintai dan saling berkasih sayang sepertimana yang dinyatakan dalam Al-Muharrar al-Wajiz Fi Tafsir al-Kitab al-'Aziz, Abu Muhammad Ibn 'Athiyyah, jilid 4, m/s 332, Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut, tahqiq 'Abdul Salam 'Abdul Syafi Muhammad dan tafsiran yang lain.

Tetapi ini sebenarnya lebih cenderung dalam menghilangkan tujuan penggunaan lafaz yang berbeza oleh Yang Maha Bijaksana. Seolah-olah seperti seseorang berkata "Fulan Yajlisu wa Yaq'udu" (فلان يجلس ويقعد), maka ini ungkapan yang lewah kerana "Jalasa" (جلس) dan "Qo'ada" (قعد) merupakan makna yang sinonim untuk duduk. Jika ini tidak bersesuaian dalam ungkapan ahli bijaksana, sudah tentu lagi terhadap ayat yang diturunkan oleh Yang Maha Teliti dan pemilik Jawami' al-Kalim.

Dengan itu, jelaslah bahawa ini menguatkan pendapat bahawa "Mawaddah" merujuk kepada seks yang mempunyai makna pembeza antara perhubungan kekeluargaan atau persahabatan dengan pasangan. Namun, sama sekali tidak dinafikan bahawa seks tidak terjalin melainkan adanya cinta, kasih sayang dan lain-lain.

Sebahagian juga mentafsirkan "Rohmah" sebagai "al-Walad" (الولد), iaitu anak sepertimana yang disebutkan oleh Abu at-Thohyyib Muhammad bin Siddiq Khan al-Husaini dalam Fath al-Bayan Fi Maqasid al-Qur'an, jilid 10, m/s 237, al-Maktabah al-'Asriyyah Li at-Thoba'ah wa an-Nasyr, Beirut. Bagi saya, ini antara penafsiran yang dapat diterima kerana kadangkala "Rohmah" mempunyai banyak makna. Antaranya ialah hujan :

وَهُوَ الَّذِي يُرْسِلُ الرِّيَاحَ بُشْرًا بَيْنَ يَدَيْ رَحْمَتِهِ

"Dialah yang meniupkan angin sebagai khabar gembira sebelum kedatangan rahmat". (Surah al-A'raf ayat 57).

Rahmat di sini ialah hujan. Maka, begitu juga "Rohmah" sebagai kata pinjaman bagi "al-Walad". Ini tafsiran yang lebih tepat kerana apabila Allah menyebutkan "Wa Ja'ala Bainakum"(وَجَعَلَ بَيْنَكُم), sememangnya ada sesuatu yang istimewa daripada yang lain pada penciptaan pasangan. Maka, penafsiran "Rohmah" yang merujuk kepada anak dapat diterima. Jika merujuk kepada apa-apa yang terbit dari perasaan hati seperti simpati, belas kasihan dan lain-lain maka itu semua dalam kategori "Sakana". Maka, tafsiran sebagai "al-Walad" dapat menjauhkan pemahaman yang lewah pada kalam. Saya tidak mengatakan penafsiran itu tepat kerana "Rohmah" boleh terdedah pelbagai makna secara pinjaman. Namun, penafsiran itu lebih baik daripada apa-apa yang telah ada. Wallahua'lam.

Rujukan Lain

1. Al-Hidayah Ila Bulugh al-Maram Fi 'Ilm Ma'ani al-Quran wa Tafsirih wa Ahkamih wa Jaml Min Funun 'Ulumih, Abu Muhammad Makki bin Abu Thalib al-Andalusi, jilid 9, m/s 5677.

2. Al-Wasith Fi Tafsir al-Quran al-Majid, Abu al-Hasan al-Wahidi an-Naisaburi, jilid 3, m/s 431, Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut.

3. Al-Wajiz Fi Tafsir al-Kutab al-'Aziz, Abu al-Hasan al-Wahidi an-Naisaburi, m/s 840, Dar al-Qalam, Dimasyq.

4. Ghara-ib at-Tafsir wa 'Aja-ib at-Ta'wil, Mahmud bin Hamzah bin Nasr, jilid 2, m/s 892, Dar al-Qiblah Li ats-Tsaqafah al-Islamiyyah, Jeddah.

5. Zad al-Musayyir Fi 'Ilm at-Tafsir, 'Abdul Rahman bin 'Ali bin Muhammad al-Jauzi, jilid 3, m/s 419, Dar al-Kitab al-'Arabi, Beirut.

6. Mafatih al-Ghuyub, Fakhruddin ar-Razi, jilid 25, m/s 91-92, Dar Ihya' at-Turats al-'Arabi, Beirut.

7. Al-Jami' al-Ahkam al-Quran, Abu 'Abdullah al-Qurthubi, jilid 14, m/s 17, Dar al-Kutub al-Misriyyah, al-Qahirah, tahqiq Ahmad al-Barduni dan Ibrahim Athfaysh.

8. Anwar at-Tanzil wa Asrar at-Ta'wil, Nasiruddin al-Baidhawi, jilid 4, m/s 204, Dar Ihya' at-Turats al-'Arabi, Beirut.

9. Tafsir al-Quran al-'Azim, Ibn Katsir, jilid 6, m/s 308, Dar Thoyyibah Li an-Nasyr wa at-Tauzi', tahqiq Sami bin Muhammad Salamah.

10. Fath al-Qadir, Muhammad bin 'Ali asy-Syakani, jilid 4, m/s 253, Dar Ibn Katsir, Dimasyq.

11. Ta'wilat Ahl as-Sunnah, Abu Mansur al-Maturidi, jilid 8, m/s 260-261, Dar al-utub al-'Ilmiyyah, tahqiq Dr. Majdi Basilum.


댓글


Info
Laman ini merupakan laman tambahan dalam aktiviti blog bagi mengupas beberapa isu atau perkara menurut perspektif saya secara ikhtisar dan padat.
Laman Lain
  • unnamed
  • Blogger Social Icon
  • android-chrome-192x192
  • Tumblr Social Icon
  • webs.com_
  • Facebook Social Icon
  • Twitter Social Icon
  • Google+ Social Icon
Kategori
Arkib

© 2023 by DO IT YOURSELF. Proudly created with Wix.com

bottom of page